Jumaat, 25 September 2009

0 Keutamaan Puasa Enam Syawal


Barangsiapa menanam pokok kerana mengharapkan buahnya, dia akan menyiramnya pada waktu-waktunya. Tanda menyerapnya pohon itu terhadap air ialah daun-daunnya menjadi hijau subur. Apabila telah subur dan berlalu beberapa lama, kemudian terkena panas matahari dan daun-daunnya menjadi kering, nyatalah pokok itu tidak menyerap air. Apabila daunnya tidak kering, malah menghijau, nyatalah pohon itu menyerap air.

Begitu juga dengan keadaan manusia, di dalam bulan Ramadhan mereka berpuasa, mengerjakan solat, membaca Al Quran dan melakukan berbagai-bagai amalan kebaikan dan kebajikan. Iaitu semata-mata mengharapkan diterimanya semua amalan dengan sebab berkatnya bulan Ramadhan. Tanda diterimanya segala amalan itu ialah sesudah bulan Ramadhan dia masih tetap selalu taat dan selalu beribadah.

Puasa enam di bulan Syawal ialah amalan Rasulullah, para sahabat dan orang-orang soleh. Banyak kelebihan-kelebihan dan keutamaannya yang disebut oleh Rasulullah saw dan orang-orang soleh. Sabda Nabi saw.:

“Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian mengikut sertakannya enam hari di bulan Syawal, maka dia terlepas dari dosa-dosanya sebagaimana dia dilahirkan oleh ibunya.”

“Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadhan kemudian menyertakan bulan Ramadhan itu dengan puasa enam hari dari bulan Syawal, dia seperti berpuasa setahun penuh.”

Seterusnya sabda Nabi saw.:

“Orang yang berpuasa sesudah bulan Ramadhan seperti orang yang mengulangi (perang) sesudah melarikan diri.”

Ertinya siapa yang telah selesai berpuasa kemudian berpuasa lagi seperti orang yang lari dari medan peperangan kemudian kembali kepada perang. Maksudnya dia telah berpuasa di bulan Ramadhan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal.

Seorang soleh, Asy Syu’bi berkata:

“Berpuasa satu hari sesudah Ramadhan itu lebih disukai daripada berpuasa satu tahun penuh.”

Memang banyak rahsia dan hikmah berpuasa enam hari di bulan Syawal itu. Sabda Rasulullah saw.:

“Sesungguhnya Allah telah menciptakan tujuh langit dan bumi ini selama enam hari di bulan Syawal. Barangsiapa berpuasa enam hari di bulan Syawal itu, maka Allah mencatat baginya kebaikan sebanyak bilangan makhluk yang telah diciptakan dan menghapuskan semua kejahatannya serta mengangkat pula akan darjatnya.”

Sabda Nabi saw. lagi:

“Sesungguhnya mayat itu mempunyai enam ratus anggota badan dan pada tiap-tiap anggota badannya itu terdapat seribu mulut kecuali hati, sebab hati itu tempat ma’rifat (ilmu). Barangsiapa berpuasa pada yang enam ini Allah meringankan dia dalam sakaratul maut seperti mudahnya meminum air sejuk bagi orang yang dahaga.”

Sufyan Ats Tsauri bercerita:

“Saya tinggal di Makkah selama tiga tahun lamanya dan adalah seorang laki-laki ahli Makkah yang selalu datang ke Baitulharam setiap waktu zohor dan dia bertawaf di Kaabah dan solat, kemudian dia memberi salam kepada saya dan terus pulang sehingga saya kenal baik dengan dia dan dia pun kenal baik dengan saya.”

Pada suatu hari dia menderita sakit dan memanggil saya serta berkata: “Kalau saya meninggal dunia, mandikanlah saya, sembahyangkanlah saya dan kebumikanlah serta jangan engkau tinggalkan saya sendirian di dalam kubur pada waktu-waktu malam. Bermalamlah di dekat kubur saya serta ajarlah saya kalimat Tauhid ketika mulai ada pertanyaan Mungkar Nakir.”

Tatkala telah aku kerjakan apa-apa yang dia perintahkan dan aku bermalam di kuburnya sedang aku dalam keadaan antara tidur dan berjaga tiba-tiba aku mendengar suara: “Hai Sufyan Ats Tsauri tidak perlulah bagi mayat ini engakau jaga dan engakau ajar Tauhid.”

Maka aku bertanya: “Mengapa demikian?” Suara itu menjawab: “Sebab dia telah berpuasa bulan Ramadhan dan kemudian berpuasa pula enam hari di bulan Syawal sesudah Ramadhan.”

Aku terbangun dan tiada seorang pun di situ, aku terus ambil wuduk dan tidur semula. Aku bermimpi seperti itu sampai tiga kali, fahamlah aku bahawa mimpi itu dari Allah yang Maha Rahman dan bukan dari syaitan terkutuk. Aku terus pulang dari kuburnya sambil berdoa:

“Ya Allah kurniakanlah aku pertolongan untuk mengerjakan puasa bulan Ramadhan dan mengikut sertakannya dengan enam hari pada bulan Syawal.”

Seorang wali Allah, Abdul Wahab, pula berkata:

“Rahsia di dalam perintah puasa pada enam hari ini ialah kerana sesungguhnya nafsu itu mungkin kemahuannya telah menemukan sasaran syahwatnya di hari raya, sehingga telah terjadilah kelengahan dan tertutup hatinya, enam hari berpuasa itu seakan-akan penebusnya terhadap apa-apa yang kurang dalam perlaksanaannya dan cela-cela (yakni meninggalkn perkara sunat) di dalam berpuasa.”

Cara puasa enam hari, seelok-eloknya dibuat berturut-turut. Kata ulama: “Yang lebih utama puasanya enam hari itu berturut-turut tidak berpisah, kerana berturut-turut itu lebih mendekatkan terangnya hati daripada berpisah-pisah.”

Dengan berpuasa berturut-turut kita dapat merasakan seperti puasa di dalam bulan Ramadhan. Semasa berpuasa itu eloklah dilakukan amalan-amalan seperti apa yang dilakukan dalam bulan Ramadhan.

Semoga kita dapat menjadi hamba Allah yang taat, yang dapat memelihara diri dari kemungkaran dan terpimpin menuju keredhaan Allah.

0 Komentar:

Catat Ulasan

 

FIKRAH PUTERA ISLAM Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates