Sabtu, 27 Ogos 2011

0 Amalan Sunnah Di Eidul Fitri


Ibarat si pemandu yang hampir tiba ke tempat dihajatnya. Syukurlah kita masih dipanjangkan usia mungkin diberi peluang bagi melunasi saki-baki hari dalam bulan Mubarak ini. Hakikat yang pasti berbondong-bondong insan khusus di Tanah Melayu ini singgah dari kedai ke kedai demi mendapatkan kelengkapan Lebaran yang diingini.Perlu diingat agar dirasionalkan fikiran supaya tidak tercicir ibadat yang dituntut akibat sibuk melengkapi adat. Contoh? Ibadat iaitulah menghidupkan malam Ramadan terutama di 10 malam pernghujung, membayar zakat fitrah, membaca Kitab Suci al-Quran dan pelbagai lagi. Adat pula seperti meriuhkan hening malam dengan dentuman mercun-bunga api, memasang api pelita dari depan tangga rumah hingga ke hujung jalanraya dan segala macam lagi. Bagi mempersiapkan diri dengan kedatangan Eidul Fitri, maka lebih baik kita mengamalkan sunnah yang dituntut. Jika rasa berkurangan, maka bolehlah ditambah dengan amalan-amalan yang difikir sesuai. Amalan seperti menziarahi kubur di pagi raya, memberi angpau dan berparti raya tiadalah termasuk dalam tuntutan syarak. Justeru jika diamalkan yang dituntut saja pun sudah sangat memadai bagi diri kita. Pada hari raya, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".

2) Menjamah makanan sebelum keluar.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalallahu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".

Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;

Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.

Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;

Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)

7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.

Kredit:zaharuddin.net

Sabtu, 20 Ogos 2011

0 Menanti Sinar Al-Qadr (Lailatul Qadr)


Aku Dan Kamu
Bersama Berjalan
Menyusur Malam Ini
Menggeledah Kelamnya
Mengintai Arah Cahaya

Akhirnya…
Aku Dan Kamu
Kini Hampir Tiba
Akhiran Bagi Malam-Malam Yang Lalu
Satu Malam Yang Membuat
Aku Dan Kamu Tertanya-Tanya

Seperti Juga Malam-Malam Yang Lalu
Aku Dan Kamu
Masih Lagi Begini
Masih Merangkak-Rangkak
Dan Masih Mengintai Arah Cahaya

Karya:Putera Islam

Jumaat, 15 Julai 2011

2 Persoalan Tentang Amalan Nisfu Syaaban


(Petikan dari web http://kemusykilan.islamgrid.gov.my -JAKIM):

Soalan: Assalamualaikum, Saya ingin bertanya adakah amalan membaca surah Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Syaaban dianjurkan dalam Islam?

Jawapan: Waalaikumussalam, Tidak terdapat nas yang khusus mengenai ibadat sunat pada nisfu syaaban tetapi Nabi SAW ada menyarankan banyak berpuasa di bulan syaaban.

(Petikan dari web http://drmaza.com/ -Dr Mohd Asri Zainul Abidin, USM):

Soalan: al-Fadil Dr Asri yang dikasihi, sekarang kita berada dalam Bulan Syaaban. Apakah amalan yang patut kita lakukan. Ada kata banyak amalan Bulan Syaaban yang dibuat orang itu tidak ada dalil. Contohnya malam Nisfu Syaaban. Ada kata palsu. Ada kata memang ada dalil. Saya ingin beramal dengan amalan yang betul. Bolehkah Dr Asri huraikan? –Anisah, Bangi.

Jawapan: Sikap saudari yang ingin memastikan ketepatan amalan amat dipuji. Agama ini bukan diikuti tanpa dipastikan kesahihan, atau diikuti tanpa faham. Agama berpaksikan dalil yang diiktiraf. Sesuatu yang tidak berasaskan sumber yang sah iaitu al-Quran dan hadis-hadis yang sabit (authentic) tidak boleh disandarkan kepada Islam. Dalam masa yang sama, tidaklah pula kita mudah menafikan sesuatu perkara dengan menyatakan ia bukan dari ajaran Islam, sebelum kita benar-benar pasti memang tidak wujud dalil dalam hal tersebut. Mengenai soalan saudari, saya jawab berdasarkan perkara-perkara berikut;

1. Hadis-hadis yang berhubung kelebihan atau amalan pada Bulan Syaaban, ada yang sabit dan ada yang tidak. Bahkan terdapat juga amalan-amalan Bulan Syaaban yang diamalkan oleh sesetengah masyarakat itu, hanya ikutan yang tidak mempunyai apa-apa sumber. Ini seperti amalan sesetengah masyarakat yang membuat juadah khas Bulan Sya’ban dan seumpamanya. Banyak buku-buku yang dijual tentang kelebihan Rejab dan Syaaban itu tidak berasaskan hadis-hadis yang sahih.

2. Dalam sejarah ilmu hadis, ramai pemalsu hadis memang gemar membuat hadis-hadis palsu yang berkaitan dengan fadilat-fadilat. Ini seperti mereka mengada-adakan fadilat-fadilat bulan tertentu, surah tertentu dan seumpamanya. Mereka akan mengaitkannya pula dengan amalan tertentu seperti solat khusus, doa khusus, puasa khusus pada hari atau bulan yang dikaitkan dengan fadilat itu. Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut:

“Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah”.( Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadis, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir).

3. Antara hadis palsu yang direka mengenai bulan-bulan:

“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam (meninggal 414H) (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, Halab: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah). Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab( lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5/173, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H):

“Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam”. (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

4. Namun tidak boleh dinafikan bahawa di sana juga terdapat hadis-hadis yang sahih mengenai kelebihan Bulan Sya’ban. Antaranya apabila bertanya Usamah bin Zaid Nabi s.a.w mengapa baginda banyak berpuasa pada Bulan Syaaban, Nabi s.a.w menjawab:

“Syaaban antara Rejab dan Ramadan, manusia lalai mengenainya. Padanya (Bulan Syaaban) diangkat amalan hamba-hamba Allah. Aku suka tidak diangkat amalanku, melainkan aku dalam keadaan berpuasa” (Riwayat al-Nasai, dinilai hasan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah 4/522).

Aisyah r.aha juga menyebut:

“Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

5. Hadis-hadis yang disebut di atas dan riwayat-riwayat yang lain menunjukkan kita amat digalakkan berpuasa sunat pada Bulan Syaaban. Perbuatan berpuasa pada Bulan Syaaban adalah sunnah yang sabit daripada Nabi s.a.w. Amalan sebahagian masyarakat yang suka berpuasa pada Bulan Syaaban adalah amalan soleh.

6. Adapun Nisfu Syaaban, atau pertengahan Syaaban (15 haribulan), terdapat hadis yang sahih tentang kelebihannya di samping banyak hadis palsu mengenainya. Juga tidak terdapat hadis yang sabit mengenai amalan khusus seperti solat khas pada malam tersebut. Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam kitabnya yang masyhur al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:

“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib iaitu dua belas rakaat ditunaikan antara Maghrib dan Isyak pada Jumaat pertama Bulan Rejab, juga Solat Malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat; kedua-dua solat ini bidah lagi mungkar yang jelek. Jangan kamu terpengaruh disebabkan keduanya disebut dalam Kitab Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulum al-Din. Jangan juga terpengaruh dengan hadis yang disebut dalam dua kitab berkenaan kerana kesemuanya palsu. Jangan kamu terpengaruh dengan sesetengah imam yang keliru mengenai kedudukan hadis-hadis kedua solat berkenaan” (4/56. Beirut: Dar al-Fikr).

Al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H) menyebut dalam al-Fawaid al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudu’ah:

“Telah diriwayatkan mengenai solat malam Nisfu Syaaban dari pelbagai riwayat, kesemuanya batil lagi palsu” (ms 72. Mekah: Maktabah Mustafa Baz).

7. Pun begitu tidak dinafikan ada hadis yang sahih Nabi s.a.w menyebut:

“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)”(Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani menilai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 3/135).

Maka, sewajarnya apabila hal ini diberitahu oleh Nabi s.a.w, maka kita melakukan amalan-amalan yang soleh pada malam berkenaan dan mengelakkan apa yang Allah benci. Syirik dan permusuhan antara muslim adalah sebab seseorang itu tidak diampunkan. Selain itu dua dosa tersebut, mudah-mudahan kita semua diampunkan.

8. Dr Yusuf al-Qaradawi ada mengulas tentang amalan malam Nisfu Syaaban dengan katanya:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) serta bercanggahan dan bertentangan pula isi kandungannya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidah, dan setiap yang bidah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

9. Namun begitu, janganlah kita terlalu cepat menghukum. Apa yang disebut oleh Dr al-Qaradawi itu adalah kaedah umum. Sesuatu masyarakat atau seseorang individu mungkin mempunyai keuzuran yang tersendiri. Kemungkinan mereka tidak tahu, atau mereka dihalang ilmu untuk sampai kepada mereka dan seumpamanya. Kemungkinan besar jika mereka tahu, mereka tidak akan melakukan hal yang demikian. Tujuan mereka baik, cuma cara sahaja yang wajar dibaiki. Galakan berdoa dan memohon keampunan pada malam Nisfu Syaaban ada asasnya. Penentuan cara sedemikian itu, tidak ditunjukkan oleh nas yang sahih.

Wallahua’lam..

 

FIKRAH PUTERA ISLAM Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates