Khamis, 20 Disember 2012

0 Kepimpinan Belia dan Kesannya Dalam Pembangunan Negara


Oleh: Mohd Muslim Mahmod, Mohamad Nizar Jaafar & Mohd Faizal Ibrahim


PENGENALAN


Terdapat banyak slogan dan kata-kata semangat seperti  “Belia Harapan Bangsa”, “Belia Hari Ini Pemimpin Hari Esok”, “Belia Bersatu Negara Maju”, dan banyak lagi telah dicipta dan dikhususkan secara langsung kepada golongan yang berstatus belia di negara ini. Hal ini disebabkan belia merupakan golongan yang paling dominan dan berpengaruh dalam masyarakat serta mempunyai ketahanan dan kekuatan yang tinggi dari sudut fizikal dan mental. Selaras dengan itu kepakaran belia perlulah dijana dengan baik, jika tidak sudah tentu golongan ini akan termasuk di dalam golongan yang rugi dan malang



OBJEKTIF KAJIAN


Negara Malaysia secara relatifnya masih muda dan dengan dewasanya generasi merdeka selepas tahun 1957 belum pasti dapat menjamin suatu jiwa kebangsaan yang padu dan utuh. Generasi muda atau belia sebagai golongan yang mempunyai idealisme yang tinggi pasti ingin melihat perubahan dan pembaharuan segera bagi mencapai suatu keadaan yang lebih sempurna (A.Aziz 1984: 2).

            Apabila peranan dan masa depan mereka itu mahu ditentukan, maka aspirasi majoriti belia dalam destinasi negara perlu dibina dan diperlihatkan. Justeru kertas kerja ini akan cuba memperlihatkan ciri-ciri belia yang cemerlang serta berkebolehan dan berkeupayaan dalam menjana kemajuan dan kestabilan negara. Selain itu skop atau ruang-lingkup keterlibatan belia dalam aktiviti pembangunan dan kepimpinan negara juga akan diperincikan.



DEFINISI BELIA


Menurut Kamus Dewan (1994: 120), belia ialah muda belia, sangat muda, golongan muda secara keseluruhannya yang terdiri daripada pemuda dan pemudi. Mohd Ismail (1999: 22) mengambil pengertian belia dalam satu pembentangan kertas kerja oleh Kementerian Belia Negara pada tahun 1995, iaitu belia merupakan seorang yang berumur antara 15 hingga 40 tahun dengan beberapa alasan :
           
1.         Ia merupakan takrif Majlis Belia Malaysia 1985.
2.         Ia dianggap golongan yang mencapai taraf kematangan yang memuaskan dan mereka akan dapat menerima manfaat yang maksimum dari rancangan yang
disusun.
3.         Ia adalah sebahagian besar daripada jumlah rakyat di negara ini. Apa jua usaha pembinaan masyarakat akan meninggalkan kesan yang menyeluruh.

            Azizan Bahari (1995: 21) dalam bukunya Pergerakan Belia: Persoalan dan Cabaran, memberi penjelasan bahawa definisi belia yang digunapakai kini iaitu golongan yang berumur antara 15 hingga 40 tahun terlalu luas. Barangkali antara 15 hingga 30 tahun. Walaupun terdapat beberapa perbezaan sekitar hal-hal persekolahan, pencarian kerja, permulaan kerjaya, berkenalan dan pencarian pasangan hidup, permulaan berumahtangga dan sebagainya. Ia merupakan suatu lingkungan umur yang agak sesuai untuk digelar belia. Umur melebihi 30 tahun pada kebiasaannya seseorang itu sudah berkeluarga dan lebih mementingkan persoalan kerjaya di samping masa depan keluarga menjadi fokus dalam kehidupan. Definisi yang luas ini sudah tidak sesuai lagi bagi masyarakat kita yang cepat berkembang.

            Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) khususnya ESCAP menggunakan lingkungan umur 15 hingga 25 tahun, manakala Commonnwealth Youth Programme (CYP) menganggap kumpulan 18 hingga 35 tahun sebagai belia (Azizan 1995: 22).



KRITERIA BELIA


Dalam membentuk belia yang mahir dan berketrampilan, beberapa usaha dan kaedah perlu dilakukan. Ciri-ciri yang dipupuk di kalangan belia ini akan berupaya membantu dalam pembentukan objektif pergerakan dan kerja belia. Disamping itu ia dapat meninjau permasalahan, cabaran dan agenda bertindak golongan belia.

            Berdasarkan Dasar Belia Negara (DBN) yang telah dibincangkan sejak awal 1970-an dan diperakukan oleh kerajaan pada 1985, disamping membuat beberapa perubahan dan gagasan-gagasan lain, khususnya prinsip-prinsip dalam Rukunegara, ciri-ciri belia adalah seperti berikut (Azizan 1995: 84) : 
           
1.         Belia yang mampu menghayati prinsip-prinsip Rukunegara.
2.         Belia yang bersemangat patriotik terhadap negara.
3.         Belia yang berakhlak mulia dan menghayati nilai-nilai rohaniah.
4.         Belia yang memahami dan mengamalkan cara hidup demokrasi.
5.         Belia yang berkebolehan memimpin, mempunyai tanggungjawab sosial yang
tinggi dan bersedia memainkan peranannya yang wajar dalam sejarah.
6.         Belia yang berkemahiran dalam pelbagai bidang dan pekerjaan, beretika dan
berdisiplin.
7.         Belia yang berilmu.
8.         Belia yang berbudaya, bersikap toleransi serta menghormati adat resam dan
kebudayaan komuniti lain.
9.         Belia yang menjunjung tinggi dan sentiasa memperjuangkan nilai-nilai
kemanusiaan, keadilan sosial dan kebebasan.
10.       Belia yang berjiwa universal dan bersedia memberi sumbangannya terhadap
kedamaian dan kesejahteraan sejagat.   



KLASIFIKASI BELIA


Belia merupakan satu golongan yang terbesar dalam struktur masyarakat di negara kita. Perangkaan terbaru menunjukkan sehingga tahun 2003, belia ditaksirkan berjumlah 45% daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini. Oleh itu belia adalah sumber tenaga yang amat penting bagi masyarakat dan negara, disamping amat berpotensi dari segi semangat, tekad juang, fikiran dan daya cipta (Azizan 1995: 1-2). Secara kasarnya belia boleh dibahagikan kepada dua kelompok besar:

1.                   Belia di dalam pertubuhan yang meliputi pertubuhan belia, kesatuan sekerja, parti politik (khususnya pada cawangan pemuda), badan agama, badan kebudayaan, pertubuhan wanita, persatuan pelajar, badan profesional, persatuan pengguna, persatuan penulis dan pertubuhan sukarela yang lain.

2.                   Belia di luar pertubuhan yang terdiri daripada pekerja muda, petani muda, pelajar, penganggur, kakitangan kerajaan, kakitangan swasta dan sebagainya. 

            Pembahagian sebegini penting untuk melihat dengan jelas kedudukan dan potensi golongan belia dalam masyarakat. Ramai kalangan pemimpin belia dan ahli politik yang leka dengan perangkaan atau statistik keahlian pertubuhan belia sehingga terlupa akan ramai lagi belia yang berkecimpung di sektor atau pertubuhan bukan belia. Hal ini kerana kedua-dua kelompok belia ini mempunyai potensi dan peranan yang besar dalam agenda pembangunan masyarakat dan negara (Azizan 1995: 2-3).
PERANAN BELIA


Definisi belia secara lebih tepat seharusnya tidak hanya dihadkan kepada pendekatan umur dan psikologi. Apa yang penting ialah penonjolan idealisme, aktivisme, dan intelektualisme perjuangan belia itu sendiri.

            Berpandukan tulisan Norizan Sharif (Jaffary 2003: 48) golongan ini telah membuktikan kemampuannya dalam memainkan peranannya dalam masyarakat dan negara. Sebagai contohnya keterlibatan belia dalam Revolusi 1949 di China, perjuangan kemerdekaan di India dan Indonesia serta perjuangan pengisian kemerdekaan di negara ini adalah antara beberapa catatan sejarah yang mendokong fakta tersebut. Sejarah perjuangan Islam yang panjang juga mencatatkan sumbangan besar kelompok belia.

            Sejarah negara memperlihatkan peranan besar yang dimainkan oleh golongan belia sehingga membawa perubahan penting dalam bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan, kesenian dan lain-lain. Selain itu tenaga belia amat diperlukan dalam lapangan-lapangan seperti :

1.                              Keadilan Sosial

Keadilan sosial di sini meliputi aspek pengagihan sumber negara, kuasa dan penentuan dasar, kebajikan social masyarakat, hak berorganisasi, system perundangan, peluang pendidikan formal, latihan dan pelbagai kursus kemahiran yang lain.


2.                              Pekerjaan

Sektor pekerjaan dapat menilai potensi dan kualiti mutu kerja seseorang itu terhadap apa yang dilakukannya itu. Teknik dan cara bekerja seseorang itu sentiasa berubah mengikut keperluan semasa bertujuan meningkatkan kualiti sesuatu produk yang dihasilkan. Dalam hal ini kepakaran dan kemahiran golongan belia sangat diperlukan bagi mencari idea-idea baru ke arah pembangunan dan kemajuan negara.


3.                              Pendidikan dan Latihan

Bagi golongan berpendapatan rendah, peluang pendidikan formal hanya terdapat di sekolah dan institusi-institusi awam di negara ini. Sementara bagi kelompok yang tercicir, beberapa tempat disediakan dalam program latihan industri dan kemahiran. Justeru peranan dari keterlibatan mereka secara tidak langsung merupakan satu sumbangan besar buat negara.  


4.                              Kebudayaan

Kebudayaan merupakan satu lapangan yang luas di samping menjadi sumber penting bagi pembangunan masyarakat. Dengan kewujudan pelbagai bentuk kebudayaan di Malaysia, ia menjadi tempat penyatuan bagi memupuk kerjasama dan perpaduan kebangsaan di kalangan rakyat. Perkara ini tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tiada penglibatan di kalangan belia.


5.                              Politik

Bidang politik amat penting bagi masyarakat dan turut mempengaruhi golongan belia. Golongan belia tidak boleh mengasingkan diri daripada berpolitik. Tetapi dalam waktu yang sama belia seharusnya lebih berwaspada terhadap pihak-pihak yang cuba menggunakan platform pergerakan belia untuk kepentingan politik peribadi atau kumpulannya (Azizan 1995: 8-16). Ini kerana pelbagai kemungkinan akan berlaku dalam bidang ini.



KESAN-KESAN TERHADAP PEMBANGUNAN NEGARA


Pembangunan negara di sini bermaksud suatu proses meningkatkan kualiti keseluruhan lapangan dalam negara termasuklah kehidupan masyarakatnya. Ia juga bermaksud satu usaha untuk membebaskan masyarakat dari pelbagai tekanan dan ancaman persoalan atau masalah yang boleh melemahkan institusi masyarakat itu.  Di sini jelas bahawa pembangunan negara bukan hanya diukur berdasarkan pencapaian ekonomi, industri dan teknologi moden semata-mata, tetapi ia meliputi peningkatan kualiti dan nilai hidup social, budaya, pendidikan, alam sekitar, politik, aspek-aspek spiritual dan moral masyarakat. Maka keterlibatan para belia amat diperlukan dalam usaha untuk merealisasikan matlamat negara maju. Penglibatan mereka mampu memberikan kesan dalam prinsip:


1.                  Politik:

Dengan penglibatan belia dalam arena ini, mereka dapat mencurahkan idea dan tenaga baru dalam usaha untuk memantapkan lagi agenda politik negara.


2.                  Pendidikan:

Belia yang dibesarkan dalam persekitaran pembelajaran dan terbimbing dengan sempurna, mampu melahirkan cendekiawan yang mahir dalam pengkhususan tertentu seterusnya menyumbang bakti demi kemajuan negara.
3.                  Agama:

Kepakaran belia juga dinilai dari aspek rohaniah, yang menuntut kesedaran mereka untuk memahami dan menghayati keindahan Islam. Islam memerlukan belia yang berani, cekap dan berkepimpinan untuk mengarah serta membentuk citra jemaah masyarakatnya.


4.                  Kerjaya:

Setiap jenis pekerjaan memerlukan kepakaran dan kemahiran dari belia. Golongan ini dilihat mampu untuk melaksanakan tugas dengan sikap produktif dan beridealistik.


5.                  Ekonomi:

Kesan dari peranan yang dimainkan oleh golongan belia secara tidak langsung menaikkan taraf hidup rakyat dan ekonomi negara. Sistem ekonomi yang stabil amat penting bagi sesebuah negara. Ia berupaya menarik minat pelabur luar untuk melabur di negara ini.



KESIMPULAN



Kesimpulannya, generasi muda atau belia mempunyai peranan serta kepentingannya tersendiri dalam usaha untuk membangunkan masyarakat dan negara. Belia sebagai pemimpin masa kini dan masa hadapan mesti bergerak dalam kematangan, keupayaan dan motivasi yang lebih positif dan efektif di dalam komitmen yang lebih kukuh (A. Aziz 1984: 21).
Kesedaran perlu wujud dan berkembang sealiran dengan cita-cita pembinaan budaya bangsa ke arah kewujudan satu negara yang bermaruah dan mempunyai martabat yang tinggi. Tuntutan masyarakat dan global yang semakin canggih, wajarnya memerlukan peranan yang rasional dan beridea segar daripada belia. Tugas belia serta masyarakat umumnya ialah memastikan agar tuntutan tersebut dipenuhi selengkapnya.


                                    

RUJUKAN



A.     Aziz Deraman. 1984. Belia dan Budaya. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan          Malaysia

Azizan Bahari. 1995. Belia dan Masyarakat. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.

Azizan Bahari. 1995. Pergerakan Belia: Persoalan dan Cabaran. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.

Jaffary Awang, Mohd Nasir Omar & Muda @ Ismail Ab. Rahman. 2003. Agama dan Perpaduan Kaum di Malaysia. Bangi: Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kamus Dewan. 1994. Ed. Baru. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia.

Mohd Ismail Mustari. 1999. Belia sebagai insan cemerlang dari perspektif Islam: Kajian status belia-belia Felda Bukit Ramun, Kulai, Johor. Disertasi Sarjana Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Nota: Artikel di atas merupakan tugasan kuliah di UKM

 

 

 

 

 

 

 

 



Rabu, 22 Ogos 2012

2 Percanggahan Hadith: Nabi Yang Terakhir & Nabi Isa Akan Menambahi Pada Perkara Yang Halal



Oleh: Mohd Muslim bin Mahmod

Hadith A:

أن النبي (ص) قال (لا نبي بعدي ولا أمة بعد أمتي فالحلال ما أحله الله تبارك وتعالى على لساني الى يوم القيامة والحرام ما حرمه الله تعالى على لساني الى يوم القيامة).
           
Maksudnya:

Bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda: Tiada nabi selepas aku, tiada umat selepas umatku, maka halal apa yang dihalalkan oleh Allāh Tabārak wa Tacāla melalui lidahku hingga hari kiamat, dan haram apa yang diharamkan oleh Allāh Tacāla melalui lidahku hingga hari kiamat.


Hadith B:

أن المسيح عليه السلام ينزل فيقتل الخنزير ويكسر الصليب ويزيد في الحلال.
           
Maksudnya:

Bahawa al-Masīh a.s. turun, maka dia membunuh babi, memecahkan salib dan menambah pada perkara yang halal.


Hadith C:

عن عائشة (ض) أنها كانت تقول (قولوا لرسول الله (ص) خاتم الأنبياء ولا تقولوا لا نبي بعده).
Maksudnya:

Daripada cĀishah r.a. sesungguhnya dia telah berkata: Kamu katakanlah kepada Rasūlullah s.a.w., penutup para nabi, dan jangan berkata, tiada nabi selepasnya.



KETERANGAN


Kedua-dua hadith B dan C adalah bertentangan dengan maksud hadith A. Hadith A menjelaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. sendiri mengakui bahawa tiada lagi nabi selepasnya, tetapi hadith C pula cĀishah r.a. menyuruh supaya jangan mengatakan bahawa tiada lagi nabi selepasnya. Secara zahirnya ia kelihatan bercanggah dan sedikit sebanyak menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam lebih-lebih lagi di kalangan orang awam. Justeru penyelesaian secara hikmah adalah wajar dilakukan bagi menghilangkan kesulitan ini. Perbincangan masalah ini akan dilanjutkan dalam sub-tajuk berikutnya.

Bagi hadith B pula ia bercanggah dengan hadith pokok iaitu berkenaan perkara yang dihalalkan Allāh Tacāla. Hadith A dengan jelas mengatakan bahawa setiap sesuatu yang halal itu telah ditentukan oleh Allāh melalui al-Qurān dan Rasūlullah sendiri menerusi hadithnya. Ia bersifat qatcī dan tetap. Sementara hadith C menerangkan al-Masīh atau Nabi cIsa a.s. akan diturunkan dari langit dan akan menambah pada perkara yang halal. Ini sekali lagi menzahirkan sedikit kesulitan untuk difahami. Maka ia juga memerlukan penyelesaian yang serupa.





PENYELESAIAN


Segala percanggahan yang wujud sesama hadith-hadith di atas adalah bersifat tidak hakiki atau sebenar. Ia mungkin dari ketidakfahaman tentang maksud sebenar yang tersirat atau ketidakmahiran untuk menggabungkan mafhum hadith-hadith tersebut. Perbincangan masalah ini telah dinukilkan oleh Ibn Qutaibah dalam kitabnya, Ta’wīl Mukhtalif al-Hadīth.

Sekalian umat Islam telah maklum bahawa Nabi cIsa a.s. telah diutus oleh Allāh Tacāla terlebih dahulu dari Nabi Muhammad s.a.w. Nabi cIsa a.s. diutuskan untuk berdakwah di kalangan kaum Banu Isrāil, kemudian diangkat oleh Allāh Tacāla ke langit, dan akan diturunkan pada akhir zaman. Firman Allāh Tacāla dalam surah al-Zukhruf, ayat 61:

(وانه لعلم للساعة فلا تمترن بها)
           
Maksudnya:

Dan sesungguhnya dia (cIsa a.s.) itu benar-benar memberikan pengetahuan tentang hari kiamat. Maka janganlah kamu ragu-ragu tentang hari tersebut.

Berkenaan Nabi cIsa a.s. menambah pada yang halal, diriwayatkan bahawa seorang lelaki telah berkata kepada Abu Hurairah r.a. : “Tiada apa yang ditambah pada perkara yang halal melainkan perempuan.” Mendengar itu, Abu Hurairah r.a. tertawa. Selanjutnya, Ibn Qutaibah menjelaskan lagi mengenai potongan matan tersebut yang membawa erti suatu yang dihalalkan untuk lelaki, iaitu berkahwin lima (bukan enam). Nabi cIsa a.s. tidak pernah berkahwin hatta sewaktu diangkat oleh Allāh Tacāla ke langit. Oleh itu, sebaik dia diturunkan semula ke bumi kelak, dia akan menikahi seorang perempuan. Inilah yang dimaksudkan mengenai penambahan pada perkara yang dihalalkan Allāh Tacāla baginya.

Bagi kata-kata cĀishah r.a. pula, “Jangan berkata tiada nabi selepasnya (Nabi Muhammad s.a.w.),” dilihat sebagai bertentangan dengan sabda dari Nabi Muhammad s.a.w. sendiri iaitu, “Tiada nabi selepas aku.” Sabda nabi s.a.w. ini membawa mafhum bahawa tiada lagi nabi yang akan diutuskan oleh Allāh Tacāla selepas baginda, yang akan menasakhkan apa yang telah dibawa olehnya, seperti nabi-nabi sekaliannya yang diutus untuk menasakhkan ajaran terdahulu. Apabila Nabi cIsa a.s. diturunkan, dia tidak menasakhkan sesuatu pun yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Dia juga tidak mendahului jemaah solat untuk menjadi imam, bahkan dia solat di belakang. Sebenarnya apa yang dikehendaki oleh kata-kata cĀishah r.a. itu ialah, “Jangan berkata bahawa al-Masīh (Nabi cIsa a.s.) tidak akan turun selepasnya (Nabi Muhammad s.a.w.).”



KAEDAH YANG DIGUNAKAN


Berdasarkan penyelesaian yang telah dibuat, pengkaji melihat terdapat dua kaedah yang digunapakai untuk mengatasi segala bentuk percanggahan yang wujud. Kaedah-kaedah tersebut adalah:

1.                  Kaedah al-Jamcu, iaitu dengan cara menyesuaikan antara hadith-hadith tersebut. Ini kerana hadith-hadith tersebut sahih dan boleh dijadikan panduan. Justeru tidak boleh dimansukh atau diketepikan mana-mana hadith tersebut.

2.                  Kaedah memahami keseluruhan teks hadith. Cara ini memerlukan pemahaman yang jitu terhadap hadith-hadith yang kelihatan bercanggah kerana hadith-hadith ini sebenarnya saling berhubung dan melengkapi antara satu sama lain.



KESIMPULAN

Penyelesaian yang ditunjukkan bagi hadith-hadith yang saling bercanggah di atas, sebenarnya menunjukkan bahawa tiada hadith-hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang khilaf di antara satu sama lain. Jika ada pun ia bersifat sementara dan tidak melibatkan percanggahan makna, tetapi hanya melibatkan perbezaan lafaz atau kefahaman nas secara umum. Seseorang yang hendak memahami hadith-hadith yang saling bercanggah hendaklah menggunakan kaedah dan cara yang tertentu. Ini bagi mengelakkan sebarang pertikaian dan kesangsian terhadap kefungsian hadith nabi sebagai sumber syaricat Islam.

Oleh: Putera Islam 2005
Nota: Artikel di atas merupakan tugasan kelas tutorial FPI UKM

Rabu, 18 Julai 2012

0 Ahlan Ya Ramadhan!

Assalamualaikum. Beberapa hari lagi akan menjelma bulan yang sangat hebat, bulan yang dianggap penghulu segala bulan dalam Islam iaitu Ramadhan. Keistimewaan bulan ini ialah kerana al-Quran telah diturunkan dalam bulan ini. Sepanjang bulan ini pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup manakala syaitan akan dibelenggu. Ambil ini sebagai motivasi, bahawa untuk melakukan kebaikan walau sedikit sekalipun ganjarannya berlipat kali ganda apabila dilakukan dalam bulan Ramadan. Contohnya seorang anak boleh membantu ibunya membasuh pinggan dan mengemas rumah. Itu amalan rutin yang boleh dipraktikkan. Ditambah pula dengan amalan sunat seperti tadarus al-Quran, bersedekah, berzikir dan solat tarawih. Semua ini boleh diistiqamahkan untuk kita mendapat peluang memasuki pintu-pintu syurga itu. Benar, syaitan akan diikat atau dibelenggu dengan izin Allah dari mengganggu umat Islam berpuasa. Tapi jangan kita lupakan peranan 'nafsu'. Ya, nafsu tidak dibelenggu. Kerana itu kita dapat saksikan ramai orang yang berpuasa tapi tak solat. Berpuasa tapi mengumpat dan menabur fitnah. Berpuasa tapi masih melakukan pelbagai perkara maksiat. Inilah kerja nafsu yang ada dalam diri setiap insan. Nafsu ini telah ditarbiah oleh sayitan pada bulan-bulan lain bagi mendorong kita melakukan perkara yang dilarang oleh Allah Taala. Justeru peranan akal adalah penting untuk mengawal nafsu dari terus menguasai diri kita di sepanjang bulan mulia ini. Jadikan bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi sebagai madrasah untuk mentarbiah akhlak dan sikap kita. Biar kita berasa janggal atau ganjil untuk melakukan semua amalan-amalan sunat yang dituntut kerana ingatlah bahawa Islam pada awalnya ganjil dan di akhirnya ganjil jua. Sekian, salam ramadan..Putera Islam
 

FIKRAH PUTERA ISLAM Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates