Selasa, 15 Jun 2010

1 Sambutan Nisfu Syaaban Bukan Sunnah?


Apabila memperkatakan tentang bulan Sya’ban, maka tentu sekali tarikh 15 Sya’ban atau juga lebih di kenali sebagai Nisfu Sya’ban akan bermain-main di fikiran masing-masing. Pada tarikh ini atau lebih spesifik pada waktu malamnya dianggap sebagai satu malam yang memiliki kemuliaan khusus sehinggakan rata-rata umat Islam di Malaysia mengadakan amalan-amalan tertentu seperti melakukan solat malam yang khusus, berpuasa pada siang hari, membaca surah Yassin sebanyak 3 kali dan diselang-selikan dengan doa-doa tertentu.

Ada juga yang beranggapan pada malam inilah diangkat segala amalan kita dan ditentukan segala perkara berhubung dengan kehidupan makhluk seperti hidup, mati, rezeki, untung rugi dan lain-lain atau dikenali sebagai al-Qadr. Melalui buku ini, penulis akan cuba mengutarakan beberapa perkara yang sering diperdebatkan tentang Nishfu Sya’ban seperti:

1. Status Hadis Tentang Nisfu Sya’ban

2. Amalan-amalan Khusus Sempena Nisfu Sya’ban

3. Benarkah al-Qadr Itu Jatuh Pada Malam Nisfu Sya’ban?

STATUS HADIS TENTANG NISFU SYA’BAN

Hadis-hadis yang membicarakan tentang Nishfu Sya’ban kesemuanya berstatus daif (lemah) dan maudu’ (palsu) kecuali terdapat sebuah hadis menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h adalah sahih daripada Nabi s.a.w, iaitu riwayat yang diterima daripada Mu’az bin Jabal r.a yang berbunyi:

"ALLAH memerhatikan kepada makhluk-NYA pada malam Nisfu Sya’ban lalu DIA memberi keampunan kepada semua makhluk-NYA kecuali orang musyrik dan orang yang suka bergaduh." – Hadis riwayat Ibn Abu ‘Ashim di dalam Kitab al-Sunnah, Ibn Hibban di dalam Sahihnya dan al-Hafiz Ibn Hajar al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid.

Oleh itu, sekiranya kita ingin termasuk di kalangan orang diberi keampunan oleh ALLAH pada malam Nisfu Sya’ban, kita hendaklah termasuk di kalangan orang yang tidak melakukan perbuatan syirik serta menghindari sifat suka bergaduh.

Namun, seharusnya kita sedari bahawa ALLAH juga turun ke langit dunia setiap hari pada sepertiga akhir malam.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"TUHAN kita Tabaraka wa Taala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika masih tinggal sepertiga malam yang akhir. ALLAH berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-KU, pasti AKU akan memakbulkannya; sesiapa yang meminta kepada-KU, pasti AKU akan memberinya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-KU, pasti AKU akan mengampunnya.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1145.

Oleh itu, sewajarnya kita mempertingkatkan amal ibadah yang benar-benar sahih daripada Nabi s.a.w sepanjang masa. Sewajarnya kita tidak hanya menunggu hari-hari tertentu atau malam-malam tertentu seperti malam Israk dan Mikraj atau Nisfu Sya’ban melainkan terdapat dalil yang sahih menunjukkan pada malam tersebut sememangnya memiliki fadilat-fadilat tertentu seperti bulan Ramadan dan malam lailatulqadar.

Amalan-amalan Khusus Sempena Nisfu Sya’ban

Sekiranya kita perhatikan hadis sahih tentang Nisfu Sya’ban yang telah penulis ketengahkan di atas, kita dapati ia tidak menganjurkan upacara-upacara tertentu mahupun ibadah-ibadah khusus sempena Nisfu Sya’ban.

Oleh itu, amalan-amalan khusus pada hari Nisfu Sya’ban seperti berpuasa, solat pada malamnya, membaca surah yasin sebanyak 3 kali, doa-doa tertentu dan lain-lain bukanlah amalan yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w mahupun para sahabat.

Sekiranya amalan-amalan khusus pada malam tersebut memiliki keutamaan yang tinggi serta memberi manfaat yang besar kepada umat Islam pasti baginda serta para sahabat akan mendahului kita dalam mengamalnya.

Syeikh Muhammad Abdul Salam r.h berkata:

"Solat enam rakaat pada malam Nisfu Sya’ban dengan niat menolak bala, panjang umur, untuk kekayaan dan juga membaca surah Yasin serta doanya merupakan hal yang baru dalam agama (bid'ah) dan bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w." – Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry, edisi terjemahan bertajuk Bid'ah -Bid'ah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta (2004), ms. 155.

Imam al-Nawawi r.h menyatakan di dalam Kitab Majmu’ Syarh Muhazzab:

"Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib, iaitu 12 rakaat yang dilakukan antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama dari bulan Rejab dan solat Nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat, kedua-dua solat tersebut adalah bid'ah yang mungkar. Oleh itu, janganlah terpedaya kerana kedua-duanya disebut di dalam Kitab
Qutub al-Qulub dan Ihya’ Ulum al-Din dan jangan terperdaya dengan hadis yang disebut di dalam kedua-dua kitab itu kerana semuanya adalah batil belaka." – Rujuk Amalan Bid'ah Pada Bulan Muharram, Rejab, Sya’ban & Ramadhan karya Dr. Abdul Ghani Azmi bin Hj. Idris, Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur (1995), ms. 106.

Setelah menyebut sejumlah ayat dan hadis serta pendapat para ulama tentang malam Nishfu Sya’ban, Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz r.h berkata:

"Berdasarkan ayat-ayat, hadis-hadis dan pendapat para ahli ilmu di atas jelaslah bagi orang yang mencari kebenaran bahawa memperingati malam Nishfu Sya’ban dengan solat dan sebagainya serta mengkhususukan siangnya untuk berpuasa adalah bid'ah mungkar menurut kebanyakkan ahli ilmu dan tidak ada dasarnya dalam syari’at yang murni, tetapi peringatan malam Nishfu Sya’ban ini terjadi dalam Islam setelah masa sahabat. Cukuplah bagi para pencari kebenaran mengenai masalah ini dan masalah lain melihat firman ALLAH:

"Pada hari ini, AKU telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, AKU telah cukupkan nikmat-KU kepada kamu semua dan AKU telah redha Islam itu menjadi agama kamu semua." – Surah al-Maaidah: 3.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesiapa yang melakukan satu amal (berkaitan agama) yang bukan dari suruhan kami, ia tertolak." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1718.

Dalam riwayat lain:

"Jangan kamu semua mengkhususkan malam Jumaat untuk solat malam (qiamullail) antara malam lain dan jangan mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa antara hari lain kecuali puasa wajib." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1144.

Seandainya mengkhususkan malam-malam tertentu dengan ibadah itu dibolehkan, tentu malam Jumaat lebih utama untuk dikhususkan berbanding malam-malam lain. Ini kerana, malam Jumaat adalah hari terbaik sebagaimana terdapat di dalam hadis sahih.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sebaik-baik hari yang mana matahari terbit pada hari itu ialah hari Jumaat." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab al-Jama’ah, hadis no: 854.

Ketika Nabi s.a.w melarang untuk mengkhususkannya antara malam-malam lain, hal ini menunjukkan bahawa malam-malam lain walaupun dianggap mulia, juga tidak boleh dikhususkan untuk beribadah kecuali ada dalil sahih yang menunjukkan pengkhususannya. " – Rujuk Kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya Syeikh Abdullah bin Abdul Azizi al-Tuwaijiry, edisi terjemahan bertajuk: Ritual Bid'ah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta (2003) ms. 319-320.

Oleh itu, tidak ada amal ibadah yang perlu dikhususkan sempena Nisfu Sya’ban kerana tidak ada hadis sahih yang tsabit daripada Nabi s.a.w menganjurkannya. Hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh golongan sebagai hujah terdapat amalan-amalan tertentu berkaitan Nisfu Sya’ban kesemuanya daif (lemah) dan maudu' (palsu) sehingga tidak boleh dijadikan hujah.

Tentang penggunaan hadis-hadis yang tidak tsabit daripada Rasulullah s.a.w, Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat telah menyatakan pendapat Imam Tohawi r.h di dalam kitabnya al-Masaa-il, jilid 1, muka surat 41:

"Sesiapa yang menceritakan (hadis) daripada Rasulullah s.a.w atas dasar zon (sangkaan) bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w tanpa kebenaran. Justeru, orang yang menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w tanpa kebenaran, bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w secara batil. Manakala orang yang telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w secara batil, pasti dia menjadi salah seorang pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi s.a.w sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 107:

"Sesiapa yang sengaja berdusta atas namaku, dia hendaklah mengambil tempat tinggalnya di neraka."

Dakwaan Ibn Rajab Menyokong Amalan Nisfu Sya’ban

Terdapat sesetengah pihak yang mempergunakan nama al-Hafiz Ibn Rajab r.h untuk menyokong dakwaan bahawa harus menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan amalan ibadah di masjid-masjid. Mari kita lihat apa sebenarnya yang diperkatakan oleh al-Hafiz Ibn Rajab r.h di dalam al-Latoif al-Ma’aarif, cetakan Darul Ihya al-Kutub Arabiyah, Kaherah, 1342 H, muka surat 144:

Para tabi’in yangmenetap di Syam seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir dan lain-lain lagi mengagungkan malam Nisfu Sya’ban dan mereka bersungguh-sungguh beribadah di dalamnya. Hasil usaha merekalah akhirnya orang ramai mengambil kemuliaan pengangungan malam Nisfu Sya'ban.

Ada yang mengatakan bahawa masalah ini telah sampai kepada mereka (iaitu pengagungan malam Nisfu Sya’ban) beberapa hadis-hadis israiliyat. Ketika hal ini terbongkar di negeri itu, orang ramai berselisih pendapat dalam hal ini. Antara mereka ada yang menerimanya dan sepakat untuk mengagungkannya. Mereka ini adalah beberapa orang dari negeri Basrah dan selainnya. Sedangkan, kebanyakan ulama Hijaz seperti Atha’ dan Ibn Abi Malikah menolak pengagungannya.

Dinukil daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam daripada ulama fikah penduduk Madinah, iaitu pendapat sahabat Imam Malik dan lain-lain bahawa semua itu adalah bid'ah.

Para ulama Syam berselisih pendapat tentang cara meramaikannya. Paling tidak ia terbahagi kepada dua pendapat, iaitu:

1. Disunnahkan meramaikannya dengan cara berjemaah di masjid. Khalid bin Ma’dan dan Luqman bin Amir dan selainnya memakai pakaian terbaik, berbangga dan bermegah-megah untuk tinggal di masjid pada malam itu. Cara semacam ini disepakati oleh Ishak bin Rahawaih dan dia memberi komentar mengenai perayaan itu di dalam masjid, ia bukan termasuk bid'ah sebagaimana dinukilkan oleh Harb al-Kirmani daripadanya di dalam Kitab Masail.

2. Berkumpul pada malam itu di dalam masjid untuk solat, membaca cerita dan doa hukumnya makruh. Tetapi, tidak makruh apabila seseorang mengerjakannya secara bersendirian. Inilah pendapat yang dipegang oleh al-Auza’i, imam penduduk Syam, orang yang fakih dan alim antara mereka. Malah, pendapat ini lebih menghampiri kebenaran. – Rujuk Kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya Syeikh Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry, edisi terjemahan bertajuk: Ritual Bid'ah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta (2003), ms. 314-315.

Inilah antara kata-kata yang telah dilontarkan oleh Ibn Rajab r.h. Beliau hanya menukilkan beberapa pendapat ulama dan mentarjihkannya. Apa yang dapat kita fahami daripada kata-katanya ialah:

1. Amalan pengangungan Nisfu Sya’ban ini hanyalah amalan para tabi’in di Syam. Ia bukan berasal daripada Rasulullah s.a.w mahupun para sahabat.

2. Menurut Ibn Rajab, ada yang berpendapat mereka berdalilkan hadis-hadis israiliyat. Bolehkan hadis israiliyat di jadikan hujah untuk mensunatkan sesuatu amalan? Itu pokok persoalannya.

Tambahan pula ulama-ulama hadis telah mengumpulkan hadis-hadis yang membicarakan tentang keutamaan malam Nisfu Sya’ban yang kemudiannya setelah ditahqiq atau dilakukan penilaian mengenai darjat hadis tersebut, mereka merumuskan bahawa tidak ada satupun riwayat sahih kecuali sebuah riwayat daripada daripada Mu’az bin Jabal r.a sebelum ini.

Hadis tersebut tidak menunjukkan amalan tertentu sempena Nisfu Sya’ban. Sekiranya ingin diampunkan oleh ALLAH pada malam tersebut, kita hendaklah menjauhi perbuatan syirik dan jangan suka berbalah.

3. Amalan tersebut tersebut ditolak oleh jumhur ulama hijaz seperti di Madinah. Sebagaimana yang telah kita sedia maklum, majoriti para sahabat r.a menetap di Hijaz. Namun, tidak terdapat satu riwayatpun yang menunjukkan para sahabat dan tabi’in di Hijaz mengamalkan amalan seperti penduduk di Syam.

4. Tidak ada di dalam kaedah mana-mana mazhab bahawa amalan penduduk Syam boleh dijadikan hujah. Apatah lagi amalan tersebut maqthu’ (terhenti) kepada segelintir kecil tabi’in di Syam. Tambahan pula menurut kaedah Mazhab Syafie, amalan yang mauquf kepada sahabat tidak boleh dijadikan hujah. Inikan pula amalan yang hanya maqthu’ pada tabi’in. Oleh itu, kaedah dari mazhab mana yang dipakai untuk mensunatkan amalan tertentu pada malam Nisfu Sy’aban?

5. Ibn Rajab sendiri telah menguatkan pendapat bahawa meramaikan masjid dengan upacara-upacara ibadah sempena malam Nisfu Sya’ban hukumnya makruh. Pendapat ini juga dipersetujui oleh imam paling masyhur di kalangan penduduk Syam, iaitu Imam al-Auza’i r.h.

6. Keharusan yang diberikan oleh Ibn Rajab dan al-Au’za’i untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan ibadah secara sendirian juga tidak boleh dijadikan hujah kecuali didatangkan dalil tentang keharusannya. Tetapi, sememangnya hadis yang mampu dijadikan dalil tidak wujud. Walau bagaimanapun, harus meneruskan amalan-amalan sunnah yang sememangnya biasa dilakukan pada malam-malam lain seperti tahajjud, baca al-Quran, berdoa dan berzikir sama ada pada bulan Sya'ban atau bulan-bulan lain.

7. Ibn Rajab tidak menceritakan tentang amalan mengkhususkan bacaan Yassin yang diselang-selikan dengan doa-doa khusus sebagaimana yang biasa diamalkan oleh umat Islam di Malaysia.

8. Ibn Rajab juga tidak menceritakan tentang puasa Nisfu Sya’ban sebagaimana yang biasa diamalkan di negara kita.

9. Di dalam kitab yang sama, Ibn Rajab juga menyatakan bahawa solat malam Nisfu Sya’ban tidak ada dalilnya baik daripada Nabi s.a.w mahupun para sahabat. Tetapi, ia hanya tradisi peninggalan sebahagian tabi’in dari ulama fikah yang menetap di Syam.

Benarkah al-Qadr Berlaku Pada Malam Nisfu Sya’ban?

Al-Qadr bermaksud penetapan. Oleh itu, mereka yang beranggapan al-Qadr itu berlaku pada malam Nishfu Sya’ban sebenarnya mereka mengandaikan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya akan ditentukan pada malam tersebut. Mereka menduga pada malam inilah diangkat segala amalan kita dan ditentukan segala perkara berhubung dengan kehidupan makhluk. Mereka berhujah dengan Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (KAMI berbuat demikian) kerana sesungguhnya KAMI sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba KAMI tidak ditimpa azab). (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan yang bakal berlaku." – Surah al-Dukhan: 3-4.

Menurut tafsiran 'Ikrimah, malam yang diberkati dan ditetapkan segala urusan manusia itu adalah malam Nisfu Sya’ban. Namun, pendapat ini tertolak kerana nas-nas yang sahih telah menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan dan malam yang diberkati itu adalah malam lailatulqadar.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr. Dan melalui cara apa engkau mampu mengetahui kebesaran malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr lebih baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya sambil berkata:) Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." – Surah al-Qadr: 1-5.

Al-Hafiz Ibn Kathir r.h ketika mentafsirkan surah al-Dukhan, ayat 3-4, katanya:

"ALLAH berfirman menjelaskan tentang al-Quran al-Adzim bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang penuh berkat, iaitu malam al-Qadr sebagaimana firman ALLAH di dalam surah al-Qadr:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr." – Surah al-Qadr: 1.

Hal itu terjadi pada bulan Ramadan sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa ialah) bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, menjadi keterangan-keterang an yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah.

Oleh itu, sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) , dia hendaklah berpuasa pada bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, (dia bolehlah berbuka kemudian dia wajib berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.

(Dengan ketetapan itu) ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan dan DIA tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Malah supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat petunjuk-NYA dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah: 185.

Apa yang dapat diambil pengajaran di sini ialah sesiapa yang mengatakan bahawa malam yang dimaksudkan (dalam surah al-Dukhaan itu) adalah malam Nisfu Sya’ban seperti yang diriwayatkan daripada 'Ikrimah, bererti dia telah menjauhkan diri dari pengertian asalnya. Ini kerana, nas al-Quran menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan malam yang penuh berkat itu (lailatulqadar) adalah pada bulan Ramadan." – Rujuk Kitab Tafsir al-Quran al-‘Adzim karya al-Hafiz Ibn Kathir, jil. 4, ms. 137.

Syeikh Muhammad Abdul Salam r.h berkata:

"Keyakinan bahawa malam Nisfu Sya’ban adalah malam al-Qadr adalah keyakinan yang salah. Demikian kesepakatan para ulama hadis sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya. Ketika menjelaskan Sunan al-Tirmizi, Ibn al-'Arabi mengatakan bahawa firman ALLAH di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran bermaksud diturunkan pada malam Nisfu Sya’ban adalah tidak benar kerana ALLAH tidak pernah menurunkan al-Quran pada bulan Sya’ban.

Tetapi, ayat itu harus difahami secara lengkapnya sesungguhnya kami menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr di mana lailatulqadar itu hanya wujud pada bulan Ramadan. Hal ini juga ditegaskan oleh ALLAH di dalam surah al-Baqarah, ayat 185: Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya. Keyakinan al-Qadr berlaku pada malam Nishfu Sya’ban sangat bertentangan dengan Kitabullah dan sangat jauh terpesong dari isi kadungannya.

Perlu kami ingatkan bahawa ALLAH sendiri telah menegaskan tentang malam itu di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan bermaksud pada malam al-Qadr dijelaskan segala hal kepada malaikat bukannya pada malam Nisfu Sya’ban." – Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry, ms. 156.

KESIMPULAN

Dari sini dapat kita simpulkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah menetap amalan-amalan tertentu khusus pada bulan Nisfu Sya’ban dan penetapan segala urusan manusia (al-Qadr) juga tidak berlaku pada malam Nishfu Sya’ban. Pada malam Nishfu Sy’aban, ALLAH hanya akan mengampun dosa-dosa mereka yang benar-benar mentauhidkan- NYA dan tidak memiliki sifat tercela seperti bergaduh dan sebagainya.

Oleh itu, kita hendaklah menanamkan kedua-dua sifat tersebut demi mendapatkan fadilat malam Nisfu Sya’ban, iaitu diampunkan dosa-dosanya oleh ALLAH. Program-program sempena Nisfu Sya’ban juga seharusnya menekankan isu-isu berkaitan perkara yang boleh mencemari tauhid. Sedangkan, hal ini semakin berleluasa dan menular bagaikan wabak dalam kehidupan umat Islam seperti mempercayai bomoh, memakai tangkal, berdoa di kubur seseorang yang dianggap keramat, menganggap tokoh-tokoh agama seakan-akan maksum sehingga pendapatnya wajib diikuti walaupun bercanggah dengan nas, mempercayai ahli nujum, menyakini ramalan horoscope, Feng Shui dan banyak lagi.

Kita hendaklah memperbanyakkan ceramah-ceramah agama yang dapat membersihkan jiwa dari sifat-sifat keji seperti bergaduh, dengki, iri hati, khianat, busuk hati, sombong dan lain-lain agar kita dapat membentuk sebuah masyarakat yang bersatu-padu dan harmoni. Walaupun saban tahun kita menyambut kedatangan Nisfu Sya’ban, namun pencemaran tauhid masih berleluasa di kalangan masyarakat kita dan perasaan saling dengki, fitnah memfitnah dan bertelingkah pendapat tetap menjadi sifat yang sinonim dengan bangsa Melayu.


Sumber: http://fiqh-sunnah.blogspot.com/

Ahad, 16 Mei 2010

1 Sifat-Sifat Guru Yang Sempurna


Mengikut cakap orang tua lagi bijaksana, seorang guru yang baik harus mempunyai sifat-sifat kesabaran. Ini paling penting kerana seorang
guru yang tidak mempunyai kesabaran akan senang marah dan ini akan menjejaskan pembelajaran di kelas. Peribahasa “harimau betina beranak muda” bermaksud seorang itu sangat garang dan cepat marah. Ini juga akan membuat murid-murid membenci guru itu dan lama-kelamaan membuat murid-murid bersikap kurang ajar terhadap guru itu. Sifat ini amatlah penting kerana jikalau guru asyik marah sahaja, anak murid tidak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya.

Sifat yang kedua ialah sifat bertanggungjawab seorang guru. Dia harus berwawasan untuk membentuk pelajarnya menjadi manusia yang mulia. Ini adalah satu lagi sifat yang penting untuk menjadi guru yang sempurna. Sifat yang bertanggungjawab ini harus ada dalam guru kerana ini akan membuat guru akan sering memikir ke arah yang positif tentang muridnya. Sifat ini juga akan membuat guru-guru rasa lebih bertanggungjawab atas kerjaya yang mereka pilih.

Sifat yang ketiga ialah jangan putus asa. Sifat inilah yang amat penting untuk menjadi seorang guru kerana sifat inilah yang akan membangunkan semangat seorang guru agar lebih berkobar-kobar. Sifat ini akan memberi murid semangat untuk belajar tanpa putus asa juga. Ini adalah kerana guru adalah inspirasi semua murid. Guru juga adalah contoh bagi murid-murid yang diajarnya. Jadi, jikalau sebagai guru, kita menunjukkan sifat pemalas,tidak bertanggungjawab dan lain lagi-lagi, ini akan menjejas pemikiran dan semangat belajar murid-muridnya.

Sifat terakhir ialah sifat suka membaca. Seorang guru yang membaca buku akan berfikiran luas, terbuka, bijak dan bukan bersifat seperti katak di bawah tempurung. Beliau akan tahu menilaikan apa yang baik untuk diajar dan pandai menasihati murid-murid menjadi lebih berfikiran kreatif. Dalam hal ini, menuntut ilmu sampai ke negeri Cina harus menjadi pegangan kita.

Inilah antara empat sifat terpenting yang harus ada pada semua guru muda, dewasa atau tua. Guru-guru yang mempunyai sifat ini tidak akan terasa terlalai dalam kerja mereka. Menjadi seorang guru yang sempurna adalah contoh yang baik untuk semua murid kerana pengorbanan guru akan menentukan kejayaan murid. Bahkan pemimpin sekarang pun pada masa dulu pun dididik oleh seorang guru. Guru yang sempurna dibaratkan lilin yang menerangi hidup seorang pelajar. SELAMAT HARI GURU!

Sumber:tintaprsskaryaku

Khamis, 29 April 2010

0 Komposisi Tubuh Dalam Solat


Komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.Orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian. Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh. Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif. Inilah yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan. Sebelum Ramadan bermula, komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat. Keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot. Kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan. Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang.



Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut. Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus. Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal. Terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring. Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus. Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

Sumber:ymsagasama

Selasa, 27 April 2010

7 Golongan Wanita Yang Akan Diseksa Di Neraka


Sayidina Ali ra menceritakan suatu ketika melihat Rasulullah menangis manakala ia datang bersama Fatimah. Lalu keduanya bertanya mengapa Rasul menangis. Beliau menjawab, "Pada malam aku di-isra'- kan , aku melihat perempuan-perempuan yang sedang disiksa dengan berbagai siksaan. Itulah sebabnya mengapa aku menangis. Kerana, menyaksikan mereka yang sangat berat dan mengerikan siksanya."

Putri Rasulullah kemudian menanyakan apa yang dilihat ayahandanya. "Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otaknya mendidih. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dituangkan ke dalam tengkoraknya. Aku lihat perempuan tergantang kedua kakinya dengan terikat tangannya sampai ke ubun-ubunnya, diulurkan ular dan kalajengking.

Dan aku lihat perempuan yang memakan badannya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Serta aku lihat perempuan yang bermuka hitam, memakan tali perutnya sendiri. Aku lihat perempuan yang telinganya pekak dan matanya buta, dimasukkan ke dalam peti yang dibuat dari api neraka, otaknya keluar dari lubang hidung, badannya berbau busuk karena penyakit sopak dan kusta.

Aku lihat perempuan yang badannya seperti himar, beribu-ribu kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, sedangkan api masuk melalui mulut dan keluar dari duburnya sementara malikat memukulnya dengan pentung dari api neraka," kata Nabi.

Fatimah Az-Zahra kemudian menanyakan mengapa mereka disiksa seperti itu?

*Rasulullah menjawab, "Wahai putriku, adapun mereka yang tergantung rambutnya hingga otaknya mendidih adalah wanita yang tidak menutup rambutnya sehingga terlihat oleh laki-laki yang bukan mahramnya.

*Perempuan yang digantung susunya adalah isteri yang 'mengotori' tempat tidurnya.

*Perempuan yang tergantung kedua kakinya ialah perempuan yang tidak taat kepada suaminya, ia keluar rumah tanpa izin suaminya, dan perempuan yang tidak mahu mandi suci dari haid dan nifas.

*Perempuan yang memakan badannya sendiri ialah karena ia berhias untuk lelaki yang bukan mahramnya dan suka mengumpat orang lain.

*Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana
ia memperkenalkan dirinya kepada orang yang kepada orang lain bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat laki-laki yang bukan mahramnya.

*Perempuan yang diikat kedua kaki dan tangannya ke atas ubun-ubunnya diulurkan ular dan kalajengking padanya kerana ia mampu solat tapi tidak mengamalkannya dan tidak mahu mandi junub.

*Perempuan yang kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar (keldai) ialah
tukang umpat dan pendusta. Perempuan yang menyerupai anjing ialah perempuan yang suka memfitnah dan membenci suami."

Mendengar itu, Sayidina Ali dan Fatimah Az-Zahra pun turut menangis. Dan inilah peringatan kepada kaum perempuan...

Sumber : halaqah.net


Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.

Sabtu, 17 April 2010

1 Sejarah Si Bongkok Pahlawan Johor


ADA beberapa tokoh misteri yang nama mereka ‘hilang’ dalam lembaran sejarah perjuangan menentang penjajah di tanah air, ratusan tahun lalu. Walaupun kewujudan mereka suatu ketika dulu memberi sumbangan besar dan mencetuskan kegerunan di jiwa penjajah, kebanyakan tokoh ini tidak disebut dalam mana-mana dokumen sejarah.

Menyedari pentingnya sumbangan dan kewujudan pahlawan misteri itu didedahkan kepada khalayak untuk diiktiraf sejarah tanah air, ahli Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Jelebu, Negeri Sembilan; Abdul Latip Talib, memulakan penyelidikan bagi membongkar rahsia kehilangan mereka.

“Antara tokoh terbabit adalah Si Bongkok Tanjung Puteri yang sehingga kini, sejarah perjuangannya masih tidak diketahui ramai pihak,” katanya yang menulis novel sejarah berkenaan pahlawan itu, tahun lalu.

Beliau berkata, tidak seperti tokoh pejuang lain seperti Datuk Bahaman di Pahang atau Rentap di Sarawak, sejarah negara ini tidak pernah mengenali siapa Si Bongkok yang berjuang menentang British dan sekutunya di Johor.

“Ceritanya bermula apabila British mula menjajah Singapura seterusnya cuba melebarkan pengaruh mereka ke Johor,” kata Abdul Latip seterusnya memulakan kisah perjuangan Si Bongkok Tanjung Puteri yang kini semakin hilang dalam lipatan sejarah negara.

Pernah suatu ketika sekitar abad ke-19, Kerajaan Johor tidak diperintah oleh Sultannya tetapi pentadbiran dan segala urusan negeri diuruskan Temenggung Abdul Rahman atas sokongan British.

Polemik itu berlaku apabila Sultan Hussein mangkat pada 1835; putera baginda iaitu Tengku Ali cuba mendapatkan haknya sebagai Sultan Johor tetapi dihalang Temenggung Abdul Rahman.

Akibat daripada perebutan kuasa itu, muncul kisah perjuangan Si Bongkok di Tanjung Puteri (kini Johor Bahru). Beliau berhasrat mengusir pengaruh penjajah dari bumi Johor dan tidak bersetuju dengan hasrat pemerintah negeri yang berbaik-baik dengan British.

Si Bongkok juga inginkan takhta kesultanan Johor yang ketika itu dikuasai Temenggung Abdul Rahman, dikembalikan kepada pewaris asal iaitu Tengku Ali.

Si Bongkok memang nama asalnya manakala nama bapanya adalah Damak. Dinamakan dirinya sebagai ‘Si Bongkok’ berikutan keadaan tubuh badannya yang cacat iaitu bongkok ke kanan manakala tangan kirinya pula cengkung. Mukanya pula herot dan bengkak ke kanan.

Walaupun dilahirkan sebagai insan yang cacat, Si Bongkok membesar sebagai seorang pemuda yang gagah dan berani. Beliau cekap bermain senjata dan mahir dalam ilmu lautan. Si Bongkok juga dikatakan memiliki ilmu kebal yang menyebabkan jasadnya tidak akan luka sama ada ditembak atau ditikam senjata tajam.

Kewibawaan beliau dikagumi ramai pihak sehingga Si Bongkok diangkat menjadi pemimpin oleh pengikutnya yang ramai. Di kalangan musuhnya sendiri beliau digelar Panglima Si Bongkok.

Si Bongkok hidup di atas kapal layar di tengah laut. Dia mempunyai pengikut yang ramai dan masing-masing memang cekap bermain senjata serta mengendalikan kapal di laut.

Kebenciannya terhadap penjajah dan pemimpin tempatan yang mengadakan hubungan dengan bangsa asing itu menyebabkan Si Bongkok bersama pengikutnya bangkit menentang.

Mereka akan menyerang kapal bangsa asing yang melalui perairan Johor untuk berdagang di pelabuhan Tanjung Puteri atau Singapura. Tindakan itu menyebabkan British melabelkan mereka sebagai lanun.

Disebabkan serangan Si Bongkok dan pengikutnya, aktiviti perdagangan dan ekonomi di Tanjung Puteri dan Singapura semakin merosot kerana kebanyakan pedagang asing tidak lagi berani memasuki wilayah itu.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kepada British menyebabkan bangsa asing itu mengarahkan Temenggung Abdul Rahman supaya menghapuskan kumpulan Si Bongkok.

Bagaimanapun, walau pelbagai cara digunakan untuk membunuh Si Bongkok, usaha itu tidak pernah berhasil kerana dipercayai tiada siapa yang mengetahui cara untuk mengatasi ilmu kebal yang dikuasai pahlawan itu.

Usaha mengekang serangan Si Bongkok terus diperketat dengan rondaan berterusan diadakan di perairan Selat Tebrau. Kerajaan Johor dan British juga semakin khuatir kerana angkatan laut Si Bongkok memiliki ubat bedil dan senjata api hasil rampasan kapal dagang Barat yang diserang mereka.

Pada suatu hari, satu angkatan laut Johor diketuai Panglima Johor, Laksamana Daeng Alek meronda di Selat Tebrau mencari Si Bongkok. Kehadiran tentera diraja itu untuk menangkapnya sudah diketahui Si Bongkok melalui perisiknya di istana. Si Bongkok pun bersedia menghadapi tentangan angkatan Panglima Johor.

Rondaan kapal perang Panglima Johor akhirnya berjaya mengesan kedudukan kapal Si Bongkok. Mereka segera merapati kapal itu untuk menyerangnya.

Si Bongkok mengarahkan pengikutnya seramai lima puluh orang menyerang belas askar diraja itu. Pertempuran hebat berlaku di atas kapal, di tengah lautan.

Selepas lama bertempur, akhirnya angkatan Panglima Johor tewas. Mereka terpaksa berundur kembali ke pangkalan di Tanjung Puteri selepas ramai askar diraja yang terkorban dan lima kapal perangnya, karam.

Kekalahan itu tidak memutuskan semangat Panglima Johor untuk terus menyerang Si Bongkok. Pada hari yang lain, mereka menyerang lagi dengan lebih ramai askar. Angkatan perang Panglima Johor berjaya mengepung beberapa kapal Si Bongkok tetapi dengan kebijaksanaannya, Si Bongkok berjaya melarikan diri ke tempat persembunyiannya sekitar Tanjung Belungkur.

Kegagalan itu menyebabkan Laksamana Daeng Alek, Kerajaan Johor serta British semakin marah dan tertekan.

Selain Panglima Johor, turut menentang Si Bongkok adalah adiknya sendiri iaitu Panglima Putih. Berbeza dengan Si Bongkok yang menyokong Tengku Ali, Panglima Putih menyokong Temenggung Abdul Rahman menyebabkan mereka bermusuhan.

Mereka berdua juga dikatakan mencintai gadis yang sama iaitu Si Tanjung. Bersama Laksamana Daeng Alek, Panglima Putih beberapa kali menyerang abangnya tetapi tetap gagal menghapuskan Si Bongkok. Si Bongkok pula terus menyerang kapal dagang yang ingin berlabuh di Tanjung Puteri dan Singapura.

Episod akhir perjuangan Si Bongkok berlaku apabila sekali lagi kapalnya diserang. Akan tetapi, serangan pada kali itu lebih dahsyat kerana setiap penjuru perairan Selat Tebrau sudah dikepung angkatan laut Johor.

Si Bongkok dapat melepaskan diri ke Tanjung Belungkur, tempat persembunyiannya tetapi kapal Panglima Putih terus mengejar.

Lirik lagu Tanjung Puteri

Tajuk Johor Tanjung Puteri
Selat Tebrau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu

Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri

( korus )
Tanjung Sekijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana Hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diraja

Dari Tebrau orang berakit
Singgah Stulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri

Inggeris label pemuda cacat sebagai pengganas

“SELEPAS Si Bongkok menemui ajalnya di tepi pantai itu, mayatnya dijumpai seorang penduduk tempatan dikenali Uteh Jantan.

“Kemudian Uteh Jantan bersama beberapa penduduk kampung membawa mayat Si Bongkok sehingga ke lereng bukit Tanjung Puteri dan pahlawan itu dikebumikan di situ secara rahsia,” kata penulis novel Si Bongkok Tanjung Puteri, Abdul Latip Talib.

Beliau berkata, pengebumian itu dilakukan secara rahsia kemungkinan bagi mengelakkan Kerajaan Johor dan British mengambil jasad pahlawan yang sememangnya disokong penduduk tempatan.

Katanya, penduduk terbabit juga mungkin khuatir mereka akan ditahan pihak berkuasa kerana mengebumikan jasad Si Bongkok menyebabkan mereka tidak menghebohkan lokasi mayat itu ditanam.

Kini, pusara berkenaan terletak dalam hutan belukar di kaki bukit Tanjung Puteri dan pengunjung perlu meredah semak dan denai selama setengah jam untuk sampai di sana. Penduduk yang tidak biasa dengan keadaan hutan itu, pasti tersesat dan tidak menemui kubur pahlawan berkenaan.

Sebaik melihat pusara berkenaan pula, perasaan sayu dan pilu menjelma di jiwa tatkala melihat keadaannya yang terbiar tanpa ada usaha untuk memuliharanya. Pusara itu sekadar bernesankan sekeping papan yang sudah reput.

“Mengikut cerita penduduk tempatan, nesan itu diletakkan seorang lelaki pada 23 Januari 1981 selepas dia bermimpi didatangi Si Bongkok yang menyuruhnya menanda pusara pahlawan berkenaan,” katanya.

Abdul Talib berkata, berdasarkan penemuan kubur berkenaan selain cerita mengenai Si Bongkok yang tersebar secara lisan sehingga hampir ke seluruh Johor sehingga kini, maka beliau yakin yang Si Bongkok sememangnya pernah wujud dan bukanlah cerita dongeng. Malah, namanya turut disebut dalam lagu rakyat Johor iaitu ‘Tanjung Puteri’.

Katanya, beliau mula menulis novel sejarah mengenai Si Bongkok sejak tahun lalu bagi memperbetulkan kembali ‘fitnah’ yang dilemparkan terhadap pahlawan itu kononnya beliau adalah lanun dan bukannya pejuang menentang penjajah.

Selain itu, usaha membukukan kisah perjuangan Si Bongkok juga dibuat Abdul Latip bagi membolehkan cebisan sejarah lisan yang tersimpan dalam ingatan orang lama, tidak hilang ditelan masa seterusnya nama Si Bongkok akan dikenang melewati masa.

“Saya percaya ramai pejuang Melayu yang nama mereka hilang daripada lipatan sejarah negara kita dan Si Bongkok adalah seorang daripada pejuang itu; sejarah kita dulu ditulis British menyebabkan ramai pahlawan kita yang menentang mereka dianggap penderhaka dan nama mereka tidak dicatat dalam sejarah.

“Saya berharap supaya sejarah ini boleh diperbetulkan semula dan pihak terbabit perlu tampil mengiktiraf perjuangan Si Bongkok setaraf dengan nama pejuang lain seperti Tok Janggut, Dol Said dan sebagainya,” katanya.

Abdul Latip juga menggesa pihak berkuasa supaya memulihara pusara Si Bongkok sebagai satu daripada warisan peninggalan sejarah yang bukan saja dibanggakan rakyat Johor tetapi rakyat negara ini.

“Saya sendiri sudah pergi ke Tanjung Belungkur untuk melihat sendiri pusara Si Bongkok Tanjung Puteri, keadaannya amat menyedihkan kerana terbiar. Selepas 50 tahun kita merdeka, masihkah kita sependapat dengan penjajah yang melabelkan Si Bongkok itu lanun dan pengganas?” katanya.


Sumber:tawau.wordpress.com

Jumaat, 9 April 2010

8 Al-Quran Membongkar Asal Besi



Saya nak kongsi pasal satu artikel dalam Majalah Infiniti mengenai perihal BESI yang konon nyer besi nih asalnya berasal dari angkasa. Ape yang best dalam artikel tuh mengenai pandangan Prof. Madya Dr. Arip Kasmo yang memetik sepotong ayat Al-Quran yang berbunyi:

"... Dan kami turunkan (anzalna) besi yang di dalamnya mempunyai kekuatan yang amat dasyat dan memberi manfaat untuk manusia..." (Al-Hadid, ayat 25)

Kata Prof. tuh, surah Al-Hadid mungkin ade maksud tersirat.

"Surah ini merupakan surah ke-57 di dalam Al-Quran. Jika dilihat dari sudut kimia, besi atau ferum adalah adalah unsur dalam jadual berkala yang mempunyai simbol Fe. Unsur-unsur di dalam jadual berkala ini disusun mengikut struktur elektron yang terdapat padanya. Fe-57 adalah salah satu isotop besi yang stabil. Susunan ini dilihat mempunyai persamaan dengan surah besi Al-Hadid".

"Manakala Jumlah dalam ayat ini ialah 25 ayat. Sekiranya ditambah dengan lafaz bismillah, jumlah ayatnya akan jadi 26-sama dengan nombor atom atau besi dalam jadual berkala. Adakah ini semua kebetulan?".

Rabu, 10 Mac 2010

0 Kasih Najwa (Episod 4)



Cerpen Oleh : Triple M

“Mak, esok Jua ingat nak ke KL.”
Mak Sailah kaget mendengar kata-kata itu. Dilepaskan kain yang sedang dilipatnya. Dia memberi isyarat supaya anak sulongnya itu datang kepadanya. Najwa pun duduk di sisi ibu itu.
“Kenapa? Kau nak kerja?”
Teka Mak Sailah. Najwa mengangguk. Mukanya tunduk.
“Jauh tu! Dekat kampung ni pun ada kilang kalau nak kerja.”
“Jua nak cuba nasib di sana. Mana tahu gaji lebih besar. Boleh bantu mak.”
Jawabnya.
“Kita masih boleh hidup. Adik-adik kau pun ada biasiswa masing-masing. Kita masih boleh terus jual nasi lemak dan kuih.”
Mak Sailah tak letih memujuk.
“Jua dah bosan di kampung ni. Dah lama Jua macam ni. Jua pun ada cita-cita biarpun tak dapat masuk universiti macam adik-adik.”
“Mak sedar dulu mak silap. Kau sepatutnya sambung belajar, lepas tu dapat kerja yang bagus.”
Mak Sailah mengesat air matanya yang meleleh dengan bajunya. Bahunya terhinjut-hinjut. Najwa cuba menenangkannya.
“Jangan cakap macam tu, mak. Selama ni Jua ikhlas bantu keluarga kita. Jua hanya nak cuba hidup berdikari.”
Akhirnya dia berjaya memujuk ibunya. Hasrat Najwa hendak pergi ke Kuala Lumpur termakbul jua. Dia tahu ibunya berat hati hendak melepaskannya. Tetapi dia harus keluar dari kampung itu. Dia tidak tahu bila dia akan kembali lagi. Dia merasa dirinya tidak dihargai. Walaupun ibunya kelihatan bersedih dan berat hati, tetapi Najwa tidak fikirkan itu. Dia masih makan hati dengan tindakan ibunya yang terlampau menyayangi Najla dan Madiha. Dia juga tidak risau membiarkan ibunya tinggal seorang diri. Najwa tidak fikir itu semua. Dia mahu melarikan diri dari konflik yang mengacau jiwanya. Untuk apa lagi dia di situ andai dia tidak mendapat kasih sayang yang selayaknya dari seorang ibu.
Di serambi rumah, Najwa merenung sang rembulan yang terang. Air matanya menitis. Dia cuba menahan esakan supaya tak didengari oleh ibunya. Najwa berasa menyesal atas apa yang dilakukannya sebentar tadi. Dia tidak pernah melawan kata-kata ibunya, apalagi menghancurkan hatinya. Dua tapak tangan ditadah.
“Ya Allah, ampunilah aku. Tunjukkan aku jalan yang lurus. Pimpinlah aku supaya selalu berada dalam lindungan dan petunjuk-Mu, ya Allah.”
Najwa berada dalam kekeliruan. Dia tidak sedar apa yang dilakukannya. Sewaktu berbicara dengan ibunya tadi, dia seolah-olah bukan dirinya. Ya, iblis telah berjaya mengganggu jiwanya. Dalam sekelip mata saja dia mampu melupakan semua jasa dan pengorbanan wanita tua itu. Mak Sailah berusaha mati-matian agar semua anak-anaknya berjaya meskipun ketiadaan suami untuk membantu. Najwa melupakan semua itu tadi.

Tetapi kini dia mulai sedar. Dia tidak harus bersikap demikian. Namun apa yang sudah berlaku tidak dapat diundur lagi. Di sebalik rasa kesal itu, dia masih terasa dirinya disisihkan. Dia tidak mengharapkan apa-apa. Hanya dia berharap ibunya dapat mencurah kasih sayang secara adil terhadap mereka tiga beradik. Peristiwa sehari sebelum Hari Raya Korban yang lalu masih segar di ingatan. Mulai hari itu, Najwa berasa dirinya tidak berharga lagi buat ibunya. Baiklah, dia telah pun bernekad. Esok dia akan tetap ke Kuala Lumpur.
“Biar apa pun berlaku, aku takkan pulang lagi.”



...bersambung


Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.
 

FIKRAH PUTERA ISLAM Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates