Rabu, 30 Disember 2009

4 Rahsia Di Sebalik Tandatangan Anda


BANYAK cara sebenarnya untuk `membaca’ seseorang. Baikkah dia, jujurkah dia atau sebenarnya dia seorang yang tidak boleh dipercayai, tidak jujur, tidak ikhlas juga penipu.

Berkawan dan mengenali untuk mendapatkan semua maklumat ini adalah cara terbaik tapi ada ketikanya ia akan membuang masa, tenaga dan lebih malang, harta-benda, jiwa dan raga bila akhirnya insan yang dikenali ini hanya indah rupa…hendak pula bila bercinta.

Ketika itu, segala-galanya sudah tidak bermakna, air mata membazir sia-sia. Inilah yang dikatakan sesal kemudian tidak berguna.

Justeru, ramai yang mencuba-cuba `mengorek’ rahsia insan yang baru dikenali menerusi tulisan juga tanda tangan. Bukan suatu yang mudah tetapi tidak salah mencuba bukan?

Tetapi benarkah tulisan dan tanda tangan mampu merungkai rahsia? Benarkah tulisan dan tanda tangan boleh menceritakan sifat sebenar tuan punya badan?

Menurut pakar psikologi dan grafologi (pakar anilisis tulisan), tanda tangan mempunyai pelbagai makna. Ia melambangkan identiti dan membawa nilai tertentu. Tanda tangan mampu menampakkan maksud ego dan perjalanan hidup seseorang.

Tanda tangan yang terputus-putus membawa erti perjalanan hidup pemiliknya tidak lancar kerana tidak mempunyai perancangan awal yang matang. Jika tanda tangan melingkar bermakna pemiliknya suka mengeluh dan sering memikirkan kesusahan berbanding kesenangan.

Tanda tangan yang kecil pula menunjukkan orang itu banyak berahsia. Urusan dengan orang sebegini sentiasa sukar diselesaikan. Selok-belok pada tanda tangan menunjukkan hidup si empunya diri menjadi perhatian orang atau boleh juga diibaratkan sebagai gangguan luar. Boleh jadi juga orang ini suka memanipulasi diri, mengada-ngada atau suka berbohong.

Ramai juga yang melakar garisan di bawah tanda tangan. Garisan ini sebenarnya mempunyai erti. Kalau garis itu kena pada bawah tanda tangan, orangnya suka bergantung dengan orang lain. Coretan garis itu juga sepatutnya lurus. Jika hujungnya ke bawah, ketika tua nanti hidupnya susah. Lebih teruk lagi jika hujungnya berkait, hidupnya di kelilingi hutang.

Merujuk pada buku tulisan pakar grafologi, Dr Margaret Gullan-Whur berjudul What Your Handwriting Reveals, beberapa aspek harus dilihat dalam menganalisis tanda tangan iaitu maksud tanda tangan, penempatan, ukuran, keseimbangan, pembetulan, kejelasan dan unsur tambahannya.

Jelas beliau dalam bukunya itu, umumnya tanda tangan direka oleh seseorang bagi menampilkan ciri keperibadiannya. Mereka yang memiliki dua bentuk tanda tangan yang hampir serupa pula berkemungkinan memiliki dua identiti.

Jika tanda tangan diletakkan tepat di atas garis yang disediakan, ia menggambarkan rasa hormat terhadap diri sendiri dan juga pihak berkuasa. Jika ia agak di atas sedikit daripada garisan, ia menandakan kegembiraan berkaitan dengan dokumen yang ditandatangani itu dan jika di bawah garisan pula ia menunjukkan kemurungan.

Tanda tangan yang menaik menampilkan rasa percaya diri yang tinggi dan sebaliknya jika ia menurun.

Tanda tangan yang cenderung ke kiri dari tempat tersedia menunjukkan rasa takut (pada orang lain atau kegagalan) manakala ke kanan pula bermaksud kurang perhatian.

Tanda tangan lebih kecil daripada teks tulisan mengungkapkan keinginan untuk menyendiri sebaliknya tanda tangan besar memberi maksud ingin menonjolkan diri. Bila hurufnya besar dan rapat, ia melambangkan kesombongan manakala pendapat lain menyebutkan tanda tangan kecil, mampat dan pendek menunjukkan rasa rendah diri.

Ada juga yang bukan sekadar meletakkan nama sendiri pada tanda tangan. Nama keluarga juga dilakar bersama. Jika nama keluarga lebih rendah daripada nama depan ia menunjukkan sifat murung pada pemiliknya.

Bagaimana tanda tangan anda sekarang? Dengan segala penjelasan di atas mungkin ada yang sudah mula mencongak untuk mengubah tanda tangan. Kalau dulu tanda tangan menurun, mungkin sudah ada yang cuba-cuba mencipta tanda tangan baru yang menaik.

Apapun, tiada siapa mengajar kita merancang atau memilih tanda tangan. Kanak-kanak yang sudah mengenali huruf, sudah pandai membaca juga pandai mencipta tanda tangan mengikut kreativiti mereka.

Tanda tangan ketika kecil tidak akan kekal biasanya. Keraguan mencipta tanda tangan akan berlaku ketika remaja dan seterusnya apabila meningkat dewasa. Biasanya, tanda tangan yang tercipta kala dewasa ini akan kekal, apatah lagi jika tanda tangan ini sudah digunakan untuk pelbagai urusan seperti perbankan.

Mungkin ini juga petanda kita sudah mencapai tahap kematangan. Tahu apa yang nampak menarik mungkin juga unik sesuai dengan usia dan kehidupan.

Bagaimanapun, Prof Dr John Nimpoeno, pakar psikologi dan grafologi dari Kampus Pasca Sarjana Universitas Parahyangan, Bandung, Indonesia berpendapat sebaliknya.

“Memang dalam tanda tangan ada unsur yang menunjuk sifat atau karakter seseorang, tapi tidak selengkap grafologi (tulisan tangan). Tulisan tangan mampu menunjukkan keadaan yang berlaku pada pemiliknya tetapi tidak tanda tangan kerana unsurnya tidak lengkap.

“Ada berpuluh indikator pada grafologi sedangkan tanda tangan hanya sebahagian daripadanya,” katanya.

Berdasarkan grafologi, gerakan menulis jelas ada hubungannya dengan keadaan psikologi seseorang. Pemikiran dan emosi walau sesaat sekalipun mampu dibaca pada tulisan tangan dan kerana itu, tulisan tangan mampu mencerminkan keperibadian seseorang.

Kata Dr John Nimpoeno lagi, tanda tangan muncul hasil daripada gerakan automatik dan kerana itu ia tidak dapat menceritakan sepenuhnya keperibadian seseorang. Tanda tangan diramal? Itu cuma cerita rakyat, katanya.

Anda bagaimana? Apa pandangan anda? Mampukah tanda tangan membantu anda mengenali keperibadian seseorang? Bak kata Pakar Grafologi dari Pusat Grafologi Anna Koren, Anna Koren, sekalipun tanda tangan boleh dianalisis, penilaiannya lebih mengikut gerak hati.

Oleh itu, bila mengenali seseorang, dengarlah kata hati anda…

Makna tersirat di sebalik tanda tangan:

1. Satu garisan di bawah tanda tangan

~ Seorang yang sangat yakin

~ Ada personaliti yang hebat

~ Agak mementingkan diri sendiri

~ Percaya bahawa kebahagiaan dalam hidup sangat perlu

2. Dua titik di bawah tanda tangan

~ Anda romantik

~ Mudah bertukar pasangan macam tukar baju

~ Memilih kecantikan (bagi lelaki)

~ Sentiasa berusaha untuk kelihatan cantik (bagi wanita)

~ Mudah menarik perhatian orang untuk berdamping


3. Satu titik di bawah tanda tangan

~ Anda kelihatan mudah dan tenang

~ Cepat hilang kepercayaan pada orang anda percayai apabila dikhianati

4. Tiada garisan/titik di bawah tanda tangan

~ Seronok dengan kehidupan

~ Ikut gaya dan cara sendiri

~ Kurang memberikan perhatian pada pandangan orang lain


5. Tanda tangan yang tiada kaitan dengan nama

~ Anda sentiasa berusaha supaya smart

~ Suka berselindung

~ Jarang mengambil pandangan orang lain sebagai panduan hidup

~ Yakin dengan kebolehan diri sendiri

6. Tanda tangan berasaskan ejaan nama tapi sukar nampak

~ Anda cerdik tapi kurang hendak berfikir

~ Anda cepat menukar pandangan dan idea

7. Tanda tangan huruf satu-satu, tidak bersambung

~ Seorang yang sangat prihatin

~ Tidak pentingkan diri sendiri

~ Sanggup berkorban apa saja untuk orang lain

~ Seorang pemikir

~ Seorang yang mudah serik


8. Tanda tangan ikut ejaan nama dengan huruf yang jelas

~ Seorang yang sangat baik

~ Boleh menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan atau dengan siapa saja anda berurusan

~ Tegas dengan pendapat sendiri

~ Ada semangat yang tinggi


Kenali mereka…

Osama Laden
Seorang yang tidak suka berkomunikasi dan suka merancang atau melakukan sesuatu secara rahsia. Garisan tebal atau pekat tanda tangannya menunjukkan dia seorang yang mempunyai tenaga yang tinggi manakala garisan melintang di bahagian atas dan lakaran seperti ketam pada tanda tangannya menunjukkan personaliti keras si pemilik tanda tangan. Keistimewaan ketam – tidak kira bagaimana teruk pun serangan orang padanya, dia tidak akan mati sebaliknya `menggigit’ balik dengan ganas.

George Bush
Tanda tangannya yang bergarisan tebal, menurun ke bawah dan tidak berapa jelas menunjukkan keghairahannya untuk menakluk dunia menggunakan arahan bukan diplomasi. Tanda tangannya bermula dari dasar, menaik ke atas dan seolah-olah bersambung dengan huruf pertama (B) nama seterusnya (Bush) menunjukkan dia seorang yang menyimpan perasaan marah, geram, dendam dan kekekecewaan yang amat tinggi. Ia juga menunjukkan disebabkan perasaan ini, pemiliknya sanggup melakukan keganasan dan kekejaman untuk membalas dendam.
Adolf Hitler
Tulisan tangannya yang bersudut menunjukkan seorang yang mempunyai pemikiran tajam dan agresif. Tulisan yang meliuk-liuk ke bahagian kiri menunjukkan seorang yang tidak jujur dan mempunyai pemikiran seperti seorang penjenayah. Tulisan mencondong ke bahagian kanan pula sering kali menggambarkan pemiliknya tidak mampu mengawal emosi untuk memusnah atau membunuh diri.
Bill Gates
Tanda tangan Bill Gates yang bersudut menunjukkan dia seorang yang mempunyai pemikiran tajam. Garis melintang pada huruf `t’ yang memanjang ke kanan dan titik `i’ yang jelas menunjukkan dia seorang yang baran, lekas marah. Tulisannya juga mencondong ke kanan dan ia bukan petanda yang baik. Seperti Adolf Hitler, Bill Gates juga ingin menakluk dunia tetapi dengan cara yang lebih teratur.

Michael Jackson
Lihat bagaimana penyanyi terkenal ini menyembunyikan nama pertamanya dengan satu lingkungan. Umum maklum bagaimana penyanyi ini menukar jantinanya, mengurung diri dalam tangki oksigen dan semua ini jelas tertera pada tanda tangannya membuktikan penyanyi ini melalui masalah besar dalam hidup. Hidupnya juga amat tertekan berdasarkan tulisannya yang mencondong ke bawah.
Albert Einstein
Mereka yang mempunyai tulisan dan tanda tangan kecil sering kali membabitkan diri dengan kerja yang rumit dan terperinci. Tulisannya padat dan konsisten menunjukkan tenaga yang amat tinggi. Garis melintang huruf `t’ pada bahagian hujung atas menunjukkan pemiliknya seorang yang mempunyai sikap yang bagus dan bercita-cita tinggi dalam hidup. Tanda tangan ini juga menunjukkan kuasa mencapai kejayaan amat tinggi.


Info grafologi

Grafologi adalah seni menilai karakter dan keperibadian seseorang menerusi tulisan tangan dan tanda tangan mereka. Ia boleh memberi petunjuk kehidupan seseorang mengenai perniagaan, kehidupan, keluarga dan hubungan, kesetiaan, kejujuran dan semangat serta apa saja.

Ia adalah sesuatu yang saintifik. Tulisan tangan juga dikenali sebagai tulisan otak (brain writing). Otak memberi arahan pada tindakan menulis. Jika berlaku ketidakupayaan yang menyebabkan seseorang tidak dapat menggunakan tangan, individu terbabit masih boleh menulis dengan meletakkan pen pada gigi atau jari kaki. Hakikatnya, otak yang membantu kita menulis, tangan hanyalah medium untuk melaksanakannya.

Ketepatan pakar grafologi menganalisis tulisan dan tanda tangan bergantung pada kepakaran dan bakat pakar terbabit sebagaimana pakar psikologi klinikal. Seseorang ahli grafologi memerlukan tempoh kira-kira lapan tahun untuk benar-benar mahir dalam bidang ini.

Grafologi banyak digunakan dalam pemilihan pekerja di Amerika Syarikat dan Eropah. Mengikut laporan Wall Street Journal terbitan 3 September 1985, 80 peratus syarikat Eropah menggunakan grafologi dalam memilih pekerja. Begitu juga di Amerika Syarikat, syarikat seperti General Electric, International Harvester, US Steel, Firestone Tire Company dan lebih 3,000 syarikat lain menggunakan grafologi untuk pemilihan pekerja mereka.

Tanda tangan juga adalah unsur penting dalam grafologi. Tanda tangan melambangkan nilai dan keperibadian seseorang. Kebanyakan ahli dan pakar grafologi menilai kedua-dua tulisan dan tanda tangan untuk mendapatkan gambaran atau membuat ramalan mengenai diri dan kehidupan seseorang. Memilih antara dua – tanda tangan atau tulisan – ibarat memilih antara bapa dan ibu.

Sumber : cintadearhaniey.wordpress.com


Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.

Selasa, 29 Disember 2009

1 Trak Transparensi


Trak transparensi di jalan raya. Pengguna jalan raya sering menghadapi masalah untuk memotong trak panjang.Dengan adanya sistem siaran "Transparentius" yang dipasang dibahagian belakang trak memberikan panduan dan kemudahan kepada pemandu-pemandu kenderaan lain di belakangnya untuk menilai situasi di "zon buta" sebelum memotong.

Signal video ditransmisikan dari kamera tetap di depan trak di pintu belakang panel dengan sebuah projektor. Alangkah bagus jika trak di Malaysia pun menggunakan teknologi begini.

Khamis, 17 Disember 2009

1 Maal Hijrah : Suntikan Untuk Keunggulan Ummah


Oleh : Prof. Madya Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin

Pada awal abad yang ketujuh Masehi, masyarakat dunia berada di pintu kehancuran. Kuasa dunia pada abad tersebut yang terdiri dari Kerajaan Empayar Rom (509SM-453M) dan Kerajaan Empayar Farsi (700SM-641M) telah menjunam jatuh akibat rebutan kuasa dan perpecahan di sana sini. Masyarakat Arab yang menghuni Semenanjung Tanah Arab lebih teruk menghadapi keruntuhan akibat daripada keruntuhan moral dan sifat taksub kepada kabilah dan puak. Dunia dalam bahaya kerana keadaan masyarakatnya tidak stabil lantaran kehilangan tonggak pegangan dan moral.

Allah Maha Adil dan Maha Penyayang kerana tidak membiarkan masyarakat manusia terus hancur dan musnah. Allah s.w.t mengutuskan seorang rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam mengimbau kembali peristiwa tersebut, Allah s.w.t menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

'Dan berpegang teguhlah kepada Tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati kamu (hingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (melalui Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya'

(Ali ‘Imran:103)

Ayat tersebut antara lain menjelaskan bahawa keadaan manusia yang hampir-hampir rosak binasa dan akan menerima akibat yang lebih buruk di akhirat telah diselamatkan menerusi pengutusan rasul untuk memandu mereka ke jalan yang benar dan akhirnya mereka terselamat.

Bagi mengubah masyarakat supaya berada dalam keadaan selamat, Rasulullah s.a.w telah berhempas pulas mengorbankan segala apa yang ada dan ini diikuti pula oleh sahabat-sahabat baginda yang setia. Dalam tempoh 23 tahun, usaha tersebut dicurahkan oleh baginda dan akhirnya mencapai matlamat iaitu berjaya mengubah dan menyelamatkan masyarakat dunia dari kehancuran dan kerosakan.

Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w membuat perbandingan tentang usahanya itu yang bermaksud:

'Antara aku dan kamu diumpamakan seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Maka datanglah segala unggas dan binatang-binatang kecil yang berterbangan lalu jatuh ke dalamnya, sedangkan lelaki itu berusaha untuk menahan benda-benda tersebut dari jatuh ke dalamnya. Aku memegang dengan kuat ikatan pinggang kamu supaya tidak jatuh ke dalam api, sedangkan kamu terlepas dari peganganku.'

Hadith ini menggambarkan keadaan manusia yang menuju kepada kebinasaan sedangkan mereka tidak mengetahuinya. Manakala Rasulullah s.a.w pula berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka agar terlepas dari kebinasaan itu. Akhirnya masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Arab telah dapat mencabar kuasa dunia iaitu Rom dan Farsi seterusnya muncul selepas itu sebagai sebuah masyarakat yang mengambil alih kuasa dunia.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a berjaya mengubah masyarakat dari sudut kepercayaan, sikap, moral, cara berfikir dan segala-galanya, termasuk perubahan pengorbanan daripada tertumpu kepada sesama manusia kepada tertumpu kepada Allah. Masyarakat manusia berjaya dipindahkan dari dua keadaan yang perbezaannya sangat jauh.

Dalam menyusuri perkembangan sejarah, selepas kejayaan kali pertama maka masyarakat Islam mengharungi jatuh bangun dalam pentas pergolakan dunia dan ia berkait rapat dengan komitmen mereka terhadap agama Islam yang suci. Era kemalapan umat Islam kali terakhir berlaku pada awal abad ke-20. Sejak kejatuhan Khalifah Uthmaniah di Turki pada tahun 1924, masyarakat Islam semakin terumbang-ambing di gelanggang dunia. Kini masyarakat Islam masuk ke era kelemahan dan keruntuhan yang menyeluruh. Masyarakat Islam yang berpecah-pecah berdasarkan kawasan dan negara, menjadi sebuah masyarakat yang sentiasa dicabar dan dihina di mana-mana. Menjelang abad ke-21, masyarakat Islam diganyang di merata-rata seperti di Yugoslavia, Iraq, Palestin, Kosovo dan di seluruh pelosok dunia. Apa yang berlaku sekarang jelas sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud:

'Hampir-hampir seluruh umat mengeliling kamu sepertimana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka.' Ada yang bertanya, 'Apakah itu disebabkan bilangan kita kurang?' Nabi s.a.w menjawab: 'Bilangan kamu pada ketika itu ramai tetapi seperti buih. Allah mencabut dalam hati seteru kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn dalam hati kamu.' Ada yang bertanya: 'Apa al-wahn itu wahai Rasulullah?' Jawab Baginda: 'Cintakan dunia dan bencikan mati.'

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa sampai suatu masa orang-orang Islam samalah seperti satu hidangan yang dikelilingi oleh sekumpulan orang yang lapar lagi gelojoh makan. Tiada sedikitpun perasaan bimbang dalam hati orang bukan Islam untuk melakukan apa sahaja yang disukai terhadap orang-orang Islam kerana mereka sangat lemah.

Ada bermacam-macam jawapan apabila ditanya sebab kelemahan masyarakat Islam sekarang. Ada yang berpendapat ia berpunca dari kelemahan politik dan perpecahan di kalangan masyarakat Islam. Ada yang berpendapat kerana kelemahan ekonomi, kelemahan pendidikan dan pencapaian ilmu ataupun kerana kelemahan dalam pencapaian sains dan teknologi. Ada yang memberikan alasan kerana kelemahan iman atau kerana tidak mengikut arahan agama dan bermacam-macam lagi.

Namun berdasarkan hadith itu tadi, jelas menunjukkan bahawa sebab kelemahan masyarakat Islam ialah hilangnya semangat berkorban dari dalam diri mereka. Umat Islam sudah tidak sanggup berkorban untuk tidak cintakan dunia atau berkorban untuk tidak takut mati. Mereka cintakan dunia sehingga sanggup memilihnya dengan membelakangkan kepentingan agama. Mereka juga takutkan mati apabila dituntut oleh agama bangun memperjuangkan sesuatu kebenaran. Inilah sifat-sifat negatif yang menjangkiti umat Islam.

Roh Ma’al Hijrah memerlukan setiap umat Islam berkorban untuk berpindah daripada bentuk negatif yang ada dalam diri mereka kepada bentuk-bentuk positif yang selaras dengan Islam. Berkorban ataupun jihad perlu tersemai di dalam jiwa masyarakat Islam sama ada dari sudut pengertian mahupun sikap.

Masyarakat Islam kini agak jauh terpesong dari landasan agamanya. Sebagai contoh, sungguhpun agama menuntut agar umatnya menuntut ilmu, tetapi kenyataan yang ada, sehingga kini sebahagian besar masyarakat Islam adalah buta huruf. Islam juga menuntut umatnya bersatu padu. Namun realiti masa kini umat Islamlah yang paling ramai berpecah belah. Demikianlah juga, Islam menuntut umatnya supaya rajin, berdisiplin dan menjaga masa tetapi orang Islamlah yang kurang berusaha, tidak berperaturan dan suka membuang masa.

Jika dilihat kepada dasar-dasar ajaran Islam itu sendiri, peluang orang Islam untuk maju dan mulia dalam dunia masa kini amatlah cerah. Ini kerana orang Islam mempunyai aset yang mencukupi dalam rangka untuk menempah kemajuan iaitu dorongan dari ajaran Islam dan aset material.

Aset galakan dan dorongan agama ini dapat dilihat dengan jelas di mana Islam sangat mementingkan ilmu dan mewajibkan ke atas setiap umatnya menuntut ilmu. Agama juga menuntut orang Islam sentiasa membina kekuatan dan kemuliaan. Kewajipan ini mendorong kuat umat Islam berusaha mencapai kekuatan dan kemuliaan pada setiap masa dan ketika. Ajaran Islam juga sangat mementingkan pegangan hidup yang mantap dan akhlak mulia. Islam juga mewajipkan umatnya menjalankan aktiviti kehidupan dengan bersih, ikhlas dan amanah.

Oleh itu, galakan-galakan seperti ini sangat penting dan menjadi modal yang besar kepada masyarakat Islam dalam mengembalikan keagungan dan kegemilangan zaman emas umat Islam.

Di samping itu, umat Islam memiliki aset material yang besar dan utama yang tidak dimiliki oleh kuasa kuffar. Petroleum, gas asli, bahan galian, sumber air, hasil hutan, bahan makanan, bilangan penganut dan banyak lagi adalah sumber kekuatan umat yang sentiasa menjadi bahan rebutan dan eksploitasi oleh golongan kuffar. Dengan adanya aset-aset tersebut dan manfaat secukupnya maka tidak mustahil masyarakat Islam menjadi satu masyarakat yang kuat dan maju sebagaimana yang pernah ditempa pada suatu ketika dahulu.

Perpindahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a dari kota Mekah ke Madinah dan sebelumnya perpindahan sesetengah sahabat dari Mekah ke Habsyah, merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing dalam Islam dan ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.

Untuk terus maju dan mencapai kemuliaan, masyarakat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dan hanya menyerah kepada takdir. Umat Islam dahulu telah berjihad secara habis-habisan, maka sebab itulah mereka berjaya meletakkan Islam di tempat yang mulia dan sepatutnya. Kini giliran kita memberi sumbangan kepada agama yang suci ini agar ia terus berkembang dan dihormati. Sesungguhnya bumi ini dan segala apa yang ada padanya adalah hak kepunyaan umat Islam. Di tangan orang Islamlah selayaknya ia harus ditadbirkan. Firman Allah s.w.t yang maksudnya:

'Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz, bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh'

(al-Anbiya’:105)

Ayat tersebut menjelaskan kepada orang Islam tentang hak mereka mewarisi pentadbiran bumi ini, tetapi dengan syarat bahawa mereka terdiri dari golongan orang-orang yang soleh. Jika syarat tersebut luput, maka mereka tidak berhak apatah lagi layak mendapatkannya.

Bagi melepaskan diri dari kongkongan kelemahan dan kehinaan, maka umat Islam perlu melihat hijrah dalam pengertiannya yang luas iaitu perubahan diri menuju kepada kegemilangan di dunia dan di akhirat. Untuk itu maka langkah yang perlu diatur mestilah mengandungi kefahaman yang jelas dan gerak kerja yang teratur dan betul.

Perubahan ke arah kemajuan dan kemuliaan ummah bermula dengan pengisian kefahaman bahawa Islam adalah agama yang agung dan mulia maka umatnya juga jelas adalah umat yang agung dan mulia. Namun ia hanya dapat dicapai menerusi kekuatan spiritual, moral, fizikal, dan daya cipta serta kesatuan umat itu sendiri. Masyarakat Islam juga wajib memahami bahawa segala ilmu yang baik dan berfaedah kepada manusia adalah termasuk ke dalam ilmu yang disukai dan dituntut oleh Islam. Oleh itu, menuntut ilmu yang bermanfaat adalah satu kewajipan dan dikira berdosa mereka yang mengabaikannya. Masyarakat juga perlu memahami bahawa mereka merupakan pewaris yang sah kepada kepimpinan bumi ini. Tanpa pertunjuk dan panduan hidup dari Allah Tuhan semesta alam, mustahil kaum lain yang mensyirikkan Allah s.w.t layak mentadbir bumi yang diciptakan-Nya.

Di samping kefahaman, beberapa gerak kerja juga harus diatur oleh masyarakat Islam untuk tujuan kemajuan dan kemuliaan Islam iaitu menceburkan diri dalam pelbagai kajian dan penemuan dengan lebih kuat daripada masyarakat lain, asalkan ianya berfaedah dan tidak bercanggah dengan batas-batas syarak. Masyarakat Islam juga perlu bergerak dan bekerja secara terbuka tanpa terikat dengan kongkongan pemikiran yang sempit dan merugikan. Dan juga perlu menghidupkan dan menghayati semangat jihad iaitu bersungguh-sungguh dan berkorban dalam mencapai cita-cita murni yang bertepatan dengan Islam. Umat Islam tidak dapat tidak mesti memperkukuhkan tonggak kekuatan yang terdiri dari kekuatan akidah, fizikal dan material. Mereka juga perlu mempertingkatkan usaha melahirkan masyarakat yang soleh dan seimbang dari segi rohani dan jasmani kerana ia menjadi syarat mewarisi teraju kepimpinan bumi ini.

Masyarakat Islam yang kian pudar dan kian hilang kekuatan tidak boleh dibiarkan terus berada dalam keadaan seperti ini. Masyarakat Islam pada hakikatnya mempunyai aset dan sumber kekuatan yang perlu digerakkan dan dimanfaatkan demi kemajuan dan kemuliaan umat. Kita mampu berbuat demikian jika kita mahu kerana bekalan sudah tersedia. Jika generasi awal umat Islam boleh melakukannya maka mengapa kita tidak boleh. Sesungguhnya Ma’al Hijrah merupakan titik tolak yang paling sesuai ke arah itu.

Sumber : JAKIM

Rabu, 16 Disember 2009

4 Gambar Orang 'Halimunan'?

Tentu anda terpegun melihat gambar di bawah ini. Ha, ni bukanlah skill editing dalam photoshop atau sebagainya. Tapi orang di dalam gambar ini telah dicat dan diwarnakan seluruh tubuhnya mengikut warna yang serupa dengan latar belakangnya. Apa2 pun layan ok..













Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.

Selasa, 15 Disember 2009

1 Kelebihan Memakan Kismis


Kita tidak perlu menjadi seorang pengembara atau seorang pendaki untuk mengiktiraf kismis sebagai satu jenis makanan yang ajaib. Ini kerana kismis adalah makanan yang mempunyai kandungan tenaga yang tinggi dan rendah kandungan lemak serta kolesterol juga selalu diambil oleh para pengembara dalam mengekalkan stamina mereka. Kismis adalah makanan yang mudah untuk diuruskan dan hampir tidak akan menjadi benyek. sepertimana buah buahan kering yang lain, kismis begitu mudah didapati sepanjang tahun.

Kismis dihasilkan daripada proses penghidratan ke atas buah anggur samaada penghidratan menggunakan cahaya matahari ataupun menggunakan ketuhar. Antara jenis2 kismis yang popular adalah Sultana, Malaga, Monukka, Zante Currant, Muscat dan Thompson seedless.Kismis mempunyai saiz sebesar batu kerikil dan mempunyai kedutan yang menyeliputi isinya yang kenyal. Ia juga mempunyai rasa yang manis seperti gula. Kismis selalunya berwarna perang dan biru seakan hitam. Nama saintifik bagi kismis adalah Vitus vinifera. Antara khasiat kismis adalah seperti berikut :


Membantu menajamkan Minda:

Kismis mengandungi kandungan gula yang tinggi. Antara jenis gula yeng terkandung di dalam kismis adalah fruktosa dan glukosa. Gula ringkas ini telah dikenal pasti dapt meningkatkan daya pemikiran otak, menajamkan memori dan menguatkan daya ingatan. Ini kerana otak memerlukan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak untuk berfungsi dengan baik dan kismis dapat menyediakan keperluan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak dan cepat.

Jika kita lemah dalam matapelajaran Matematik, amalkan pengambilan kismis setiap pagi sebelum ke kelas atau kuliah. Ingat! Anda dilarang mengambil nasi lemak ketika hendak belajar kerana ia mengandungi kandungan lemak yang tinggi. Pencernaan lemak memerlukan kandungan darah beroksigen yang tinggi. Jadi darah yang diperlukan oleh otak telah digunakan untuk mencernakan lemak kepada sumber tenaga. Itulah sebabnya kita akan mengantuk selepas makan nasi lemak(Otak kekurangan oksigen). Imam Zuhdi berkata, ” Sesiapa yang ingin menghafal hadith(menguatkan daya ingatan) hendaklah ia kerap memakan anggur kering”.

Perlindungan Antioksida :

kismis bukan sahaja menjadi bahan ujikaji kajian “phytonutrient” kerana mereka mengandungi Phenol, bahkan mereka merupakan sumber alternatif mineral boron bagi rakyat sedunia. Phenol yang dijumpai di dalam kismis mempunyai aktiviti antioksida. Boleh dikatakan aktiviti antioksida bagi hampir semua buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sejajar dengan aktiviti antioksida yang terdapat didalam kismis. hebat bukan ?

kismis dikategorikan sebagai salah satu daripada buah-buahan yang kaya dengan anti0ksida selain buah prun dan aprikot. Flavonol, salah satu jenis phenol daripada keluarga flavonoid dikatakan hampir tidak terjejas kandungannya ketika proses pengeringan anggur tetapi kandungan phenol di dalam kismis adalah lebih rendah daripada anggur. Ini disebabkan kebanyakan daripada phenol telah dimusnahkan dalam proses penukaran anggur kepada kismis. Phenol-phenol ini adalah hydroxycinnamics (asid kaftarid dan kautarid), procyanidins dan flavan-3-ols.
Boron untuk tulang yang sihat:

Walaupan jarang kita dengar tentng kepentingan boron dalam kehidupan kita tetapi disini saya ingin menerangkan bahawa boron berkait rapat dengan wanita iaitu kesihatan tulang dan Osteoporosis(tulang rapuh). Boron merupakan mineral yang diperlukan bagi menukar Estrogen dan Vitamin D kepada bentuk paling aktif(17-beta-estradiol dan 1,25-(OH)2D3). Kandungan estrogen yang menurun selepas Menopause menyebabkan Osteoclast menjadi sensitif terhadap hormon paratiroid( terletak di leher) yang memberi isyarat kepada mereka untuk merapuhkan tulang. Kajian menunjukkan bahawa boron memberikan perlindungan daripada Osteoporosis dan mengembalikan semula kebanyakan efek positif Estrogen kepada wanita yang telah Menopause. Kismis merupakan antara “top 50″ penyumbang terbesar bagi Boron di Amerika Syarikat.

Sumber : jqafsadr.blogspot.com


Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.

Ahad, 13 Disember 2009

3 Pantang Larang Orang Melayu Tentang MAKAN


Orang Melayu pada zaman dahulu amat mementingkan adat dan sopan santun semasa makan sama ada di rumah ataupun di majlis-majlis keramaian. Ia bukan sahaja bertujuan untuk pengajaran tetapi juga untuk menjaga sopan santun orang Melayu. Sebagai contoh seseorang itu dilarang tidur selepas makan. Maksud di sebalik larangan ini ialah untuk pendidikan dan kesihatan. Kalau tidur semasa perut kenyang, makanan yang dimakan belum hadam. Ia akan melalaikan seseorang daripada melakukan pekerjaan lain dan juga sembahyang.

Berikut adalah beberapa pantang larang yang berkaitan dengan makan:

1. Makan mencangkung payah dapat rezeki.
2. Makan dalam belanga dapat anak rupa hodoh.
3. Makan beras mentah dapat penyakit kuning.
4. Makan telur tembelang dapat penyakit barah.
5. Makan kepala ayam nanti mengantuk semasa bersanding.
6. Makan sisa anak nanti anak menjadi degil.
7. Makan dalam pinggan sumbing dapat anak bibir sumbing.
8. Makan tak basuh pinggan nanti lambat dapat menantu.
9. Makan pisang kembar nanti dapat anak kembar.
10. Makan piggan bertindih nanti beristeri dua.
11. Makan sambil berjalan akan dapat penyakit perut.
12. Makan buah berangan songsang, nanti lambat dapat jodoh.
13. Makan nasi di senduk nanti payah dapat rezeki.
14. Tidur selepas makan nanti perut jadi buncit.



Selain pantang larang terdapat pula adab dan tatatertib yang berkaitan dengan makan. Antara adab dan tatatertib tersebut adalah seperti berikut:

* Ketika berkunjung ke rumah orang, apabila tuan menghidangkan makanan atau minuman, adalah tidak manolaknya. Jika kenyang sekalipun kita hendaklah setidak-tidaknya menjamah sedikit hidangan yang disajikan itu.

* Setelah makanan dihidangkan, pastikan orang yang lebih tua duduk dahulu kemudian baru diikuti oleh orang muda pula mengambil tempat masing-masing.

* Anak gadis pula dikehendaki menyenduk nasi ke dalam pinggan orang yang lebih tua.

* Biarkan orang yang lebih tua mengambil makanan dahulu kemudian barulah diikuti oleh orang muda. Adalah tidak sopan jika membiarkan orang yang lebih tua makan sisa orang muda. Maka itu sesetengah orang membuat peraturan supaya orang muda makan berasingan daripada orang yang lebih tua atau orang tua makan dahulu daripada orang muda. Bagaimanapun, amalan ini tidak begitu sesuai jika hendak menanamkan kemesraan dan semangat kekelugaan di kalangan anak-anak.

* Ketika makan seelok-eloknya ambillah makanan yang berhampiran dengan kita. Jangan menjangkau makanan yang sukar dicapai. Mintalah bantuan orang lain yang berdekatan jika kita mahukan makanan itu.

* Ketika menghulur atau menyambut makanan, sebaik-baiknya gunakan tangan kanan, tetapi jika tangan kanan kotor, bolehlah kita menggunakan tangan kiri.

* Semasa menghulur dan menyambut makanan, seelok-eloknya siku atau pergelangan tangan ditampung sedikit dengan tangan yang sebelah lagi.

* Semasa mengambil kuah atau nasi, gunakan tangan kiri supaya sudu atau senduk tidak kotor.

* Pastikan sudu, piring atau mangkuk tidak berlaga dan berbunyi ketika menyenduk. Ini dianggap kurang sopan dan kasar jika berlaku pergeseran antara sudu, piring atau mangkuk sehingga berbunyi.

* Ketika makan pula janganlah bercakap-cakap. Lebih-lebih lagi jika mulut penuh dengan makanan.

* Jika bercakap pun pastikan tidak menimbulkan perkara yang kurang menyenangkan sehingga boleh mengganggu selera makan orang lain.

* Jangan makan berbunyi, umpamanya menghirup minuman atau mengunyah makanan.

* Ketika orang lain sedang makan janganlah menghembus hingus, berkehak atau berludah.

* Jangan makan terlalu kenyang. Makanlah setakat mengenyangkan atau mengalas perut sahaja.

* Jika selesai makan terlebih dahulu jangan sekali-kali mengangkat pinggan dan meninggalkan orang yang sedang makan. Seelok-eloknya tunggu dan pastikan semua orang sudah selesai makan barulah bangun.

* Jika mahu mengemaskan tempat makan atau meja makan, pastikan semua orang sudah selesai makan. Tidak sopan jika mengemas ketika orang lain masih menikmati hidangan Jika dilakukan kita seolah-olah menyindirya supaya menghentikan makan atau melarangnya menghabis makanannya.

* Jangan pergi ke rumah orang pada waktu makan dan waktu maghrib. Ini mengganggu tuan rumah kerana mungkin dia telah memasak makanan cukup untuk keluarganya sahaja. Waktu maghrib pula adalah waktu sembahyang yang paling singkat dan kedatangan tetamu menyebabkan tuan rumah serba salah untuk meninggalkan tetamu keseorangan. Oleh itu seelok-eloknya datanglah selepas waktu sembahyang isyak.

Pantang larang ini diadakan bukan sahaja sebagai pengajaran tetapi bertujuan untuk menjaga tatasusila supaya kita tidak melakukan perkara yang kurang sopan. Orang Melayu memang terkenal dengan sopan santun mereka sejak zaman dahulu lagi.
Maka itu diadakan beberapa pantang larang supaya ia dapat dikekalkan hingga ke generasi yang akan datang.

Sumber : pakarhowto.com


Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.

Jumaat, 11 Disember 2009

0 Lukisan Cinta (Episod Akhir)


Cerpen Oleh : Triple M

“Ini semua lukisan Alwi.” Zuhri menoleh. Rupanya ummi sedang melihat tingkahnya. Hadirnya memang mengejutkan tetapi tidak pula mengatasi ayat yang baru didengarnya tadi. Zuhri merenung mata ummi, memaksanya memberikan penjelasan.
“Dia pernah bawa seorang gadis ke rumah ni. Orangnya cantik, manis. Mereka pernah pergi ke parit itu.”
“Maksud ummi mereka bercinta?”
“Ya. Sejak di bangku sekolah. Dia anak datuk. Waktu ummi hantar pinangan, mereka minta hantaran kahwin yang besar.”
“Alwi bersungguh-sungguh menyimpan wang. Siang malam dia bekerja. Sampailah satu masa keluarga mereka memberi kata putus.”
“Apa?” Zuhri menunjuk minat.
“Mereka beri masa seminggu untuk Alwi mengumpul wang. Jika tidak, gadis itu akan dikahwinkan dengan orang lain, anak datuk juga.”
“Gadis itu menurut saja?” Zuhri mencelah.
“Dia sayangkan keluarga. Alwi pun tak marah. Tapi dia gagal. Gadis tu akhirnya dikahwinkan dengan lelaki itu.” Ummi sebak. Ada air jernih menakung di kelopak matanya.
“Alwi kecewa. Dia cuba melupakan cintanya itu dan lari ke bandar. Namun dia tak dapat membuang perasaan itu. Bila balik ke sini, dia pasti pergi ke parit dan kemudian melukis. Melalui lukisan sajalah perasaan rindunya itu tercurah.” Air matanya tak dapat ditahan. Pilu mengenang nasib anaknya. Cinta Alwi tak kesampaian. Cinta yang lama dan bersungguh ditatang, akhirnya diperlekehkan hanya kerana harta. Sudah hampir tujuh tahun tragedi tersebut berlaku, namun Alwi tetap sayangkan cintanya. Dia tak pernah menyalahkan gadis itu, sebaliknya dia memarahi diri sendiri kerana gagal mengumpulkan wang sebanyak yang diminta. Dia amat menyesal. Itulah cinta pertamanya. Cinta yang tak mudah dilupakan.
“Jadi kau dah faham tujuan aku bawa kau ke mari?”
“Ya.” Jawabnya ringkas.
“Aku pernah kecewa kerana cinta. Dan aku tak mahu kau pun kecundang sama.”
“Aku tak nampak sesuatu yang cacat dalam hubungan kau dan dia. Kau cuma perlu menghidupkan kembali api cinta yang sudah lama terpadam. Cubalah…” Alwi memberi prangsang kepada temannya itu. Dia amat berharap supaya Zuhri tidak akan kecewa sepertinya. Dia akan mendoakan yang terbaik untuk teman itu.
“Tak sangka kau berbakat melukis. Nanti ke parit lagi?”


...tamat

Khamis, 10 Disember 2009

3 10 Amalan Masyarakat Kita Yang TERBALIK!


Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7.. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

11. Kita cukup teruja untuk meng’forward’kan sms atau emel dalam bentuk gossip2 artis kepada kawan2. Malah kebanyakkan sms emel tersebut tidak benar dan boleh menjatuhkan maruah org lain. Tapi kenapa susah sangat nak forward emel2 peringatan sebegini kepada kawan2 kita??…..

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita. Sabda Rasullullah SAW: ‘Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat.’ (Riwayat Bukhari)

Sumber : sagasama.blogspot.com


Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.

Rabu, 9 Disember 2009

0 Wajibkah Solat Jumaat Pada Hari Raya Pertama?


Soalan: “Apakah benar jika hari raya berlaku pada Hari Jumaat maka sesiapa yang menunaikan Solat Hariraya tidak wajib lagi untuk dia menunaikan Solat Jumaat?

Jawapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin:

Para fuqaha (sarjana Fekah) berbeza pendapat dalam hal ini. Di kalangan ulama, terutama dalam Mazhab Hanbali menyatakan tidak wajib Jumaat untuk makmum yang sudah menghadiri solat Hariraya, kecuali imam. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w ketika hariraya berlaku pada Hari Jumaat :

قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ

“Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hariraya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hariraya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan Jumaat” (Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih).

Berdasarkan hadis di atas, maka seseorang diberi pilihan sama ada hendak menunaikan solat Jumaat setelah menunaikan Solat Hariraya, atau berpada dengan solat berkenaan. Maka dengan itu dia wajib menunaikan Solat Zohor. Terdapat pendapat di kalangan ulama bahawa Zohor juga tidak wajib disebabkan Nabi s.a.w tidak pun menyebut hal ini dan Hari Jumaat yang diwajibkan adalah Solat Jumaat, maka apabila ia digugurkan tidak perlu mengganti apa-apa. Antara yang berpendapat tidak wajib diganti dengan Zohor ialah al-Imam Syed Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah (1/267, Beirut: Dar al-Fikr).

Apapun, hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, termasuk amalan pada zaman Umar, Abdullah ibn al-Zubair dan Ibn ‘Abbas menyebut perbuatan meninggalkan Jumaat pada hariraya itu أصابت السنة “Betul dari segi sunnah” (lihat: Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra 2/366, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Cumanya, mereka kebanyakannya berpendapat wajib Zohor. Adapun imam hendaklah menunaikan Jumaat untuk mereka yang hendak menunaikan Jumaat, atau tidak menunaikan Solat Hariraya, maka wajib dia menunaikan Jumaat.

Dengan diakui ada perbezaan pendapat di kalangan sarjana hukum, namun saya cenderung kepada tidak wajib Jumaat bagi makmum yang sudah menunaikan solat Hariraya berdasarkan hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, juga sifat Islam itu sendiri yang meringankan apabila ada ruang kelonggaran. Apatahlagi, maksud perhimpunan kaum muslimin telah tertunai pada hari tersebut, maka perhimpunan solat hariraya sudah dapat memenuhi maksud perhimpunan solat Jumaat.

Sumber : drmaza.com


Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.

0 Jenayah Murtad : Usah Terlalu Rigid Menghukum


Oleh: Mohamad Syafiqe bin Abdul Rahim Presiden Lajnah Jabatan Syariah & Undang-Undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Sejurus selepas keputusan penghakiman kes Azalina Jailani @ Lina Joy, kedengaran beberapa rakan penulis berbisik sesama mereka. Antara lain mereka mengatakan sekarang keputusan penghakiman telah diketahui bahawa secara jelas Azalina Jailani tidak boleh menggugurkan perkataan Islam pada kad pengenalannya. Jelas, di aperlu murtad atau tidak, akan dibunuh.

Penulis bertanya kepada salah seorang rakan penulis, “ Jadi sekarang apa tindakan yang perlu kita buat?” Beliau menjawab “ Nak buat apa lagi. Dah lama dah dia murtad. Baik bunuh je…”. Dalam hati penulis menyatakan kekesalan kerana masih lagi ada segelintir pihak yang sering melulu dalam menghukum seseorang. Sesungguhnya mereka yang berpendirian sedemikian sememangnya mempunyai mentaliti yang cetek dan gagal berfikir secara lebih luas. Dalam erti kata lain, mereka ini merupakan golongan yang rigid dalam menghukum.

Sememangnya jenayah murtad merupakan jenayah yang amat berat di dalam Islam namun sebelum kita menghukum adalah baiknya sekiranya kita mengenal pasti terlebih dahulu beberapa perkara yang lebih utama. Ini kerana meskipun umum secara peribadi berpandangan hukuman bagi orang yang murtad adalah dibunuh, namun dalam membicarakan perkara ini, kita perlu melihat lebih jauh kerana terdapat banyak pandangan ulama berkaitan hal ini.


TAKRIFAN

Bagi memahami secara lebih terperinci berkaitan murtad, penulis akan membincangkan secara ringkas beberapa perkara penting berkaitan jenayah murtad. Ini adalah hasil daripada kajian penulis berkaitan jenayah murtad menurut perspektif Islam dan juga perundangan di Malaysia. Namun bagi penulisan ini, perbincangan akan lebih tertumpu dari sudut fiqh Islam.

Murtad menurut bahasa Arab berasal daripada perkataan riddah. Dari segi bahasa, riddah bermakna kembali daripada sesuatu kepada selainnya [al- Fayruz Abadi, al-Qamus al-Muhit, Dar Ihya al-Turath al-Arabi, Beirut, t.th, vol. 1, hal. 570]. Dari segi istilahnya pula, riddah ditakrifkan dengan pelbagai takrifan. Antaranya ialah:

1. Menurut Imam al-Husni: “Keluar daripada Islam dan kembali kepada kufur serta membebaskan diri daripada Islam.”[al-Husni, Kifayat al-Akhyar Fi Hil Ghayat al-Ikhtisar, Dar al-Khayr, Beirut, 1995/1416h., jil. 2, hal. 493 ]

2. Menurut al-Shaykh Abd al-Qadir Awdah: “Meninggalkan agama Islam dan keluar daripadanya setelah menganutnya”[‘Awdah, al-Tashric al-Jina’I al-Islami Muqarinan Bi al-Qanun al-Wad’I, Muassasah al-Risalah, Beirut, 1994/1415h., jil. 1, hal. 661].

3. Menurut Dr Wahbah Zuhaily: “Berpaling daripada Islam dan kembali kepada kufur, sama ada dengan niat atau perbuatan yang mengkafirkan atau perkataan dan sama ada diucapkan dengan gurauan atau penentangan atau ‘itiqad”.[ al Zuhaily, al-Fikih al-Islami Wa Adillatuhu, Dar al-Fikr, Dimashq, 1989/1409h., jil. 6, hal. 183].

4. Menurut Sayid Sabiq: “ Kembalinya orang Islam yang berakal dan dewasa ke kekafiran dengan kehendaknya sendiri tanpa ada paksaan daripada orang lain. Baik yang kembali itu orang lelaki mahupun orang perempuan” [Sayid Sabiq, Fikih Sunnah, Victoria Agencie, Kuala Lumpur, 1990, jil. 9, hal. 159 ]

Ini merupakan antara takrifan yang telah dikemukakan oleh para ilmuwan Islam berkaitan murtad. Oleh itu seseorang itu adalah dikira murtad disebabkan kepercayaan (murtad i’tiqadi), dengan perkataan (murtad qawli) dan dengan perbuatan (murtad fi’li).


HUKUMAN

Gejala murtad yang dilakukan oleh seseorang itu perlu ditentang dan dihapuskan supaya ianya tidak merebak kepada orang lain yang seterusnya menyebabkan murtad secara ramai. [Yusuf Qardawi (1996), Jarimah al-Riddah Wa U’qubah al-Murtad Fi Daui al-Quran Wa al-Sunnah, Kaherah: Maktabah Wahbah, hal. 46].

Terdapat dua jenis hukuman dalam Islam;hukuman di dunia dan hukuman di akhirat. Hukuman murtad di akhirat ialah azab dan kekal di dalam neraka. Ini adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
“Dan sesiapa antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam),lalu dia mati sedang dia tetap kafir,maka orang-orang yang demikian,rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)”[Surah al-Baqarah: 217]

Manakala hukuman ke atas orang murtad di dunia, jumhur fuqaha yang terdiri daripada Imam Maliki, Shafie dan Hanbali berpendapat bahawa hukuman bunuh ke atas orang-orang Islam yang telah murtad dan enggan bertaubat, wajib dikenakan kepada semua penjenayah murtad samaada lelaki atau perempuan,tua atau muda tanpa perbezaan. Hukuman ini adalah disepakati oleh fuqaha dengan bersandarkan kepada dalil-dalil berikut:

i) Sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud “Sesiapa yang menukar agamanya,maka hendaklah dibunuh”[Imam Bukhari]. Maksud “Sesiapa yang menukar agamanya” ialah orang yang menukar agama Islam kepada kafir.

ii) Sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud “Daripada ‘Abd Allah bin Mas’ud r.a berkata:Rasullulah bersabda : Tidak dihalalkan darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya aku utusan Allah kecuali salah satu daripada tiga orang : orang yang berkahwin berzina,hutang nyawa dengan nyawa dan orang yang meninggalkan agamanya(Islam) serta keluar dari jemaah (umat Islam)” [al-Tirmizi]

Jelas, perlaksanaan hukuman bunuh bagi pesalah murtad adalah jelas meskipun terdapat banyak pendapat yang berbeza. Ini kerana ada pendapat yang membezakan hukuman mereka yang murtad berdasarkan jantina. Pendapat pertama ialah Jumhur Ulama’ yang terdiri daripada mazhab Hanbali, Shafie dan Ja’fariyyah berpendapat bahawa muslimah yang murtad juga wajib dibunuh sebagai mana hukuman ke atas muslim yang murtad.

Pendapat kedua adalah daripada Mazhab Hanafi yang berpendapat bahawa perempuan yang murtad tidak dihalalkan darahnya dan tidak dibunuh kerana murtad. Tetapi dia wajib dipenjara dan dikeluarkan daripada penjara setiap hari dan diminta bertaubat dan kembali kepada Islam. Sekiranya dia kembali menganut Islam maka bebaslah dia. Tetapi jika tetap menolak Islam maka dia dipenjara semula. Beginilah hukumannya sehingga dia menganut Islam atau mati. [Sayid Sabiq, Fikih Sunnah, Victoria Agencie, Kuala Lumpur, 1990, jil. 9, hal. 166 ].

HUKUMAN TAKZIR?

Meskipun terdapat beberapa pendapat yang berbeza tentang hukuman murtad, namun secara umumnya ulama’ bersepakat bahawa hukuman bagi mereka yang murtad hendaklah dibunuh. Walau bagaimanapun, persoalan utama di sini ialah adakah mungkin dibolehkan hukuman lain seperti takzir bagi dikenakan ke atas pesalah murtad?

Penulis berpandangan bahawa hukuman bunuh adalah jelas secara qatie bagi mereka yang murtad. Namun, hukuman bunuh tersebut merupakan satu bentuk hukuman yang terakhir sekiranya orang yang murtad itu masih enggan untuk bertaubat. Sewajarnya sebelum hukuman tersebut dilaksanakan, ianya perlulah melalui hukuman takzir terlebih dahulu. Bukan niat penulis untuk menyatakan hukuman takzir lebih sesuai berbanding hukuman hadd iaitu bunuh namun konsep ‘takzir’ yang dimaksudkan oleh penulis di sini ialah satu bentuk hukuman yang ditentukan oleh mahkamah bagi pesalah murtad sebelum diisytiharkan boleh dibunuh.

Ini meliputi hukuman seperti ditahan untuk di minta bertaubat atau diminta membayar denda atau dirampas harta benda,pemulauan dan sebarang bentuk hukuman berbentuk takzir yang sesuai dikenakan kepada pesalah murtad sehinggalah bertaubat. Mohamed S. El-Awa dalam buku beliau menjelaskan bahawa jenis-jenis hukuman takzir adalah seperti teguran (al-Wa’z), teguran tegas (al-Tawbikh), ancaman (al-Tahdid),pemulauan (al-Hajr), pendedahan di khalayak ramai (al-Tasyhir), denda dan merampas harta benda (al-Gharamah wal-Musadarah), penjara (al-habs) dan sebat (al-Jald). [Mohamed S. El-Awa (1999), Hukuman Dalam Undang-undang Islam:Satu Kajian Perbandingan, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa Pustaka, hal. 150-165]

Kesemua jenis hukuman takzir ini boleh disesuaikan bagi pesalah murtad bagi membolehkan mereka bertaubat sebelum dibunuh. Perlu diingat bahawa hukuman bunuh adalah merupakan hukuman maksimum bagi pesalah murtad dan sebaik-baiknya setiap pesalah murtad diberikan masa dengan dikenakan hukuman takzir terlebih dahulu sehinggalah dia bertaubat. Hukuman bunuh adalah dianggap sebagai hukuman terakhir.

Jika masih enggan maka perlu diselesaikan segala permasalahan dan implikasi sebelum diisytihar murtad seperti pembahagian harta benda, penjagaan anak dan sebagainya. Maka selepas selesai semua perkara ini maka barulah hukuman bunuh dilaksanakan. Dan pelaksanaan hukuman takzir dan bunuh ini adalah meliputi semua jantina tanpa dibezakan antara lelaki dan perempuan termasuklah bagi kanak-kanak.

Penulis merasakan bahawa kaedah penetapan hukuman seperti ini adalah lebih sesuai. Ini kerana ia adalah lebih teratur dan mengikut prosedur serta tidak terlalu tergesa-gesa dalam menghukum. Perlu diingat berkemungkinan peluang untuk orang yang murtad untuk bertaubat tetap ada. Maka adalah sia-sia sekiranya kita terus menghukum bunuh tanpa sebarang bentuk usaha bagi menyedarkannya untuk kembali kepada Islam.


KERELEVENAN

Adakah hukuman bunuh bagi mereka yang murtad releven dan sesuai diamalkan di Malaysia kini? Meskipun tiada hukuman bunuh bagi pemurtad dikenakan di Malaysia, namun ia memerlukan perbincangan yang luas kerana ia melibatkan kepentingan umum dan untuk memelihara maslahah yang lebih utama. Mungkin pelaksanaannya boleh dilaksanakan tetapi perlu dibuat secara berhati-hati memandangkan Malaysia sebagai sebuah negara didiami pelbagai kaum dan agama.

Sedangkan kes Azalina Jailani sudah menimbulkan pelbagai konflik apatah lagi kita ingin melaksanakan hukuman bunuh bagi pesalah murtad di Malaysia. Dalam hal ini, prinsip beransur-ansur (tadarruj) boleh digunapakai dalam melaksanakan sesuatu perkara agar masyarakat tidak terkejut dengan sesuatu perubahan yang berlaku secara tiba-tiba.

Jika dikaji peruntukan keluar Islam di Malaysia, meskipun tiada hukuman bunuh dikenakan bagi pesalah murtad, namun pesalah murtad masih lagi dikenakan hukuman berbentuk takzir bagi membolehkan mereka untuk bertaubat. Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 secara jelas memperincikan bahawa merek ayang ingin keluar Islam hendaklah ditahan di pusat pemulihan akidah dan diberikan sesi runding sehinggalah dia bertaubat. Malah proses pemulihan tersebut boleh mencapai tempoh sehingga satu tahun dan lebih.[Lihat Seksyen 119(4)(5)(6)(7)(8)]

Peruntukan sebegini menunjukkan bahawa betapa meskipun hukuman bunuh tidak dilaksanakan, namun hukuman berbentuk takzir masih perlu dilaksanakan kerana ia boleh membantu pesalah murtad itu untuk bertaubat. Malah pelaksanaan hukuman takzir perlulah diketatkan supaya membolehkan seseorang yang cuba murtad itu betul-betul insaf dan bertaubat. Seksyen 119(11) seterusnya menjelaskan sekiranya tiada harapan untuk bertaubat maka hendaklah diselesaikan terlebih dahulu hal-hal seperti pembubaran perkahwinannya, harta sepencarian, hak perwalian, harta pusaka dan hadhanah.
MURTAD RINGAN DAN MURTAD BERAT

Ibn Taymiyah menjelaskan bahawa dalam persoalan pesalah murtad, beliau membahagikan kepada dua jenis:

1. Seseorang yang murtad dengan tidak menzahirkan kemurtadannya dan tidak menimbulkan fitnah di kalangan masyarakat Islam, hendaklah dilepaskan daripada hukuman bunuh apabila dia bertaubat.

2. Murtad yang tidak diluputkan hukuman bunuh ke atasnya walaupun dia telah bertaubat. Murtad seperti ini bukan hanya sekadar murtad tetapi dia telah melakukan sesuatu yang melampaui batas seperti menghina Allah atau Rasul-Nya.Ataupun dia menambah murtadnya itu dengan jenayah yang lain seperti membunuh orang Muslim atau mencuri harta dan sebagainya.[al Sorim al-Maslul, hal. 367-371]

Pendapat ini turut disokong oleh Yusof Qardawi dengan menjelaskan bahawa jenis murtad boleh diklasifikasikan kepada jenayah murtad ringan dan berat. [Yusuf Qardawi (1996), Jarimah al-Riddah Wa U’qubah al-Murtad Fi Daui al-Quran Wa al-Sunnah, Kaherah: Maktabah Wahbah, hal. 52]. Konsepnya adalah sama seperti pandangan Ibn Taymiyah cuba beliau menjelaskan bahawa orang murtad yang menyeru orang lain untuk murtad sepertinya bukan sahaja kufur dengan Islam malah ia memerangi Islam dan umat Islam.

Jadi ia termasuk dalam golongan orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan hukuman bunuh tetap dikenakan meskipun dia bertaubat. Persoalannya kini adalah samaada kita hendak berpegang kepada pandangan yang menyatakan hukuman pesalah murtad adalah bunuh ataupun berpendirian dengan mengklasifikasikan hukuman murtad kepada dua bentuk seperti dijelaskan oleh Ibn Taymiyyah dan dipersetujui leh Dr Yusuf Qardawi. Jelas, terdapat banyak pandangan berkaitan hukuman murtad.

Apa yang penting ialah kita mampu untuk menyelaraskan setiap pandangan tersebut sesuai dengan keadaan semasa dan setempat. Dalam hal ini, adalah sukar bagi kita di Malaysia untuk melaksanakan hukuman bunuh. Alasannya adalah seperti dijelaskan oleh penulis sebelum ini. Namun perlu diingat bahawa sebelum kita menghukum suatu pihak, kita perlulah berfikiran secara lebih dinamik tanpa mengikut emosi.

Dalam kes Azalina Jailani, bagaimana kita ingin melaksanakan hukuman bunuh ke atasnya sedangkan tiada satu pun usaha dakwah atau untuk mengajak beliau kembali ke agama Islam secara konsisten dilaksanakan. Malah di mana beliau berada kini pun kita gagal kesan. Adakah cukup sekadar kita menghantar ibunya ke Mekah supaya berdoa di hadapan Kaabah agar anaknya kembali kepada Islam sedangkan tiada usaha dan ikhtiar berkesan dilaksanakan.

Usah bercakap tentang melaksanakan hukuman bunuh sedangkan usaha dakwah dan menyedarkan pihak-pihak terlibat pun kita gagal laksanakan. Malah semasa penulis berada di Palace of Justice bagi menunggu keputusan kes Azalina Jailani, penulis menerima sms menyatakan bahawa sekiranya penulis terserempak dengan Azalina Jailani, disuruhnya penulis meludah mukanya. Adakah ini dikatakan usaha kita untuk menyedarkan mereka yang telah sesat?

Memang benar Azlina Jailani telah murtad namun sejauh mana usaha kita untuk membantunya kembali kepada Islam. Biarlah usaha kita sekecil mana sekalipun asalkan ia masih lagi merupakan satu usaha kita bagi membantu mengembalikan beliau kepada Islam. Malah kerana itulah juga sejak awal penulisan lagi penulis tidak menggelar beliau dengan Lina Joy sebaliknya dengan nama asalnya iaitu Azalina Jailani. Mungkin dengan cara ini membuktikan betapa kita tidak ingin beliau terus berada dalam kemurtadan dengan mengguna nama Lina Joy sebaliknya kembali kepada Islam dengan nama asal Azalina Jailani !!!


Sumber : fiqhmalaysia.com


Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.

Selasa, 8 Disember 2009

3 Rahsia Warna Bunga Ros


Hati sering tertanya-tanya apakah maksud warna bunga ros yang pernah diterima. Apakah ia melambangkan rasa kasih, cinta, simpati ataupun sekadar teman biasa? Sebenarnya bunga ros mempunyai pelbagai warna yg mengandungi maksud tersirat. Takut nanti tersalah andaian diri sendiri yang malu. Di sini adalah andaian banyak pihak tentang maksud tersirat di sebalik warna bunga ros.

Bunga Ros Merah: Si dia mencintaimu setulus hati dan ingin bersama selamanya.

Bunga Ros Kuning: Si dia mahu kamu menjadi sahabatnya atau ia menandakan perasaan cemburu terhadap kamu
Bunga Ros Putih: Rasa cinta yang ada dalam dirinya adalah cinta sejati dan sesuci ros putih itu.

Bunga Ros Merah Jambu: Kamu adalah cinta pertama si dia dan ini menjadi rahsianya sejak sekian lama. Maknanya kamu adalah insan yang menjadi idamannya selama ini.

Sumber : cintadearhaniey.wordpress.com


Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.

Khamis, 3 Disember 2009

0 Mengatasi Tabiat Berdengkur


Sebut saja tentang berdengkur, kita akan membayangkan simpton ini membabitkan kaum lelaki sahaja khususnya mereka yang berleher pendek dan suka tidur.

Selain ciri-ciri personaliti yang dikaitkan, lelaki yang berdengkur juga digambarkan sebagai malas dan lemah dari segi fizikal.

Namun begitu, masih ramai yang tidak tahu di sebalik ribuan lelaki, wanita juga berdengkur ketika tidur. Bagi kebanyakan wanita, berdengkur tanpa disedari ketika tidur adalah sesuatu yang memalukan tambahan pula apabila ditegur oleh suami atau rakan sebilik.

Disebabkan teguran, rasa malu dan berdengkur boleh mengganggu ketenteraman dalam bilik tidur, kaum hawa akan berusaha sedaya upaya menjalani pembedahan bagi menghindarinya.

Malah bilangan mereka mengikut nisbah 3:2 atau setiap tiga lelaki, dua wanita datang ke hospital untuk merawat penyakit berdengkur membuktikan bahawa wanita turut mengalami simpton ini.

Ketua Jabatan dan Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Fakulti Perubatan UKM, Prof. Madya Dr. Abdullah Sani ketika mengulas perkara ini berkata, wanita sanggup melakukan apa sahaja termasuk pembedahan untuk mengatasi masalah ini.

Menurut beliau, selain mengganggu keharmonian di bilik tidur, ia boleh menjurus kepada pergaduhan hingga berlakunya perceraian terutamanya apabila si suami tidak boleh bertolak ansur dalam perkara ini.

Sebaliknya kata Dr. Abdullah, berlainan bagi wanita yang semula jadinya bersifat pemaaf kerana mereka lebih bertolak ansur terhadap suami yang berdengkur.

Berdengkur terjadi disebabkan saluran pernafasan tersumbat dan ia berkait rapat dengan hidung, lelangit dan anak tekak.

Katanya lagi, perkara ini sering berlaku kepada mereka yang suka tidur terlentang hingga mengakibatkan otot-otot pada lelangit dan lidah mengalami kerehatan penuh hingga mengecil serta menyumbatkan injap saluran pernafasan.

Seterusnya, apabila mereka menarik nafas, angin yang masuk dalam ruang sempit akan menyebabkan berlakunya dengkur.

Tambah beliau lagi, biasanya masyarakat selalu memandang ringan kepada berdengkur.

Katanya, walaupun berdengkur ini dilihat tidak serius tetapi sekiranya ia tidak diubati akan mengakibatkan penyakit lain seperti sleep apnoea yang menyebabkan kegagalan jantung dan angin ahmar.

Beliau yang mengkelaskan berdengkur kepada tiga peringkat:-

* Berdengkur peringkat pertama ialah, berdengkur yang ringan dengan empat atau lima kali dengkuran kemudiannya berhenti dan seterusnya diulangi lagi.

* Kedua, berdengkur yang sederhana iaitu berdengkur berterusan selama 10 hingga 15 minit dan bunyinya yang sama rata.

* Ketiga, berdengkur yang serius diikuti dengan berhentinya pernafasan sehingga terjaga. Kemudiannya akan menarik nafas yang dalam dan keadaan ini diulanginya secara berterusan. Dengkuran ini dipanggil sleep apnoea.

Jelasnya lagi, kebanyakan wanita tergolong dalam kelas pertama dan kedua dan mereka jarang sekali mengalami dengkuran yang serius.

Menurut beliau, mereka yang mengalami keletihan juga boleh mengakibatkan berdengkur.

Golongan ini katanya, dikelaskan dalam berdengkur ringan kerana hanya berdengkur sekali sekala dan bukannya setiap malam. Disebabkan terlalu letih di siang hari, jelasnya, mereka akan berdengkur apabila otot-otot di bahagian leher kepala dan mulut mengalami kerehatan yang berlebihan.

Ini juga berlaku kepada individu yang suka meminum minuman keras.

Setiap kali beliau menemui pesakit, pertanyaan yang akan diajukan sama ada mereka mengalami mengantuk yang berlebihan pada waktu siang.

Ini kerana katanya, gejala mengantuk itu menandakan pesakit mengalami sindrom sleep apneoa.

Katanya lagi, para pesakit boleh mengesan sendiri simpton ini apabila mereka sering tertidur tatkala memandu, menaiki bas atau membaca.

”Selain itu, berdengkur boleh dikesan ketika mereka yang menjalani pemeriksaan fizikal mendapati anak tekak dilelangit lebih panjang daripada biasa sehingga mencecah lidah,” katanya lagi.

Selain itu ujar beliau, ia boleh dikesan apabila anak tekak itu bengkak dan merah.

Menurut beliau, rawatan akan dilakukan untuk membuka ruang pernafasan yang telah tersumbat dengan pembedahan.

Cara lain atasi berdengkur:

* Dr. Abdullah Sani menasihati mereka yang berdengkur supaya tidak tidur terlentang tetapi tidur mengiring.

* Kaedah lama pula dengan cara menjahitkan poket di belakang baju atau seluar dan masukkan bola tenis ke dalam poket yang telah dijahit.

Cara ini boleh menyebabkan ketidakselesaan ketika tidur khususnya kepada mereka yang suka tidur terlentang dan mengelakkan berdengkur.

Sebagai mengakhiri perbualannya beliau memberitahu, dengan membeli bantal yang direka khas seperti contour pillow boleh menghindarkan masalah berdengkur. Bagaimanapun katanya, doktor tidak dapat memastikan sama ada ia boleh dihindarkan sepenuhnya ataupun tidak.


Sumber : rampaiseri.wordpress.com


Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.

Khamis, 26 November 2009

2 Qurban: Kelebihan & Hikmahnya


Hadis :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu" Riwayat at- Tirmidzi

Huraian :
i) Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

ii)Antara hikmah korban adalah:
a) Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s.
b) Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah-ruah.
c) Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.

iii) Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban amat besar. Antaranya ialah:
a) Menambah amal kebajikan- Sabda Rasulullah s.a.w: Maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan".(Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
b) Sebagai penebus dosa- Sabda Rasulullah s.a.w kepada Sayyidatina Fatimah:
Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu".(al-Bazzar dan Ibnu Hibban)
c) Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah- Sabda Rasulullah s.a.w:
Maksudnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla."

Hadis :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu" Riwayat at- Tirmidzi

Huraian :
i) Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

ii)Antara hikmah korban adalah:
a) Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s.
b) Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah-ruah.
c) Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.

iii) Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban amat besar. Antaranya ialah:
a) Menambah amal kebajikan- Sabda Rasulullah s.a.w: Maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan".(Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
b) Sebagai penebus dosa- Sabda Rasulullah s.a.w kepada Sayyidatina Fatimah:
Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu".(al-Bazzar dan Ibnu Hibban)
c) Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah- Sabda Rasulullah s.a.w:
Maksudnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla."


Sumber : jqafskpht.blogspot.com


Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.

0 Lukisan Cinta (Episod 3)


Cerpen Oleh : Triple M

“Apa khabar mak cik?”
“Panggil ummi saja. Lebih mesra.” Perempuan itu gemar membahasakan dirinya begitu. Malah orang kampung juga memanggilnya dengan panggilan tersebut. Tidak pernah orang bertanyakan nama sebenarnya.
“Mandi parit dengan baju sekali?”
“Si Zuhri ni yang tak sabar sangat nak mandi. Maklumlah orang bandar,” usik Alwi. Temannya menjeling tajam. Ummi masuk ke dalam sebuah kamar dan keluar semula membawa dua helai tuala.
“Cantik rumah ummi,” puji Zuhri. Ummi tersenyum bagai menghargai pujian itu.
“Ummi tinggal seorang saja?” Sambung Zuhri lagi.
“Kalau kamu berdua tinggal di sini, adalah teman ummi berbual,” jawabnya.
“Ummi ni suka berkebun. Kalau kita tak datang, esok pagi baru dia pulang ke rumah,” seloroh Alwi. Ummi cuba-cuba mencubit Alwi, sedang dia menepis-nepis dengan tangan. Zuhri tersenyum saja. Kemudian ummi memberi isyarat untuk ke dapur. Alwi dan Zuhri masuk ke bilik masing-masing untuk menyalin pakaian. Bilik Zuhri tidak pernah diguna sesiapa, tetapi ia sangat bersih dan terurus. Dia terpegun melihat perabot-perabot di bilik itu seperti almari dan katil kerana ia adalah klasik. Perabot seperti itu sudah tiada di pasaran. Jika dijual nilainya amat tinggi. Sebentar tadi dia sudah terpegun melihat jam dinding lama yang sudah tidak berfungsi. Bentuknya cantik dan unik. Dia yakin jam itu boleh dibaiki. Dia mengelamun sebentar. Tak menyangka masih ada lagi orang yang mempunyai koleksi barang antik di samping tinggal di rumah Melayu tradisional. Suasana persekitaran juga belum tercemar. Dia cuba membanding-bandingkan dengan kehidupan di kota. Rumah banglo dua tingkat dengan perabot yang serba moden dan canggih. Tetapi tidak dapat menikmati harmoni alam sekitar yang bersih. Mereka terpaksa berkurung di dalam rumah sambil menikmati penghawa dingin untuk menyejukkan badan. Tidak ada pohon-pohon hijau yang meredup dan menyejuk suasana. Tidak ada parit untuk mandi-manda dan melupakan tekanan di tempat kerja. Yang ada hanyalah longkang besar yang sendat dengan sampah-sarap dan juga loji kumbahan najis. Dia merasakan betapa untungnya Alwi dapat menikmati hidup yang indah di sini. Muncul sedikit rasa cemburu terhadap teman sekerjanya itu.

“Hei, berangan ke?” Suara itu menyentap Zuhri dari lamunnya. Alwi tercegat di pintu bilik.
“Aku nak keluar sekejap beli barang dapur. Kalau kau nak mandi ada bilik air di belakang.” Ucap Alwi. Zuhri angguk kepala. Menunggu suara kereta Alwi hilang dari pendengaran. Kakinya mula melangkah ke dapur. Dalam perjalanan itu, matanya terpegun terhenti di sebuah bilik bertutup. Dia tertarik untuk mendekatinya seolah-olah ada yang memanggil-manggil namanya dari dalam. Tangannya membuka daun pintu yang tak berkunci itu. Alngkah kagetnya dia sebaik melihat puluhan, malah ratusan lukisan yang tergantung di dinding kamar itu. Ibaratnya sebuah galeri lukisan yang belum tersusun rapi. Ada yang berbingkai, ada yang dibiar di lantai. Ada juga yang masih belum sempurna dilukis. Cantik! Memang cantik! Zuhri mengamati satu-persatu. Semuanya bermediumkan guache dan watercolour. Yang lebih menarik semuanya bermotifkan parit! Zuhri terkagum. Apa istimewanya parit? Baru sebentar dia mandi di parit. Tapi dia tidak merasakan sesuatu yang istimewa pun. Apa lagi mahu merakamkan imejnya di atas kanvas. Dia juga tertanya-tanya siapa yang melukisnya? Lukisan yang banyak sebegitu mustahil dibeli dari seorang pelukis.

...bersambung

Rabu, 25 November 2009

2 Rumah-Rumah Pelik & Aneh

Jika kita rasa rumah kita adalah yang paling cun dan paling menarik, barangkali kita silap. Sebenarnya di dunia ini banyak lagi rumah yang menarik dan pelik yang dihasilkan oleh manusia yang kreatif. Mungkin kita tidak pernah menduga hendak membina rumah sebegitu, tapi bagi mereka ia mungkin menjadi satu kepuasan dan lambang kemegahan bagi mereka. Inilah antara rumah dan bangunan pelik yang wujud di luar negara..






















Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.
 

FIKRAH PUTERA ISLAM Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates