Rabu, 26 Ogos 2009

0 Kasih Najwa (Episod 1)


CERPEN OLEH : TRIPLE M

“Najwa, tolong bawa masuk invois semalam.”
Tuan Abid memberi arahan itu melalui telefon pejabat. Tidak lama kemudian Najwa, seorang kerani, masuk ke biliknya. Di tangannya ada fail hijau nipis yang bertutup. Dia melangkah longlai. Mukanya mengecut, dahi berkerut, matanya menakung air. Dia menyerahkan fail itu kepada pengarah syarikat. Bibirnya bergerak, barangkali cuba mengatakan, “invois itu ada di dalam fail.” Pun begitu matanya tidak selari. Tuan Abid perasan itu.
“Awak sakit kah?”
Najwa mengangguk, kemudian cepat-cepat menggeleng pula. Sah, dia di alam bukan nyata. Sebaik menyedari keadaannya dikesani Tuan Abid, dia cuba mengubah reaksi wajah. Cuba-cuba mengukir senyum walaupun kelihatan agak janggal. Tuan Abid menyuruh dia mendapatkan rawatan di klinik tetapi dia enggan. Najwa kembali semula ke mejanya.

Dia meresah semula. Jari-jarinya melekat di papan kekunci komputer. Mukanya menghadap monitor CRT, dan di sisinya ada beberapa helai kertas tercatat segala maklumat urusniaga syarikat itu sepanjang bulan lepas. Dia mahu memasukkan data-data itu ke dalam fail di komputer, namun sejak tadi jemarinya masih mengeras. Walaupun matanya menonton skrin monitor, tetapi pandangannya jauh melampaui dinding bangunan pejabat itu. Dahinya kembali mengerut, beberapa titik air jernih mula menitis dari hujung anak matanya. Tiba-tiba saja dia menjadi sebak. Ada sesuatu yang dirisaukannya.

Tamat waktu bekerja, Najwa bergerak ke stesen STAR Line dari pejabatnya di Ampang. Sepanjang perjalanan anak matanya terpaku pada suatu sudut. Dia mengelamun panjang. Lamunannya sesekali terhenti apabila tren itu singgah di satu-satu stesen. Fikirannya terbang jauh ke selatan tanah air. Satu kisah di waktu dulu menjelma kembali.

“Kenapa kau tak terima tawaran itu?”
Soal Mak Sailah sebaik mendapat tahu Najwa menolak tawaran melanjutkan pengajian.
“Biarlah Jua jaga mak dan adik-adik. Jua boleh terus jual kuih dan jahit baju.”
Mendengar itu, Mak Sailah sebak. Dia merangkul tubuh anak sulungnya yang baru mendapat keputusan STPM yang cemerlang. Didakapnya erat. Dia mengerti tugas menjaga anak-anaknya yang seramai lima orang tidak akan sempurna tanpa pengorbanan Najwa. Malah sewaktu bersekolah dahulu, dia sering membantu ibunya itu menjual kuih di tepi jalan kampungnya.
“Mak faham Jua pun ada cita-cita. Mak takkan halang. Fikir masak-masak.”
Mak Sailah cuba menasihati. Dia tidak mahu Najwa terburu-buru. Dia tidak mahu memusnahkan masa depan anak itu, seperti yang pernah dipesannya kepada semua anak-anaknya, “belajar sungguh-sungguh sampai universiti.”
Segala-galanya berubah semenjak suaminya maut dalam kemalangan jalan raya ketika Najwa berada di tingkatan dua. Mak Sailah terpaksalah bertungkus-lumus mencari nafkah dengan menjual kuih dan menjahit pakaian.
“Tak mengapa, mak. Bila-bila pun Jua boleh sambung belajar. Biarlah adik-adik yang lain berjaya dalam pelajaran dulu. Kasihan mak seorang bekerja.”
Mak Sailah mengalah. Dia tidak dapat lagi mengubah keputusan itu. Biarlah Najwa menentukan sendiri masa depannya.
“Stesen Maluri! Stesen Maluri!”
Suara itu mematikan khayalnya. Keluar dari tren itu, dia segera mendapatkan teksi untuk ke rumah sewanya di Taman Maluri 3.

“Nah, air kau.” Rakan serumah, Hana menghulurkan mug berisi air Milo panas. Dia menghidupkan peti televisyen, mencari siaran berita. Dia sempat menjeling ke arah Najwa. Air Milo itu tak berusik. Matanya terpaku merenung jauh ke dalam mug yang dipegangnya. Dia pun tak hiraukan siaran berita di tv. Hana memberanikan diri bertanya. Lama dia menanti, tiada jawapan yang diterima. Wajah Najwa mula berubah. Sebentar kemudian air matanya menitis. Bahunya terhinjut-hinjut cuba menahan sebak. Melihat itu, Hana merapati. Siaran berita ditutup. Dia merangkul perlahan tangannya, digenggam kuat. Hana cuba mententeramkannya. Memujuk dengan bahasa yang terhalus. Barangkali seorang perempuan jua yang bisa memahami perasaan perempuan lain. Di waktu ini, Najwa berada dalam situasi yang sulit. Jiwanya serba-salah, memberontak dan tersepit. Ia perlu ditenangkan agar tidak menjadi barah yang payah disembuhkan. Jika gelodak jiwanya mencapai ke paras bahaya, dia mampu melakukan apa-apa yang di luar batasan. Hana tidak mahu itu berlaku. Dia sayangkan temannya itu. Meski baru lima bulan mengenali, sikap mesra dan mudah bergaul menjadikan mereka berdua amat akrab sekali. Ibarat sudah berkawan semenjak dari kecil.
“Aku…aku rindukan ibu aku, Hana.”
Itulah ungkapan yang tersembur dari mulutnya. Rupanya dia sedang dalam kerinduan. Dia lama menyimpan rasa itu dan disembunyikan dengan rapi sekali. Tetapi kini jiwanya tak terbendung. Dia tak dapat menahan kecamuk rindu itu.
“Kalau begitu, pulanglah. Jenguk dia.”
Hana memberi cadangan.
“Tak boleh. Aku…”
“Sampai bila kau nak pertahan egois kau. Dulu kau mungkin terlampau mengikut hati. Tapi sekarang bertindaklah dengan waras akal.”
Najwa mengesat air matanya dengan kertas tisu. Hana menghulur mug berisi air Milo kepadanya buat kali kedua. Kali ini dia meneguk air itu perlahan-lahan.
“Aku mengerti kerinduan yang kau tanggung. Bila dia dekat, tak terasa pun. Tapi bila sudah jauh begini, barulah merasai kehilangan dan kerinduan.”
Najwa menghirup habis air itu. Sebaknya berkurang. Barangkali kata-kata sahabat baiknya itu benar. Kerana terlampau pentingkan diri dan egois, dia cuba menafikan kerinduan itu. Dia mencampak jauh ia keluar dari lubuk hati. Namun ia akhirnya memakan dirinya. Apabila tak mampu lagi membendung perasaan itu, maka seringlah dia bermuram, berkhayal, bermenung dan tak bermaya. Najwa mula sedar dia telah tersalah langkah. Dia tak seharusnya menurut hati di waktu itu. Dia pernah bernekad, “Biar apa pun berlaku, aku takkan pulang.” Kata-kata itulah yang dilafaz ketika pertama kali memijak tanah bandar metropolitan. Sewaktu dia terdesak untuk mencari tempat tinggal di bandar yang amat asing baginya. Mujurlah dia tersua dengan Hana.

.....bersambung

Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.

0 Komentar:

Catat Ulasan

 

FIKRAH PUTERA ISLAM Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates