Jumaat, 28 Ogos 2009

0 Bicara Sepi


PUISI OLEH : TRIPLE M

Aku Bercerita,
Tiada Yang Dengar,
Aku Berbicara,
Tiada Yang Sedar,
Aku Bersenda,
Tiada Yang Tertawa,
Aku Berbisik,
Tiada Yang Faham,

Di Ruang Yang Sempit,
Aku Rasa Terhimpit,
Tubuhku Membatu,
Lidahku Mengelu,
Rasaku Cuma Satu,
Azab Yang Terperit,

Aku Tak Mampu Bercerita Lagi,
Aku Tak Mampu Berbicara Lagi,
Aku Tak Mampu Bersenda Lagi,
Aku Tak Mampu Berbisik Lagi,
Kerana Lidahku Dipaku,
Kerana Mulutku Dikunci,
Yang Bersuara Adalah Penyesalan Belaka,

9-11-2005

0 Di Lantai Gersang (Episod 1)


CERPEN OLEH : TRIPLE M

Satu saat itu menjadi asing sekali. Tubuhku tiba-tiba terdampar di gurun gersang yang saujana pandang. Pedih kulit tubuh tertusuk panah sang suria. Sebentar saja peluh sudah meluap di lantai kulit. Dua kakiku menggigil. Nampak tiada berdaya untuk terus berpacak di situ, meski wujudku sebentar baru. Laju aku mencari tempat teduhan. Tiada. Kalihku ke kanan, ke kiri. Kosong jua. Tiada apa yang wujud. Tiada pohon rendek, tiada teratak, tiada khemah. Tiada makhluk sebarang, tiada haiwan, tiada serangga, tiada orang seperti aku. Tempat apa ini?! Bagaimana aku boleh berada di sini? Di mana duniaku, di mana mahligaiku?! Ah, penat saja benakku berfikir.

Tiba-tiba dalam keadaan sulit begitu, menjelma seorang lelaki dari jarak jauh yang amat. Resahku hilang. Benakku lapang. Moga-moga dia orang budiman. Ingin saja aku berlari mendakapnya, terus mengucap terima kasih padanya, dan yang lebih penting membawaku pulang ke mahligaiku. Aku ingin bersantai. Aku ingin terus melupakan mimpi ngeri ini. Tempat begini, hanya manusia bodoh saja mahu tinggal di sini. Aku terus menanti. Detik demi detik, orang itu semakin mendekat. Tapi wajahnya kesamaran. Kain serban yang terlilit di kepala menjatuh ke mukanya. Aku terus mengamati. Langkah demi langkah dia menapak. Dia menghampir. Senyap!

# # #
“Kau lapar? Makan ini…” Dua orang lelaki di hadapan ku. Seorang darinya menjulang dulang perak bulat terisi makanan. Dia hulurkan padaku. Apakah ada muslihat? Benakku mula bercelaru. Dulang itu kusambut. Hidangannya nampak menyelerakan. Namun bersama perasaan yang berbaur campur, aku nekad untuk menikmatinya.
“Apa ni?! Kau nak bunuh aku ke?!” Aku memuntahkan kembali makanan yang sudah lumat dikunyah. Ia sungguh meloyakan. Tidak pernah aku merasai makanan yang begitu teruk. Dulang itu kulemparkan ke arah mereka. Bertabur segala isinya. Aneh. Mereka tidak melenting, bahkan mereka mengutip sisa-sisa makanan itu yang sudah tersalut debu dan pepasir halus. Aku semakin bingung. Siapa mereka ini?
“Pembantu! Mengapa orang ini bebas? Bukankah aku menyuruh kamu membelenggunya?”
“Tuan!” Ah, siapa pula yang muncul itu? Gaya dan bentuk tubuhnya persis orang pertama yang mendatangi aku tadi. Ya, aku pasti dialah. Rupanya anggapan ku tadi serong. Dia bukan orang budiman.. Harapan ku untuk pulang ke mahligai ku yang indah, punah. Adakah aku ditangkap? Adakah mereka ini penyamun? Untuk apa mereka menyamun aku, sedangkan aku cuma sehelai sepinggang. Aku tak punya apa-apa di waktu ini. Tetapi jika mereka menghantar aku kembali ke tempatku, aku boleh memberikan seberapa banyak pun wang yang mereka hajati. Aku ada segala-gala. Malah jika mereka mahukan mahligai sekalipun, aku sanggup membinanya.
Aku merelakan saja mereka mengikat aku di sabatang kayu besar yang terpacak di tengah-tengah gurun. Panas sungguh! Tidak cukup dengan itu mereka menyalakan pula unggun api yang marak menyala di depanku. Panasnya mengerikan, ditambahi terik mentari yang semakin menggila. Ah, siksaan apa ini?!

.....bersambung

Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.

Rabu, 26 Ogos 2009

0 Kasih Najwa (Episod 1)


CERPEN OLEH : TRIPLE M

“Najwa, tolong bawa masuk invois semalam.”
Tuan Abid memberi arahan itu melalui telefon pejabat. Tidak lama kemudian Najwa, seorang kerani, masuk ke biliknya. Di tangannya ada fail hijau nipis yang bertutup. Dia melangkah longlai. Mukanya mengecut, dahi berkerut, matanya menakung air. Dia menyerahkan fail itu kepada pengarah syarikat. Bibirnya bergerak, barangkali cuba mengatakan, “invois itu ada di dalam fail.” Pun begitu matanya tidak selari. Tuan Abid perasan itu.
“Awak sakit kah?”
Najwa mengangguk, kemudian cepat-cepat menggeleng pula. Sah, dia di alam bukan nyata. Sebaik menyedari keadaannya dikesani Tuan Abid, dia cuba mengubah reaksi wajah. Cuba-cuba mengukir senyum walaupun kelihatan agak janggal. Tuan Abid menyuruh dia mendapatkan rawatan di klinik tetapi dia enggan. Najwa kembali semula ke mejanya.

Dia meresah semula. Jari-jarinya melekat di papan kekunci komputer. Mukanya menghadap monitor CRT, dan di sisinya ada beberapa helai kertas tercatat segala maklumat urusniaga syarikat itu sepanjang bulan lepas. Dia mahu memasukkan data-data itu ke dalam fail di komputer, namun sejak tadi jemarinya masih mengeras. Walaupun matanya menonton skrin monitor, tetapi pandangannya jauh melampaui dinding bangunan pejabat itu. Dahinya kembali mengerut, beberapa titik air jernih mula menitis dari hujung anak matanya. Tiba-tiba saja dia menjadi sebak. Ada sesuatu yang dirisaukannya.

Tamat waktu bekerja, Najwa bergerak ke stesen STAR Line dari pejabatnya di Ampang. Sepanjang perjalanan anak matanya terpaku pada suatu sudut. Dia mengelamun panjang. Lamunannya sesekali terhenti apabila tren itu singgah di satu-satu stesen. Fikirannya terbang jauh ke selatan tanah air. Satu kisah di waktu dulu menjelma kembali.

“Kenapa kau tak terima tawaran itu?”
Soal Mak Sailah sebaik mendapat tahu Najwa menolak tawaran melanjutkan pengajian.
“Biarlah Jua jaga mak dan adik-adik. Jua boleh terus jual kuih dan jahit baju.”
Mendengar itu, Mak Sailah sebak. Dia merangkul tubuh anak sulungnya yang baru mendapat keputusan STPM yang cemerlang. Didakapnya erat. Dia mengerti tugas menjaga anak-anaknya yang seramai lima orang tidak akan sempurna tanpa pengorbanan Najwa. Malah sewaktu bersekolah dahulu, dia sering membantu ibunya itu menjual kuih di tepi jalan kampungnya.
“Mak faham Jua pun ada cita-cita. Mak takkan halang. Fikir masak-masak.”
Mak Sailah cuba menasihati. Dia tidak mahu Najwa terburu-buru. Dia tidak mahu memusnahkan masa depan anak itu, seperti yang pernah dipesannya kepada semua anak-anaknya, “belajar sungguh-sungguh sampai universiti.”
Segala-galanya berubah semenjak suaminya maut dalam kemalangan jalan raya ketika Najwa berada di tingkatan dua. Mak Sailah terpaksalah bertungkus-lumus mencari nafkah dengan menjual kuih dan menjahit pakaian.
“Tak mengapa, mak. Bila-bila pun Jua boleh sambung belajar. Biarlah adik-adik yang lain berjaya dalam pelajaran dulu. Kasihan mak seorang bekerja.”
Mak Sailah mengalah. Dia tidak dapat lagi mengubah keputusan itu. Biarlah Najwa menentukan sendiri masa depannya.
“Stesen Maluri! Stesen Maluri!”
Suara itu mematikan khayalnya. Keluar dari tren itu, dia segera mendapatkan teksi untuk ke rumah sewanya di Taman Maluri 3.

“Nah, air kau.” Rakan serumah, Hana menghulurkan mug berisi air Milo panas. Dia menghidupkan peti televisyen, mencari siaran berita. Dia sempat menjeling ke arah Najwa. Air Milo itu tak berusik. Matanya terpaku merenung jauh ke dalam mug yang dipegangnya. Dia pun tak hiraukan siaran berita di tv. Hana memberanikan diri bertanya. Lama dia menanti, tiada jawapan yang diterima. Wajah Najwa mula berubah. Sebentar kemudian air matanya menitis. Bahunya terhinjut-hinjut cuba menahan sebak. Melihat itu, Hana merapati. Siaran berita ditutup. Dia merangkul perlahan tangannya, digenggam kuat. Hana cuba mententeramkannya. Memujuk dengan bahasa yang terhalus. Barangkali seorang perempuan jua yang bisa memahami perasaan perempuan lain. Di waktu ini, Najwa berada dalam situasi yang sulit. Jiwanya serba-salah, memberontak dan tersepit. Ia perlu ditenangkan agar tidak menjadi barah yang payah disembuhkan. Jika gelodak jiwanya mencapai ke paras bahaya, dia mampu melakukan apa-apa yang di luar batasan. Hana tidak mahu itu berlaku. Dia sayangkan temannya itu. Meski baru lima bulan mengenali, sikap mesra dan mudah bergaul menjadikan mereka berdua amat akrab sekali. Ibarat sudah berkawan semenjak dari kecil.
“Aku…aku rindukan ibu aku, Hana.”
Itulah ungkapan yang tersembur dari mulutnya. Rupanya dia sedang dalam kerinduan. Dia lama menyimpan rasa itu dan disembunyikan dengan rapi sekali. Tetapi kini jiwanya tak terbendung. Dia tak dapat menahan kecamuk rindu itu.
“Kalau begitu, pulanglah. Jenguk dia.”
Hana memberi cadangan.
“Tak boleh. Aku…”
“Sampai bila kau nak pertahan egois kau. Dulu kau mungkin terlampau mengikut hati. Tapi sekarang bertindaklah dengan waras akal.”
Najwa mengesat air matanya dengan kertas tisu. Hana menghulur mug berisi air Milo kepadanya buat kali kedua. Kali ini dia meneguk air itu perlahan-lahan.
“Aku mengerti kerinduan yang kau tanggung. Bila dia dekat, tak terasa pun. Tapi bila sudah jauh begini, barulah merasai kehilangan dan kerinduan.”
Najwa menghirup habis air itu. Sebaknya berkurang. Barangkali kata-kata sahabat baiknya itu benar. Kerana terlampau pentingkan diri dan egois, dia cuba menafikan kerinduan itu. Dia mencampak jauh ia keluar dari lubuk hati. Namun ia akhirnya memakan dirinya. Apabila tak mampu lagi membendung perasaan itu, maka seringlah dia bermuram, berkhayal, bermenung dan tak bermaya. Najwa mula sedar dia telah tersalah langkah. Dia tak seharusnya menurut hati di waktu itu. Dia pernah bernekad, “Biar apa pun berlaku, aku takkan pulang.” Kata-kata itulah yang dilafaz ketika pertama kali memijak tanah bandar metropolitan. Sewaktu dia terdesak untuk mencari tempat tinggal di bandar yang amat asing baginya. Mujurlah dia tersua dengan Hana.

.....bersambung

Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.

Sabtu, 22 Ogos 2009

0 Cinta Cita-Cita


PUISI OLEH : TRIPLE M

Sewaktu Kau Diseru
Berganjak Dari Titik Mula
Cita-Cita Yang Dicita
Menggunung Harapan Bonda
Impian Selaut Ayahanda
Pedoman Dari Cinta Jiwa
Bersandar Kudus Doamu
Ketika Nalurimu Gelodak
Menuntut Tunjuk Ad-Din
Di Persimpangan Lorong Lain

Usahamu Haruslah Dipuji
Kerana Kau Teristimewa
Pendirianmu Menjadi Tugu Cinta Seorang Pencinta
Menghadir An-Nur Pangkas Seluruhnya
Mengikis Was-Was Merakus
Santak Cita-Cita Murni
Terdampar Sia Di Laut Mati

Pastinya Setiap Lebuh Ada Ranjaunya
Begitu Pun Seninya Cita-Citamu
Menjadi Pengembara Di Mana-Mana
Kelana Dari Paksina Santak Ke Daksina
Tiada Jua Serongga Pun Perlu Kau Lekai
Keyakinan Dan Semangatmu Tergumpal Di Kudrat Jiwa Dan Tubuh
Pastikan Ia Seumpama Dasi Kukuh
Tiada Selupat Sebarang
Tidak Juga Dilanda Geruh Lantas Saja Sekah

Kuasa Cinta Kau Dan Aku Tiada Setanding
Wira-Wira Yang Terlebih Dahulu Mahsyur
Harapan Seroman Mimpi
Realiti Nyata Igauan
Walhasil Bukanlah Kau Insan Yang Lemah
Tiada Daya Kau Itu Bukan Alasan
Kerana Taman Yang Kau Tujui
Tidak Singgah Sekonyong-Konyongnya
Habuan Yang Spesial
Nah! Di Taman Firdaus Yang Abadi

Rembesan Angin Malam
Membawa Sesuatu Buatku Di Sini
Cita-Cita Yang Kau Cintakan
Disemadi Sejak Lama
Akhir Kini Kau Adalah Di Mana Kau
Lihat Cuba Tafsiri
Cintamu Mengatasi Segala-Gala
Semangatmu, Harapan Penyokongmu,
Cintamu, Redha Dan Restu Rabb
Memandu Langkahmu Yang Kaku
Membersih Ketakutan Yang Berhantu
Melancar Lebuh Laluanmu
Hilang Geruh Hilang Selupat

Hembusan Dingin Bayu Semalam
Bertamu Di Muka Pintu Hariku
Ia Membisik Secarik Memori Terbungkam
Dari Lantai Yang Kita Tinggalkan
Kerana Ia Memberi Pesanan
Yang Indah Jua Semalam
Yang Sisa Cuma Harapan
Mendepani Hari-Hari Mendatang

10-5-2005

Selasa, 18 Ogos 2009

1 Ajaran & Pemikiran Sesat Dalam Konteks Islam


OLEH:
MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Ajaran atau pemikiran sesat yang terkait dengan agama Islam boleh menyentuh bvidang akidah, hidup kerohanian atau ibadat, akhlak, dan hukum. Kalau disebut dari segi bidangnya, maka ianya menyentuh usul al-din, fiqh dan akhlak atau tasawwuf. Insha Allah dalam nota ringkas ini akan disebutkan beberapa aspek kesesatan dalam bidang-bidang berkenaan dengan bebereapa cirinya, juga faktor-faktor yang memungkinnya; sebagai tambahan akan disebutkan juga pemikiran-pemikiran sesat dari kacamata Islam demi untuk menjadi panduan dalam hidup beragama.

Kesesatan
“Sesat” dalam “Kamus Dewan” memaksudkan “tidak mengikut jalan yang betul, tersalah, tersilap (jalan), tersalah, terkeliru (perbuatan, kepercayaan dll), menyimpang dari jalan yang benar”.
Dalam kitab “al-Mufradat fi Ghara’ib al-Qur’an” oleh al-Isfahani rh (1) dinyatakan dengan agak panjang maksud istilah “al-dalal” iaitu: keadaan terseleweng daripada jalan yang benar (at-tariq al-mustaqim) dan berlawanan dengan bimbingan hidayah Ilahi. Dinyatakan bahawa keadaan “dalal” ialah tiap-tiap keadaan terseleweng daripada perjalanan yang betul (al-manhaj) baik dengan sengaja atau dengan terlupa, banyak atau sedikit. Dinyatakan dalam hubungan dengan ini bahawa jalan yang benar (at-tariq al-mustaqim) yang berupa jalan yang diredhai itu sangat sukar.
Dalam kitab yang sama dinyatakan bahawa dari segi lain kesesatan (“dalal”) ada dua bahagian, iaitu kesesatan dalam ilmu nazari - ilmu yang bersifat teori - seperti kesesatan dalam hubungan dengan pengenalan atau ma’rifat terhadap Allah dan KeesaanNya, pengenalan terhadap kenabian dan hal-hal yang sepertinya; ini sebagaimana yang diisyaratkan dalam ayat:
ومن يكفر بالله و ملائكته وكتبه ورسله واليوم الاخر فقد ضل ضلالا بعيدا
Yang bermaksud “Dan sesiapa yang kufur terhadap Allah dan para malaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, dan Hari Akhirat, maka sesatlah ia dengan kesesatan yang sejauhnya (dari kebenaran) (2)
Dan keduanya kesesatan dalam ilmu-ilmu amaliah seperti ilmu tentang hukum-hukum syara’ berkenaan dengan amalan-amalan ibadat.
Dan “kesesatan yang jauh” (“al-dalal al-ba’id”) isyarat kepada kekufuran seperti yang tersebut dalam ayat yang di atas itu “sesiapa yang kufur”, dan ayat yang satu lagi ialah ayat:
في العذاب و الضلال البعيد
Yang bermaksud: "Mereka itu berada dalam azab (di akhirat) dan kesesatan yang sejauhnya (di dunia)” (3)
Dan ayat yang satu lagi ialah:
ان انتم الا في ضلال كبير(4).
قد ضلوا من قبل واضلوا كتيرا وضلوا عن سواء السبيل(5)
Yang bermaksud: "Kamu tidak lain melainkan berada dalam kesesatan yang besar. Mereka telah sesat dahulunya dan menyesatkan ramai (orang lain) dan mereka itu tersesat daripada jalan yang betul."
Kalau difahamkan bahawa kesesatan itu terdiri daripada dua jenis ini-bahagian ilmu nazari dan ilmu ‘amali- maka kita boleh cerakinkan lagi kesesatan itu kepada bahagian-bahagian seperti: akidah, ibadat, akhlak, dan hukum. Dan nampaknya kesesatan itu ada kalanya menyentuh akidah sampai kepada kekufuran (na’udhu billahi min dhalik), dan ada yang sampai kepada had sesat tanpa membawa kepada kekufuran.
Tanpa menyentuh agama-agama lain selain daripada Islam, dengan memahami Islam yang memandang dirinya sebagai agama sebenarnya dari Allah, maka kesesatan yang dikaitkan dengan Islam, atau pemeluknya asalnya Islam, dalam teks-teks klasik seperti “al-Farqun bainal-Firaq” oleh ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi rh, “Maqalat al-Islamiyyin” oleh Abul-Hasan al-Asy’ari rd, “al-Milal wan-Nihal” oleh al-Syahrastani rh, termasyuk juga Ibn Khaldun rh dalam ‘al-Muqaddimah”nya, ada beberapa jenis yang besar iaitu:
• Mu’tazilah
• Jabariah
• Khawarij
• Murji’ah
• Syi’ah Rafidhah
• Batiniah
Tanpa berpanjang kalam tentang golongan-golongan ini, kita boleh katakan bahawa kebanyakan daripada firkah-firkah ini sekarang tinggal namanya sahaja, dan ianya tidak berkembang; yang masih ada dengan namanya dan doktrinnya ialah Syiah Imamiah dan juga pecahan-pecahan Syiah yang ghuluw atau pelampau. Bagaimanapun trend-trend pemikiran mereka masih terdapat masakini yang boleh mengancam akidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah. Akidah yang terjamin benar dan pemikiran yang terjamin benar adalah akidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah dan pemikiran yang berekembang dalam “perimeter”nya secara selamat.Oleh itu maka pengecaman tentang akidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah secara jelas dan nyata serta pemikiran yang terasuh di dalam kawalannya sahaja yang boleh menjamin seseorang daripada terjebak ke dalam kesesatan dari segi fahaman dan juga amalan an nilai-nilainya.

Mu’tazilah
• mengajarkan hamba pencipta amalannya sendiri secara bebas merdeka, dan ia diberikan ganjaran mengikut amalannya. (bebrbeza daripada Ahlis-Sunnah yang mengajarkan manusia mengusahakan perbuatannya, atas usahanya itu ia diberi balasan, dan manusia tertakluk kepada Qada danb Qadar)
• mengajarkan kita tidak boleh berpegang kepada ijma’ ulama
• mengajarkan sikap tidak mementingkan hadith(aliran anti hadith adalah percikan pengaruh Mu’tazila)
• mengajarkan sikap terlalu “rasional” dalam pendekatan agama (Ahlis-Sunnah pun bersikap rasional dalam batasan-batasannya) tetapi bukan “terlampau sebagaimana golongan Mu’tazilah.
• tentang Tuhan mereka mengajarkan Allah melihat dengan ZatNya, berilmu dengan ZatNya, mendengar dengan ZatNya demikian seterusnya (berlainan dengan Aqhlis-Sunnah yang mengajarkan Allah melihat dengan sifat melihatNya, berilmu dengan sifat IlmuNya, mendengar dengan sifat mendengarNya demikian seterusnya).
• mengajarkan Tuhan tidak boleh dilihat dengan matakepala di akhirat (berlainan daripada Ahlis-Sunnah yang mengajarkan Tuhan dilihat dengan mata kepala oleh mu’minin di akhirat).
Jabariah
• mengajarkan manusia tidak ada usaha dan ikhtiar
• manusia seperti bulu ditiup angin (berbeza daripada Ahlis-Sunnah yang mengajarkan manusia ada usaha bukan di”paksa” melakukan sesuatu.Ia diberi balasan mengikut usahanya; yang “menjadikan” amalan perbuatannya ialah Allah; yang “mengusahakan” amalan itu ialah manusia).

Khawarij
• orang yang melakukan dosa menjadi kafir (berbeza daripada Ahlis-Sunnah yang mengajarkan manusia menjadi fasik dengan melakukan dosa, bukan kafir, kecuali ia mengharuskan dosa).
• menganggap semua golongan selain daripada mereka halal darahnya.
Murji’ah
• yang mengajarkan bahaa bila manusia beriman perbuatan dosanya tidak memberi
• kesan (berbeza daripada Ahlis-Sunnah yang mengajarkan perbuatan itu memberi kesan melemahkan iman)
Syiah
Syiah banyak cawangannya; semuanya berpunca daripada pendewaan mereka yang melampau melebihi batas terhadap Ali rd. Antara akidah Syiah Imamiah yang paling berpengaruh sekarang ini ialah:
• ajaran mereka tentang imam maksum; bahawa dalam kalangan mereka ada 12 orang imam yang sirinya bermula dengan Ali rd, Hasan dan Husai rd dan seterusnya sampailah kepada Hasanal-Askari dan Muhammad bin Hasan al-Askari yang mereka percaya maksum semuanya dan melebihi nabi dan rasul dari segi darjatnya. (Pada Ahlis-Sunnah yang maksum hanya nabi dan rasul bukan imam-imam).
• ajaran tentang Mushaf Fatimah-iaitu Quran yang dikatakan mereka diwahyukan kepada Fatimah selepas wafat Rasulullah saw dan Ali rd menjadi tukang tulisnya.Isinya dikatakan tigakali ganda besarnya daripada Mushaf Uthman rd. (Ijma’ dalam Ahlis-Sunnah bahawa tidak ada Quran lain selain daripada Quran yang ada sekarang yang terjamin dan terkawal oleh Allah sendiri seperti yang tersebut dalam ayat yang bermaksud “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Quran yang memberi peringatan dan sesungguhnya Kamilah Yang menjaganya”.) Ajaran ini menyebabkan seseorang terkeluar daripada ajaran Islam.
• ajaran mereka bahawa para sahabat rd menjadi murtad selepas wafat Rasulullah s.a.w melainkan empat orang sahaja atau selebihnya tidak sampai sepuluh orang.(Ini berlawanan dengan ajaran Ahlis-Sunnah yang mengajarkan para sahabat rd orang-orang yang adil semuanya, dan mana-mana yang ada melakukan kesilapan di kalangan mereka diampunkan, seperti yang diisyaratkan dalam hadith sahih tentang ahli Badar dan juga hadith-hadith lain, selain daripara ayat Quran yang menyebut “as-sabiqun al-awalun” terdiri daripada Muhajirin dan Ansar).
• ajaran mereka tentang ar-raj’ah iaitu manusia dihidupkan semula sebelum kiamat untuk menerima balasan daripada imam mereka kemudian selepas itu baharu mereka mati semula, lepas itu baharulah berdiri kiamat. (Tidak ada akidah demikian dalam ajaran Ahlis-Sunnah wal-Jamaah).
• ajaran mereka tentang taqiyyah, iaitu kepura-puraan sehingga dikatakan ada riwayat di kalangan mereka bahawa jaafar Sadiq ada menyatakan “Taqiyyah adalah dari agamaku dan agama datuk nenekku” - iaitu dari Nabi Muhammad s.a.w. - na’udhu billlahi mindhalik). (Dalam Ahlis-Sunnah diajarkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersifat dengan sifat sidk, amanah, tabligh dan fatanah, dan bukannya sifat taqiyyah yang bermakna kepura-puraan.
• mereka mengajarkan nikah mut’ah diharuskan, dengan ada kelebihan-kelebihannya.Nikah mut’ah ialah nikah seseorang dengan seseorang perempuan dengan had masa tetentu, tanpa wali atau saksi.Ini dilarang dengan ijma’ dalam umat ini dan ianya pernah berlaku beberapa waktu kemudian diharamkan oleh Nabi s.a.w.

Batiniyah
• Secara amnya golongan yang mengajarkan bahawa bentuk-bentuki amalan lahir dan hukum lahir seperti sembahyang puasa, haji dan seterusnya tidak mempunyai makna apa-apa, boleh dilanggar, yang penting ialah hakikat batinnya. (Ini berlawanan dengan Quran dan Sunnah serta ijma’ yang mementingkan lahir batin kedua-duanya sekali).
• Orang yang berpegang kepada ajaran yang membatalkan Syara’ ini terkeluar daripada agama Islam, na’udhu billahi min dhalik. Imam al-Ghazali rd menyebut dalam “al-Ihya’” bahawa golongan yang sedemikian lebih berat daripada kafir asli.

Ajaran-ajaran dan pemikiran-pemikiran sesat yang dikaitkan dengan tasawwuf: Antaranya yang timbul dalam konteks Malaysia:
• Ajaran Tuhan dalam diri berdasarkan kepada hadith kudsi “Dalam sirr itu Aku” dan penafsirannya yang zindik (banding dengan hadith dalam “Ihya’” yang menyebut “Tuhan dalam hatikamu”.
• Ajaran bahawa manusia itu Tuhan, “dia Tuhan, kamu Tuhan, aku Tuhan, semua Tuhan” dikatakannya itu hakikat.
• Ajaran bahawa yang dilihat oleh mata ini “Tuhan belaka” didakwa kononnya itu tasawwuf tinggi, ilmu hakikat.
• Ajaran yang mengajarkan Syurga Neraka dalam diri, bahkan semua alam dalam diri, tidak ada Syurga Neraka, tidak ada Arasy Kursi, dan lainnya.
• Tidak ada kiamat, sebab takkan Tuhan bodoh hendak menghapuskan semua ini selepas dijadikanNya.
• Ajaran yang menyebut hukum Syara’ itu “kulit” tidak perlu dipatuhi oleh orang muntahi yang “sampai kepada hakikat”. Dengan itu sembahyang puasa haji dan sebagainya dan juga hukum haram halalnya tidak perlu diamal. Na’udhu billahi min dhalik.
• Ajaran yang mengajarkan Quran yang ada ini kertas sahaja, Quran sebenar Quran hakikat dalam hati manusia.
• Yang mengajarkan bila dalam suluk tidak wajib sembahyang Jumuat, sebab “penyakit hati lebih berat daripada penyakit jasmani”.
• Ajaran yang menyebarkan bahawa makna Quran yang sebenar ialah yang batin, makna dalam tafsir seperti “Jalalain” tidak perlu dipakai, ijma’ ulama tidak perlu dipakai. (Quran memang ada takwilnya sebagaimana yang disebut dalam “Lataif al-Isyarat” oleh al-Qusyairi rd dan dalam “al-Ihya’” bab bacaan Quran oleh Imam
• al-Ghazali rd, tetapi maknanya yang ada dalam tafsir-tafsir yang diakui seperti “Jalalain”, “Baidhawi”, “al-Jamal” dan lainnya wajib dipakai dalam perkara-perkara yang wajib dan mesti diterimapakai.
• Ajaran yang menyebarkan bahawa guru yang berkenaan seperti Khidhir, seperti Musa mesti taat kepadanya maka murid mesti taat kepada “yang seperti Khiudhir” ini.
• Ajaran yang menyebarkan bahawa kata-kata guru tertentu seperti Quran, kalau melanggarnya seperti melanggar wahyu Quran.
• Ajaran yang menyebarkan guru tertentu itu “bayangan Mahadi”, atau “akan menjadi Mahadi”.
• Ajaran yang menyebarkan bahawa kumpulan tertentu “jamaah sebenar” seperti “jamaah Rasulullah” dan di dalamnya ada “orang-orang seperti Sahabat-sahabat Nabi” dan di dalamnya ada orang “seperti Abu Bakar”
• Ajaran yang menyebarkan ada orang tertentu yang ilmunya “seperti Nabi Yusuf” mengetahui takwil tentang apa-apa yang berlaku.
• Ajaran yang menyebarkan bahawa jamaah tertentu kalau orang keluar daripadanya “akan mati murtad”, atau “mati munafiqin” na’udhu billahi min dhalik.
• Ajaran yang menyebarkan bahawa kalau seseorang balik ke kampong daripada berada dalam sesuatu jamaah maka orang itu “murtad secara rohani”.
• Ajaran yang menyebarkan ada di alamnya orang-orang seperti “Nabi Isa”, “Nabi Musa”,”Khidhir” dan sebagainya.

Pemikiran berkaitan dengan Hukum
• Ajaran yang menyebarkan bahawa “semua orang boleh berijtihad sendiri tidak wajib ikut mazhab tertentu daripada mazhab-mazhab yang empat” seperti yang tertera dalam kitab “Hal al-Muslim mulzam b’t-tiba’ al-madhhab al-mu’ayyan mina-Madhahib al-arba’ah” karangan Syaikh Muhammad al-Khojandi al-Ma’sumi.
• Ajaran yang menyebarkan bahawa orang yang mengikut mazhab tertentu seperti yahudi dan Nasara yang menjadikan “rahib-rahib dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah” (Surah at-Taubah: ayat 32).
• Ajaran yang mengajarkan bahawa boleh seseorang melihat terjemahan Quran dan terjemahan hadith dan membina hukum sendiri daripadanya tanpa merujuk kepada kitab-kitab hukum Islam, apa lagi ada internet yang boleh didapati terjemahan Quran dan hadith daripadanya.
• Ajaran yang menyebarkan memadai difahami usul al-din daripada terjemahan Quran dan hadith secara bersendirian tanpa mempelajari usul-al-din bahkan usul’ah sebab Nabi saw dan para Sahabat tidak mengajar usul al-din.
• Ajaran yang menyebarkan bahawa amalan-amalan wirid, tahlil beramai-ramai, dan lain-lain sebagainya yang ada dalam mazhab Syafi’I antaranya - disebut Syafi’I sebab ini mazhab di Nusantara - adalah bid’ah dhalalah yang menepati maksud hadith yang bermaksud “semua yang dhalalah dalam Neraka”.
• Ajaran yang disebarkan bahawa tasawwuf bid’ah tidak ada dalam Islam dan tidak diamalkan oleh nabi saw dan para Sahabat dan orang-orang salaf yang soleh.
• Ajaran yang disebarkan bahawa orangt-orang yang hidup tidak sampai pahala amalannya kepada si mati walaupun diniatkan untuk mereka, kerana ini berlawanan dengan ijma’ sebagaimana yang disebut dalam “Mausu’atul-Ijma’” karangan Sa’di Abu Jaib dan dalam “Majmu’ Fatawal-Kubra “ oleh Ibn Taimiyah dalam “kitab al-Jana’iz” jilid 3.

Pemikiran Moden Yang Menyesatkan Dari Perspektif Islam
• Sekularisme:yang mengajarkan pemisahan total antara hidup jasmani dan rohani, keagamaan dan keduniaan.Memang ada yang bersifat keduniaan antara kegiatan-kegiatan manusia tetapi semuanya terletak dibawah kawalan hukum agama.
• Materialisme: yang mengajarkan hakikat sebenar yang ada hanya benda samaada dalam erti fisik klasik sesuatu yang bertempat dan ada beratnya atau fisik kuantun yang mentakrifkan benda sebagai gelombang (waves) atau zarah (particles).Benda memand ada tetapi hakikat tertinggi adalah bukan bersifat material, seperti Tuhan dan alam ghaib yanhg memang ada, dan dalam agama ianya lebih reali daripada alam benda.
• Pascamodenisme: yang mengajarkan semuanya nisbi, tidak tetap mutlak dan menentu, metanaratif dalanm bentuk agama-agama besar tidak berguna, dan nilai-nilai baik dan buruk tidak boleh dipakai.Ini menyanggahi akidah Ahlis-Sunnah yang mengajarkan ada ajaran yang mutlak yang tidak berubah-ubah seperti Tauhid,wahyu, kenabian, dan akhirat, ada bentuk-bentuk ibadat yang tetap dan pasti, ada yang baik dan buruk yang tetap dan tentu.
• Saintisme: yang mengajarkan hanya teori-teori dan penemuan-penemuan sains sahaja yang boleh dipakai sebagai ilmu yang benar, yang lain yang bercanggah dengannya seperti kenyataan-kenyataan dalam ajaran agama dan teks-teks suci mesti ditolak atas alasan bercanggahan dengan sains dan teori-teorinya.Ini bercanggah dengan epistemologi atau faham il,mu Sunni yang mengajarkan adanya tempat yang wajar untuk sains dalam skimanya tetapi kebenaran-kebenaran yang mutlak dalam agama dan wahyu bukan bidang yang boleh dihakimi oleh sains dan teori-teorinya.
• teori-teori tentang asal usul manusia dan agama dalam kajisosial yang perlu diawasi.
• teori-teori dalam sains seperti evolusi dan yang sepertinya yang perlu diawasi, termasuk kenyataan-kenyataan tentang tenaga (energy), dan benda (matter).
• teori-teori psikologi seperti konsep seks yang menentu segala dalam fahaman Freud, penafsiran pengelaman jiwa oleh Jung dan yang sepertinya yang perlu diawasi.Kita boleh mempelajarinya untuk bahan bandingan tetapi untuk menjadi pegangan diperlukan pengamatan yang tajam dan kewaspadaan intelektuil yang tinggi.

Empat Wacana Agung Yang Menentukan di Nusantara
Sebagaimana yang saya telah nyatakan dalam pertemuan Dunia Islam Dunia Melayu di Melakan baharu-baharu ini, demi untuk menjaga jatidiri Sunni Nusantara di kalangan Muslimin rumpun Melayu ini, kebenaran pegangan dan amalan mereka serta keseragaman identiti intelektuil dan aksiologi atau faham nilainya, maka perlu diteruskan tiga wacana agung, dengan tambahan-tambahan seperlunya mengikut suasana yang dihadapi:
• Segi akidah semenjak awal lagi kita dipandu oleh wacana intelektuil dan rohani Sunni dengan ajaran Imam Abul-Hasan al-Asy’ari rd - dengan tambahan-tambahan seperlunya sesuai dengan perkembangan pengetahuan semasa.
• Segi hukumnya kita dipandu oleh wacana ilmu oleh Imam Syafi’I rd dengan tambahan-tambahan seperlunya.
• Segi kerohanian dan akhlak kita dipandu oleh wacana agung Imam al-Ghazali rd, dengan tambahan-tambahan seperlunya.
• Keempatnya saya hendak menambah sebagai syor, iaitu untuk pemerkasaan hidup budaya dan tamadun kita beryusaha untuk dipandu oleh wacana agung Ibn Khaldun rh dengan ‘al-Muqaddimah’nya, dengan tanmbahan-tambahan seperlunya.
• Dengan berpandukan Quran dan Sunnah dan wacana-wacana agung ini serta dengan tambahan-tambahan ilmu pengetahuan dan teknologi semasa yang kita pilih untuk kemanafaatan kita, kita akan selamat dalam menjaga kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Allahumna amin.

Cadangan-Cadangan
• Perlu disebarkan akidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah dengan huraian-huraian yang senang diterima dan berkesan untuk semua golongan sasaran baik di kalangan orang awam dan juga kalangan akademik dan media serta pelajar.
• Saluran pendidikan ini ialah melalui sistem pendidikan dan juga media dan pemanafaatan institusi-institusi seperti masjid-masjid dan persatuan-persatuan belia.
• Pendedahan eipstemologi Sunni atau faham ilmunya secara menyeluruh perlu diberikan dalam seminar-seminar dan yang sepertinya pada peringkat negeri, kebangsaan, bahkan serantau, demi untuk memandu umat ini dalam berpegang kepada keyakinan ini dalam menghadap pelbagai arus dan gelombang pemikiran sesat samaada yang berasal daripada masyarakat Islam sendiri ataun yang datang dari luar.

Kesimpulan:
Sebagai kesimpulannya inilah makna kesesatan dan ciri-ciri ajaran sesat dalam konteks Islam Sunni yang perlu diketahui dan disedari dalam bentuk-bentuk klasik dan modennya.Maka perlu dibentuk kewaspadaan intelektil yang tinggi di kalangan umat Islam demi untuk menjaga kebenaran dan kesahihan pegangan, amalan dean pemikiran mereka dalam menghadapi hidup yang mencabar termasuk cabaran globalisasi yang bukan sahaja akan menngubahkan wajah hidup kita dalam ekonomi dan pengetahuan tetapi juga dalam masalah akidah dan pegangan kalau tidak dihadapi dengan baik dengtan izin Ilahi.Allahumman amin.

Wallahu a’lam.

Sabtu, 8 Ogos 2009

0 Agama Sebagai Pendorong Atau Pembentuk Pertembungan Tamadun


OLEH:
MUHAMMAD 'UTHMAN EL-MUHAMMADY

Kita boleh bermula dengan melihat agama (“al-din”) menerusi pengertiannya yang menyeluruh sebagaimana sifat Islam yang membawa kepada timbulnya “diri” peradaban tertentu dengan ciri-ciri yang semuanya berpaksikan tauhid atau keyakinan terhadap Keesaan Tuhan Yang Mutlak. Bermula daripada aspek yang paling batin, dengan akidah dan hidup rohaniahnya, berserta dengan nilai-nilai akhlaknya, hingga kepada peraturan-peraturan hidup yang menyeluruh, yang merangkumi seluruh aspek hidup manusia dan tamadunnya, yang membawa kepada timbulnya institusi-institusi, cara-cara pemerintahan, perkembangan ilmu sastera dan sains, dengan aspek-aspek fisikal, sosial, moral, dan rohani peradaban atau tamadun yang dibinanya. Dengan itu timbullah “peribadi” peradaban yang berupa keseluruhan yang organik itu.
Kemudian, apabila agama yang sedemikian ini – yang bermula daripada wahyu murni dari alam tinggi tanpa bentuk (formless) turun ke alam manusiawi dan menimbulkan ciri-ciri perkembangan sebagaimana di atas, dengan tamadun dan budaya tertentu, “bertemu” dengan tamadun lain secara biasa atau secara kekerasan (seperti yang berlaku dalam Perang Salib, atau peperangan yang membawa kepada penjajahan negeri-negeri Timur), maka berlakulah perubahan-perubahan pada beberapa paras yang insya’ Allah akan dibicarakan nanti.
Pertemuan itu – boleh wujud sebagai pertembungan dengan agama seperti Islam memainkan peranannya sebagai pembentuk pertembungan; ia sebagai pembentuk pertembungan kerana membentuk beberapa ciri rohani, intelektual, akhlak, budaya dan peradaban yang tersendiri. Ini berlaku daripada tuntutan agama itu sendiri, seperti tauhidnya tentang keTuhanan; akidahnya dengan cawangan-cawangannya tentang alam ghaib, kenabian, dan konsep wahyu dan tadbir Ilahi. Ia menuntut bentuk hidup rohaniah tertentu dengan keyakinan dan ajarannya; dengan nilai-nilai akhlak peribadi, kekeluargaan, masyarakat dan umat seluruhnya. Ia menuntut bentuk-bentuk kehidupan mengikut ketentuan hukumnya yang menyeluruh, serta dengan “kecapan” seni dan budayanya yang berkembang dalam acuan faham alam, ilmu, dan nilainya.
Ertinya, ia bertembung dengan apa-apa yang lain daripada tauhidnya, yang lain daripada bentuk hidup rohaninya berdasarkan tauhid itu, yang menunjukkan nilai-nilai yang lain daripada nilai-nilainya berdasarkan taqwanya – nilai-nilai benar, amanah, kerjasama, kebijaksanaannya, persaudaraannya (dengan mengambil kira pula bahawa pada paras nilai-nilai ini banyak terdapat persamaan dengan tamadun-tamadun lain), dan yang lain daripada peraturan-peraturannya dalam syariatnya yang menyeluruh itu.
Walau bagaimanapun, ajarannya tentang memberi kebebasan kepada wakil-wakil peradaban lain menjalankan kehidupan mereka dengan bebas (sebagaimana yang terbayang dalam “Perlembagaan Madinah” yang tercatat dalam Sirah Ibn Ishaq yang diulas dengan baik oleh Prof. Hamidullah) memberi ruang yang banyak untuk wujudnya hidup kejiranan antara Orang-Orang Yahudi dan Kristian dalam negeri-negeri Islam dari zaman dahulu sampai zaman sekarang. Kewujudan agama-agama lain diiktiraf dalam kehidupan peradaban Islam yang menjadi realiti sejarah yang nyata. Dengan itu, berlaku “pertembungan” dalam aspek-aspek yang tersebut dengan agama sebagai pembentuknya.
Boleh juga dinyatakan bahawa agama mendorong kepada berlakunya pertembungan itu, kerana agama seperti Islam mahukan umatnya menghayatinya dengan seikhlasnya dalam kehidupan mereka dan menonjolkan kebenaran dan kecantikan agama itu dalam hidup mereka. Dorongan ini terdapat dalam hukum Syara’ yang mewajibkan amalan-amalan tertentu seperti sembahyang dan menunaikan zakat dan menggalakkan amalan-amalan tertentu, melarang amalan-amalan tertentu dan tidak menggalakkan amalan-amalan tertentu, berserta dengan sikap yang berkaitan dengannya. Juga, dorongan ini terdapat pada tuntutan ke atas penghayatan hidup rohaniah yang berkesan dan ikhlas dengan dorongan supaya tercapai pendakian hidup rohaniah yang bermakna, misalnya sebagaimana yang terdapat pada takrif “jalan pendakian yang tinggi” (“al-‘aqabah) dalam Surah al-Balad misalnya, selain daripada tuntutan jihad. Dorongan ini juga terdapat pada kehidupan akhlak yang mulia yang merupakan satu daripada aspek-aspek asasi kedatangan agama ini ke dunia ini, sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis riwayat Abu Daud. Pada mereka yang beriman, penghayatan agama ini ialah untuk menzahirkan rahmat Ilahi kepada umat manusia sebab agama ini datang – sebagaimana Nabinya juga – sebagai “rahmat untuk seluruh alam”.

Islam di Dunia Melayu
Apabila Islam datang ke Nusantara dan berlaku “pertembungannya” dengan Dunia Melayu, maka pertemuan itu secara relatifnya berlaku dengan aman berbanding dengan apa-apa yang berlaku dalam rantau-rantau lain. Dengan itu berlakulah Islamisasi Nusantara dengan kesan-kesannya sebagaimana yang dilihat dengan sejarah. Dalam hal ini berlaku perubahan akidah kepada akidah ahli-Sunnah wal-Jamaah; perubahan kepada hidup kerohanian dengan penerimaan hidup rohaniah Islam, walaupun masih ada unsur-unsur yang selain daripadanya daripada peninggalan unsur-unsur yang sebelumnya. Juga, berlaku perubahan pada nilai-nilainya dan juga peraturan-peraturan hidupnya. Timbullah kata-kata terkenal “Hidup bersendikan adat, adat bersendikan hukum, dan hukum bersendikan kitab”. Kitab itu maksudnya ialah al-Quran dan Sunnah dan implikasi-implikasinya. Dengan itu berlakulah Islamisasi pada beberapa paras: rohani, intelektual, kemasyarakatan, bahkan tamadun dan budaya tanpa mengenepikan kewujudan unsur-unsur pinggiran yang tidak harmonis dengan faham alam, ilmu dan nilai yang baharu itu.
Kedatangan Islam membawa kepada perkembangan tamadun Melayu Islam yang berpusat di Samudera Pasai, Melaka, Aceh, Brunei, Fatani dan sebagainya. Dengan itu muncullah bahasa Melayu sebagai bahasa budaya tinggi dan bahasa bicara intelektual, bahkan kematangan bahasa ini berlaku dalam zaman Islam selain daripada kedudukannya sebagai bahasa perdagangan dan lingua franca. Tamadun Islam Melayu pula mengadakan hubungan dengan pusat-pusat peradaban Islam di Asia Barat dan Asia Selatan dan juga Afrika.

Kedatangan Barat dan Globalisasi
Kedatangan Barat yang bermula dengan perdagangan akhirnya membawa kepada penjajahan yang memberi kesan terhadap budaya dan peradaban, serta politik di rantau ini, dengan berpecahnya rantau ini mengikut “lingkungan pengaruh” (spheres of influence) bangsa-bangsa Barat. Akhirnya, dengan izin Ilahi tercapailah kemerdekaan bagi negeri-negeri Asia Tenggara selain daripada negara-negara lain di Asia.
Kemudian, pada akhir abad ke-20 timbul pula pensejagatan dengan suasana yang dikatakan “dunia tanpa sempadan”, “kampung sejagat”, “liberalisasi ekonomi”, dengan “tenaga-tenaga pasaran bermain dengan bebas” (free operation of market forces) untuk menentukan perdagangan bebas dengan implikasi-implikasinya, yang dibantu oleh ICT dengan internetnya dan pelbagai operasi yang bertalian dan berkaitan dengannya.
Ada beberapa perkara yang boleh diperhatikan. Antaranya:
• Penggunaan internet untuk menghubungkan budaya-budaya tempatan etnik, keagamaan dan kebangsaan dengan audien seluruh dunia. Hal ini membolehkan semua orang mendapat capaian untuk semua ini dan ia boleh mengambil bahagian dengan batasan-batasan tertentu – dalam kepelbagaian yang sedemikian.
• Merebaknya keseluruh dunia budaya yang dominan seperti budaya Amerika dan Barat yang disejagatkan melalui pemilikan infrastruktur dan pengeluaran, yang membolehkan penafsiran bahawa ini satu bentuk lagi penjajahan budaya atau Amerikanisasi.
• Berlakunya penyamaan – homogenization – atau “pengantarabangsaan” budaya, yang memihak secara berat sebelah kepada bangsa-bangsa maju Barat, bahasa-bahasa dan nilai-nilai mereka, dan perkara itu disertai dengan kesedaran tentang berlakunya pencairan atau penghakisan budaya tempatan atau budaya-budaya golongan minoriti.
• Dalam bidang ekonomi-politik tentang komunikasi, adanya gerakan ke arah capaian sejagat kepada teknologi maklumat dan perhubungan melintasi sempadan-sempadan negara. Matlamat capaian sejagat itu dan juga keberadaan internet di mana-mana menuntut perkiraan terhadap dua tenaga, iaitu satu daripadanya ke arah pembangunan teknologi, dan satu lagi ke arah kerajaan dan institusi-institusi ke atas perhubungan antarabangsa yang sedemikian mudah ini.
• Boleh diingatkan sebagai tambahannya, Samuel Huntington dalam The Clash of Civilizations, bahawa negara bangsa menjadi lemah sebagai entiti politik, dan menjadi pentingnya tamadun mengatasi negara bangsa (transnational civilizations).
• Bagaimana dunia semakin menjadi terbahagi kepada peradaban Timur dan Barat.
• Jati diri peradaban menuntut adanya “yang lain” yang berhadapan dengannya, maka jati diri itu diberikan takrifnya.
• Pada beliau tenaga-tenaga integrasi dunia ialah yang nyata dan menimbulkan tenaga-tenaga yang menyanggahi penegasan budaya dan kesedaran tamadun (civilizational consciousness).
• Juga padanya dalam sesetengah pengertian dunia ini ada dua, tetapi kelainan yang pusatnya ialah antara Barat sebagai tamadun yang mendominasi dan ada tamadun-tamadun yang lain di pihak lainnya yang mereka itu tidak banyak persamaannya. Ertinya dunia adalah antara Barat yang satu dan yang bukan Barat yang banyak.
• Tetapi pada beliau, negara-negara bangsa adalah dan terus akan kekal menjadi pelakon-pelakon dalam urusan antarabangsa, tetapi minat, hubungan, dan konflik akan semakin dibentuk oleh faktor-faktor budaya dan peradaban.
• Pada beliau sebenarnya dunia dalam keadaan tidak aman dan huru-hara (anarchical) penuh dengan konflik-konflik kabilah dan kebangsaan, tetapi katanya kumpulan-kumpulan yang paling membahayakan kestabilan dunia ialah yang ada antara negara-negara atau kumpulan-kumpulan daripada peradaban yang berlainan (antaranya beliau menyebut peradaban Cina dan Islam).(cf.cct.georgetown.edu/curriculum/505-98/globalization.html).
Ini merupakan antara ciri-ciri dalam pertembungan peradaban yang sedang berlaku sekarang ini. Berdasarkan hubungan ini terdengar suara-suara yang ditimbulkan dalam hubungan dengan ekonomi:
• Bagaimana perlu dipastikan supaya pensejagatan itu bukan sepenuhnya, tetapi terkawal untuk kemaslahatan negara-negara dan rakyatnya yang berkenaan;
• Kalau dibiarkan berlaku pensejagatan dengan liberalisasi ekonomi dan kebebasan tenaga-tenaga pasaran memainkan peranan dengan sepenuhnya maka syarikat-syarikat yang memerlukan pembelaan untuk maju dan berkedudukan teguh dengan bantuan-bantuan dan dokongan tidak akan boleh bertahan dan akan terhapus; demikian pula golongan-golongan tertentu dalam negara-negara yang perlu diberi pembelaan untuk menimbulkan keadilan ekonomi dan sosial akan disia-siakan dengan dibiarkan pensejagatan total itu. Oleh itu, ia perlu dibataskan dengan keperluan-keperluan dan kemaslahatan-kemaslahatan negara;
• Kalau dibiarkan pensejagatan total itu berlaku, negara tidak akan mempunyai kebebasan lagi untuk menjalankan fungsinya yang sebenarnya untuk kemaslahatan para penduduknya. Ia akan menjaga boneka di tangan syarikat-syarikat gergasi multinasional (multinational corporations). (Bandingkan ini dengan peranan khalifah atau pemimpin dalam Islam misalnya yang mesti menjaga agama, harta, maruah, nyawa, keturunan, dan akal para penduduk negeri Islam mengikut faham alam, ilmu dan nilai Islam, sebagaimana yang dihuraikan dalam fiqh dan usul al-fiqh, semuanya akan terkorban).
Sikap Yang Mesti Dibentuk Dalam Menghadapi Pensejagatan Dalam Pertembungan Tamadun Masa Kini.
Ada beberapa perkara yang diingatkan dalam perbincangan di Amerika tentang Global I”baru-baru ini (www.csis/gt2005/conf08t46.html) yang menunjukkan kepekaan mereka tentang perkara-perkara negatif yang sedang berlaku dalam peradaban mereka, yang menjadi iktibar untuk kita dalam berbicara tentang membangun tamadun. Antaranya ialah:
• Syarikat-syarikat gergasi multinasional sejumlah 40,000 banyaknya dengan syarikat-syarikat rakannya hampir sesuku bilion dengan nilai penjualannya sebanyak lima kali ganda daripada perniagaan antara negara-negara di mana mereka berada;
• Pengembangan nilai-nilai Amerika yang membawa kepada Amerikanisasi sebenarnya;
• Dalam Ujian Psikologi Manusiawi (The Test of Human Psychology) disuarakan dalam persidangan penting itu bagaimana ramai manusia mengalami ketegangan dalam hidup, kerana cabaran hidup terlalu berat akibat hidup pada zaman pensejagatan ini, dengan alienasi mereka, iaitu terpisah dan asing hidup mereka daripada apa yang sebenarnya; mereka terasa dukacita dan terasa beban information overload sehingga timbul persoalan adakah jiwa manusia yang disediakan untuk menghadapi dunia yang seratus kali kurang cabarannya boleh bertahan dalam dunia yang sedemikian kuat dan banyak cabarannya?
• Disebutkan dalam persidangan itu Pessimism Syndrome, iaitu penyakit pessimis, iaitu merasa manusia lebih buruk dan teruk daripada keadaan sebenarnya, dengan itu timbul rasa putus harap dan hidup tidak bermakna;
• Disebutkan tentang penghakisan nilai-nilai pokok tentang kebaikan, kebenaran, kesetiaan dan seterusnya;
• Disebutkan bagaimana manusia tertarik kepada aliran-aliran kerohanian yang ganjil-ganjil;
• Dinyatakan bagaimana manusia hilang tempat berpijak. Dinyatakan (suasana hidup sekarang) seems to remove from our lives any kind of anchoring – “nampaknya sedang membuang dari hidup kita ini semua jenis rasa berakar umbi kepada apa-apa:
• Disebutkan tentang techo-ethos iaitu hidup yang terlampau sangat dikuasai oleh teknologi yang merosakkan dimensi manusiawi dalam hidup ini.

Beberapa Perkara Pokok dalam Menghadapi Pertembungan Tamadun dan Membina Tamadun Melayu di Nusantara:
Sebagaimana yang telah saya suarakan dalam ceramah saya lebih kurang dua tahun lalu yang bertajuk “Memeriksa Kembali Konsep peradaban Dalam Membina Negara-Bangsa Dalam Menghadapi Alaf Baru” - saya ingin menyebut kembali beberapa perkara pada bahagian akhir ceramah tersebut. Antaranya:
• Berfikir tentang peradaban dan membinanya di kalangan kita sekarang, hendaklah kita meyakini tentang hakikat ia mesti berpaksikan beberapa faktor pusat (core factors) dalam sejarah: iaitu berasaskan bangsa Melayu yang bersatu padu dalam pegangan Islam dengan ajaran dan amalan Ahli-Sunnah wal-Jamaah dengan panduan faham alam, faham ilmu dan faham nilainya serta menangkis apa-apa yang bercanggah dengannya dari Timur atau Barat (nisbah bagi Muslimin).
• Berpaksikan hidup kerohanian dan akhlak Islam yang tidak berbelah bagi yang menjamin kebenaran, keselamatan dan kesejahteraan hakiki, serta perpaduan yang timbul daripadanya.
• Berpaksikan hidup mengikut aturan-aturan syara’ dalam hubungan dengan Tuhan, keluarga, hidup kejiranan, dan kemasyarakatan serta kebangsaan.
• Berpaksikan ketuanan Melayu Islam sebagai pihak yang menentukan dalam suasana siasah negara, yang berkembang dalam rantau Asean, dengan kerjasama serantau yang erat, dalam hubungan antarabangsa, selain daripada tiap-tiap negara menjaga kepentingannya masing-masing.
• Berpaksikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara Malaysia dan negara-negara lain yang berkenaan dengan rakyatnya berkemampuan dalam bahasa-bahasa lain seperti Inggeris untuk menjadi bahasa ilmu pengetahuan dan hubungan antarabangsa, yang mereka itu saling kenal mengenal budaya antara satu sama lain, dengan menjaga keharmonian, dan kerjasama dalam sebuah negara seperti “umat yang satu” dalam erti golongan yang hidup dalam sebuah masyarakat – sebagaimana yang disebut oleh Ibn Ishaq rh dalam hubungan dengan para penduduk Kota Madinah yang terdiri daripada umat pelbagai agama.
• Dengan Peradaban Islam sebagai asas membangun peradaban di negara ini berserta memberi ruang kepada perkembangan peradaban lain yang mengayakannya dalam rangka keberadaan pelbagai budaya dalam negara. Bahkan, mereka yang Muslim dan yang bukan Muslim perlu bergabung sebagai mewakili peradaban Asia untuk mewujudkan perpaduan demi untuk menghadapi pensejagatan demi untuk kemaslahatan negara dan orang ramai serta kehidupan mereka. Tanpa kerjasama antara semua ahli peradaban Asia, pensejagatan sukar dihadapi dengan berkesan.
• Islam dalam ertinya yang luas dengan mengambil kira spektrum yang mencakupi intelektual, rohani, moral, peribadi, kekeluargaan, kemasyarakatan, dan siasah serta dengan sains dan teknologi terkini dalam memenuhkan keperluan negara sebenarnya.
• Peradaban yang di dalamnya ada perasaan kebangsaan dalam konteks yang diharuskan oleh Islam dengan mengambil kira kewujudannya dalam umat yang sarwajagat. Rasa kebangsaan yang dikehendaki itu ialah sebagaimana yang dihuraikan oleh Ibn Khaldun rh dalam al-Muqaddimahnya dalam memberi huraian yang sangat baik tentang al’-Asabiah dalam ertinya yang menyeluruh dan meyakinkan. Dengan itu teks beliau itu semestinya perlu dijadikan teks yang memberi wacana agung untuk rantau ini selain daripada wacana-wacana Sunni lainnya. Dan, adalah satu perkara berkebetulan yang menakjubkan bahawa konsep ‘asabiah ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah adalah bukan etnik tetapi yang bersifat budaya, sebagaimana juga konsep Melayu yang ada dalam perlembagaan Malaysia, ia bersifat budaya-bahkan juga bersifat peradaban dan bukan etnik. Maka huraian beliau tentang keperluan tamadun kepada semangat perpaduan bangsa itu merupakan satu hujah yang kuat untuk kita membina kesedaran ini di kalangan kita. Bahkan pada ibn Khaldun rh, peradaban besar tidak boleh dibina tanpa ‘asabiyah yang positif sedemikian itu.
• Dengan ini wacana agung Sunni yang memberi kerangka intelektual, rohani dan moral Nusantara Muslim ialah: akidah Ahli-Sunnah wal-Jamaah, fiqh mengikut [i]panduan Imam Syafi’I rd, dengan tambahan-tambahan seperlunya, ajaran rohani dan akhlak berpandukan Imam al-Ghazali rd dengan tambahan-tambahan seperlunya, dan akhirnya untuk pemerkasaan budaya dan tamadun panduan diambil daripada al-Muqaddimah karangan Ibn Khaldun rh dengan tambahan-tambahan daripada perkembangan baru di mana diperlukan.
• Peradaban itu ialah peradaban yang membangunkan ekonomi yang adil, sama rata dan saksama dengan agihan hartanya yang wajar, tanpa unsur penindasan dan penzaliman.
• Peradaban yang menerima aspek-aspek positif dari Barat dengan sains dan teknologinya, termasuk ITC-nya dan menolak apa-apa yang negatif dari segi Islam, dan mereka yang bukan Islam mengambil peradaban mereka sebagai panduan dalam aspek-aspek yang berkaitan. Ini semua adalah ketentuan-ketentuan yang didorongkan oleh Islam sebagai agama Ilahi dan ia membentuk kesedaran yang demikian dan menentukan keperluan perjuangan bagi merealisasikannya.

Wallahu a’lam.
 

FIKRAH PUTERA ISLAM Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates