Jumaat, 28 Ogos 2009
0 Di Lantai Gersang (Episod 1)
CERPEN OLEH : TRIPLE M
Satu saat itu menjadi asing sekali. Tubuhku tiba-tiba terdampar di gurun gersang yang saujana pandang. Pedih kulit tubuh tertusuk panah sang suria. Sebentar saja peluh sudah meluap di lantai kulit. Dua kakiku menggigil. Nampak tiada berdaya untuk terus berpacak di situ, meski wujudku sebentar baru. Laju aku mencari tempat teduhan. Tiada. Kalihku ke kanan, ke kiri. Kosong jua. Tiada apa yang wujud. Tiada pohon rendek, tiada teratak, tiada khemah. Tiada makhluk sebarang, tiada haiwan, tiada serangga, tiada orang seperti aku. Tempat apa ini?! Bagaimana aku boleh berada di sini? Di mana duniaku, di mana mahligaiku?! Ah, penat saja benakku berfikir.
Tiba-tiba dalam keadaan sulit begitu, menjelma seorang lelaki dari jarak jauh yang amat. Resahku hilang. Benakku lapang. Moga-moga dia orang budiman. Ingin saja aku berlari mendakapnya, terus mengucap terima kasih padanya, dan yang lebih penting membawaku pulang ke mahligaiku. Aku ingin bersantai. Aku ingin terus melupakan mimpi ngeri ini. Tempat begini, hanya manusia bodoh saja mahu tinggal di sini. Aku terus menanti. Detik demi detik, orang itu semakin mendekat. Tapi wajahnya kesamaran. Kain serban yang terlilit di kepala menjatuh ke mukanya. Aku terus mengamati. Langkah demi langkah dia menapak. Dia menghampir. Senyap!
# # #
“Kau lapar? Makan ini…” Dua orang lelaki di hadapan ku. Seorang darinya menjulang dulang perak bulat terisi makanan. Dia hulurkan padaku. Apakah ada muslihat? Benakku mula bercelaru. Dulang itu kusambut. Hidangannya nampak menyelerakan. Namun bersama perasaan yang berbaur campur, aku nekad untuk menikmatinya.
“Apa ni?! Kau nak bunuh aku ke?!” Aku memuntahkan kembali makanan yang sudah lumat dikunyah. Ia sungguh meloyakan. Tidak pernah aku merasai makanan yang begitu teruk. Dulang itu kulemparkan ke arah mereka. Bertabur segala isinya. Aneh. Mereka tidak melenting, bahkan mereka mengutip sisa-sisa makanan itu yang sudah tersalut debu dan pepasir halus. Aku semakin bingung. Siapa mereka ini?
“Pembantu! Mengapa orang ini bebas? Bukankah aku menyuruh kamu membelenggunya?”
“Tuan!” Ah, siapa pula yang muncul itu? Gaya dan bentuk tubuhnya persis orang pertama yang mendatangi aku tadi. Ya, aku pasti dialah. Rupanya anggapan ku tadi serong. Dia bukan orang budiman.. Harapan ku untuk pulang ke mahligai ku yang indah, punah. Adakah aku ditangkap? Adakah mereka ini penyamun? Untuk apa mereka menyamun aku, sedangkan aku cuma sehelai sepinggang. Aku tak punya apa-apa di waktu ini. Tetapi jika mereka menghantar aku kembali ke tempatku, aku boleh memberikan seberapa banyak pun wang yang mereka hajati. Aku ada segala-gala. Malah jika mereka mahukan mahligai sekalipun, aku sanggup membinanya.
Aku merelakan saja mereka mengikat aku di sabatang kayu besar yang terpacak di tengah-tengah gurun. Panas sungguh! Tidak cukup dengan itu mereka menyalakan pula unggun api yang marak menyala di depanku. Panasnya mengerikan, ditambahi terik mentari yang semakin menggila. Ah, siksaan apa ini?!
.....bersambung
Kategori
Karya
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 Komentar:
Catat Ulasan