Sabtu, 8 Ogos 2009

0 Agama Sebagai Pendorong Atau Pembentuk Pertembungan Tamadun


OLEH:
MUHAMMAD 'UTHMAN EL-MUHAMMADY

Kita boleh bermula dengan melihat agama (“al-din”) menerusi pengertiannya yang menyeluruh sebagaimana sifat Islam yang membawa kepada timbulnya “diri” peradaban tertentu dengan ciri-ciri yang semuanya berpaksikan tauhid atau keyakinan terhadap Keesaan Tuhan Yang Mutlak. Bermula daripada aspek yang paling batin, dengan akidah dan hidup rohaniahnya, berserta dengan nilai-nilai akhlaknya, hingga kepada peraturan-peraturan hidup yang menyeluruh, yang merangkumi seluruh aspek hidup manusia dan tamadunnya, yang membawa kepada timbulnya institusi-institusi, cara-cara pemerintahan, perkembangan ilmu sastera dan sains, dengan aspek-aspek fisikal, sosial, moral, dan rohani peradaban atau tamadun yang dibinanya. Dengan itu timbullah “peribadi” peradaban yang berupa keseluruhan yang organik itu.
Kemudian, apabila agama yang sedemikian ini – yang bermula daripada wahyu murni dari alam tinggi tanpa bentuk (formless) turun ke alam manusiawi dan menimbulkan ciri-ciri perkembangan sebagaimana di atas, dengan tamadun dan budaya tertentu, “bertemu” dengan tamadun lain secara biasa atau secara kekerasan (seperti yang berlaku dalam Perang Salib, atau peperangan yang membawa kepada penjajahan negeri-negeri Timur), maka berlakulah perubahan-perubahan pada beberapa paras yang insya’ Allah akan dibicarakan nanti.
Pertemuan itu – boleh wujud sebagai pertembungan dengan agama seperti Islam memainkan peranannya sebagai pembentuk pertembungan; ia sebagai pembentuk pertembungan kerana membentuk beberapa ciri rohani, intelektual, akhlak, budaya dan peradaban yang tersendiri. Ini berlaku daripada tuntutan agama itu sendiri, seperti tauhidnya tentang keTuhanan; akidahnya dengan cawangan-cawangannya tentang alam ghaib, kenabian, dan konsep wahyu dan tadbir Ilahi. Ia menuntut bentuk hidup rohaniah tertentu dengan keyakinan dan ajarannya; dengan nilai-nilai akhlak peribadi, kekeluargaan, masyarakat dan umat seluruhnya. Ia menuntut bentuk-bentuk kehidupan mengikut ketentuan hukumnya yang menyeluruh, serta dengan “kecapan” seni dan budayanya yang berkembang dalam acuan faham alam, ilmu, dan nilainya.
Ertinya, ia bertembung dengan apa-apa yang lain daripada tauhidnya, yang lain daripada bentuk hidup rohaninya berdasarkan tauhid itu, yang menunjukkan nilai-nilai yang lain daripada nilai-nilainya berdasarkan taqwanya – nilai-nilai benar, amanah, kerjasama, kebijaksanaannya, persaudaraannya (dengan mengambil kira pula bahawa pada paras nilai-nilai ini banyak terdapat persamaan dengan tamadun-tamadun lain), dan yang lain daripada peraturan-peraturannya dalam syariatnya yang menyeluruh itu.
Walau bagaimanapun, ajarannya tentang memberi kebebasan kepada wakil-wakil peradaban lain menjalankan kehidupan mereka dengan bebas (sebagaimana yang terbayang dalam “Perlembagaan Madinah” yang tercatat dalam Sirah Ibn Ishaq yang diulas dengan baik oleh Prof. Hamidullah) memberi ruang yang banyak untuk wujudnya hidup kejiranan antara Orang-Orang Yahudi dan Kristian dalam negeri-negeri Islam dari zaman dahulu sampai zaman sekarang. Kewujudan agama-agama lain diiktiraf dalam kehidupan peradaban Islam yang menjadi realiti sejarah yang nyata. Dengan itu, berlaku “pertembungan” dalam aspek-aspek yang tersebut dengan agama sebagai pembentuknya.
Boleh juga dinyatakan bahawa agama mendorong kepada berlakunya pertembungan itu, kerana agama seperti Islam mahukan umatnya menghayatinya dengan seikhlasnya dalam kehidupan mereka dan menonjolkan kebenaran dan kecantikan agama itu dalam hidup mereka. Dorongan ini terdapat dalam hukum Syara’ yang mewajibkan amalan-amalan tertentu seperti sembahyang dan menunaikan zakat dan menggalakkan amalan-amalan tertentu, melarang amalan-amalan tertentu dan tidak menggalakkan amalan-amalan tertentu, berserta dengan sikap yang berkaitan dengannya. Juga, dorongan ini terdapat pada tuntutan ke atas penghayatan hidup rohaniah yang berkesan dan ikhlas dengan dorongan supaya tercapai pendakian hidup rohaniah yang bermakna, misalnya sebagaimana yang terdapat pada takrif “jalan pendakian yang tinggi” (“al-‘aqabah) dalam Surah al-Balad misalnya, selain daripada tuntutan jihad. Dorongan ini juga terdapat pada kehidupan akhlak yang mulia yang merupakan satu daripada aspek-aspek asasi kedatangan agama ini ke dunia ini, sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis riwayat Abu Daud. Pada mereka yang beriman, penghayatan agama ini ialah untuk menzahirkan rahmat Ilahi kepada umat manusia sebab agama ini datang – sebagaimana Nabinya juga – sebagai “rahmat untuk seluruh alam”.

Islam di Dunia Melayu
Apabila Islam datang ke Nusantara dan berlaku “pertembungannya” dengan Dunia Melayu, maka pertemuan itu secara relatifnya berlaku dengan aman berbanding dengan apa-apa yang berlaku dalam rantau-rantau lain. Dengan itu berlakulah Islamisasi Nusantara dengan kesan-kesannya sebagaimana yang dilihat dengan sejarah. Dalam hal ini berlaku perubahan akidah kepada akidah ahli-Sunnah wal-Jamaah; perubahan kepada hidup kerohanian dengan penerimaan hidup rohaniah Islam, walaupun masih ada unsur-unsur yang selain daripadanya daripada peninggalan unsur-unsur yang sebelumnya. Juga, berlaku perubahan pada nilai-nilainya dan juga peraturan-peraturan hidupnya. Timbullah kata-kata terkenal “Hidup bersendikan adat, adat bersendikan hukum, dan hukum bersendikan kitab”. Kitab itu maksudnya ialah al-Quran dan Sunnah dan implikasi-implikasinya. Dengan itu berlakulah Islamisasi pada beberapa paras: rohani, intelektual, kemasyarakatan, bahkan tamadun dan budaya tanpa mengenepikan kewujudan unsur-unsur pinggiran yang tidak harmonis dengan faham alam, ilmu dan nilai yang baharu itu.
Kedatangan Islam membawa kepada perkembangan tamadun Melayu Islam yang berpusat di Samudera Pasai, Melaka, Aceh, Brunei, Fatani dan sebagainya. Dengan itu muncullah bahasa Melayu sebagai bahasa budaya tinggi dan bahasa bicara intelektual, bahkan kematangan bahasa ini berlaku dalam zaman Islam selain daripada kedudukannya sebagai bahasa perdagangan dan lingua franca. Tamadun Islam Melayu pula mengadakan hubungan dengan pusat-pusat peradaban Islam di Asia Barat dan Asia Selatan dan juga Afrika.

Kedatangan Barat dan Globalisasi
Kedatangan Barat yang bermula dengan perdagangan akhirnya membawa kepada penjajahan yang memberi kesan terhadap budaya dan peradaban, serta politik di rantau ini, dengan berpecahnya rantau ini mengikut “lingkungan pengaruh” (spheres of influence) bangsa-bangsa Barat. Akhirnya, dengan izin Ilahi tercapailah kemerdekaan bagi negeri-negeri Asia Tenggara selain daripada negara-negara lain di Asia.
Kemudian, pada akhir abad ke-20 timbul pula pensejagatan dengan suasana yang dikatakan “dunia tanpa sempadan”, “kampung sejagat”, “liberalisasi ekonomi”, dengan “tenaga-tenaga pasaran bermain dengan bebas” (free operation of market forces) untuk menentukan perdagangan bebas dengan implikasi-implikasinya, yang dibantu oleh ICT dengan internetnya dan pelbagai operasi yang bertalian dan berkaitan dengannya.
Ada beberapa perkara yang boleh diperhatikan. Antaranya:
• Penggunaan internet untuk menghubungkan budaya-budaya tempatan etnik, keagamaan dan kebangsaan dengan audien seluruh dunia. Hal ini membolehkan semua orang mendapat capaian untuk semua ini dan ia boleh mengambil bahagian dengan batasan-batasan tertentu – dalam kepelbagaian yang sedemikian.
• Merebaknya keseluruh dunia budaya yang dominan seperti budaya Amerika dan Barat yang disejagatkan melalui pemilikan infrastruktur dan pengeluaran, yang membolehkan penafsiran bahawa ini satu bentuk lagi penjajahan budaya atau Amerikanisasi.
• Berlakunya penyamaan – homogenization – atau “pengantarabangsaan” budaya, yang memihak secara berat sebelah kepada bangsa-bangsa maju Barat, bahasa-bahasa dan nilai-nilai mereka, dan perkara itu disertai dengan kesedaran tentang berlakunya pencairan atau penghakisan budaya tempatan atau budaya-budaya golongan minoriti.
• Dalam bidang ekonomi-politik tentang komunikasi, adanya gerakan ke arah capaian sejagat kepada teknologi maklumat dan perhubungan melintasi sempadan-sempadan negara. Matlamat capaian sejagat itu dan juga keberadaan internet di mana-mana menuntut perkiraan terhadap dua tenaga, iaitu satu daripadanya ke arah pembangunan teknologi, dan satu lagi ke arah kerajaan dan institusi-institusi ke atas perhubungan antarabangsa yang sedemikian mudah ini.
• Boleh diingatkan sebagai tambahannya, Samuel Huntington dalam The Clash of Civilizations, bahawa negara bangsa menjadi lemah sebagai entiti politik, dan menjadi pentingnya tamadun mengatasi negara bangsa (transnational civilizations).
• Bagaimana dunia semakin menjadi terbahagi kepada peradaban Timur dan Barat.
• Jati diri peradaban menuntut adanya “yang lain” yang berhadapan dengannya, maka jati diri itu diberikan takrifnya.
• Pada beliau tenaga-tenaga integrasi dunia ialah yang nyata dan menimbulkan tenaga-tenaga yang menyanggahi penegasan budaya dan kesedaran tamadun (civilizational consciousness).
• Juga padanya dalam sesetengah pengertian dunia ini ada dua, tetapi kelainan yang pusatnya ialah antara Barat sebagai tamadun yang mendominasi dan ada tamadun-tamadun yang lain di pihak lainnya yang mereka itu tidak banyak persamaannya. Ertinya dunia adalah antara Barat yang satu dan yang bukan Barat yang banyak.
• Tetapi pada beliau, negara-negara bangsa adalah dan terus akan kekal menjadi pelakon-pelakon dalam urusan antarabangsa, tetapi minat, hubungan, dan konflik akan semakin dibentuk oleh faktor-faktor budaya dan peradaban.
• Pada beliau sebenarnya dunia dalam keadaan tidak aman dan huru-hara (anarchical) penuh dengan konflik-konflik kabilah dan kebangsaan, tetapi katanya kumpulan-kumpulan yang paling membahayakan kestabilan dunia ialah yang ada antara negara-negara atau kumpulan-kumpulan daripada peradaban yang berlainan (antaranya beliau menyebut peradaban Cina dan Islam).(cf.cct.georgetown.edu/curriculum/505-98/globalization.html).
Ini merupakan antara ciri-ciri dalam pertembungan peradaban yang sedang berlaku sekarang ini. Berdasarkan hubungan ini terdengar suara-suara yang ditimbulkan dalam hubungan dengan ekonomi:
• Bagaimana perlu dipastikan supaya pensejagatan itu bukan sepenuhnya, tetapi terkawal untuk kemaslahatan negara-negara dan rakyatnya yang berkenaan;
• Kalau dibiarkan berlaku pensejagatan dengan liberalisasi ekonomi dan kebebasan tenaga-tenaga pasaran memainkan peranan dengan sepenuhnya maka syarikat-syarikat yang memerlukan pembelaan untuk maju dan berkedudukan teguh dengan bantuan-bantuan dan dokongan tidak akan boleh bertahan dan akan terhapus; demikian pula golongan-golongan tertentu dalam negara-negara yang perlu diberi pembelaan untuk menimbulkan keadilan ekonomi dan sosial akan disia-siakan dengan dibiarkan pensejagatan total itu. Oleh itu, ia perlu dibataskan dengan keperluan-keperluan dan kemaslahatan-kemaslahatan negara;
• Kalau dibiarkan pensejagatan total itu berlaku, negara tidak akan mempunyai kebebasan lagi untuk menjalankan fungsinya yang sebenarnya untuk kemaslahatan para penduduknya. Ia akan menjaga boneka di tangan syarikat-syarikat gergasi multinasional (multinational corporations). (Bandingkan ini dengan peranan khalifah atau pemimpin dalam Islam misalnya yang mesti menjaga agama, harta, maruah, nyawa, keturunan, dan akal para penduduk negeri Islam mengikut faham alam, ilmu dan nilai Islam, sebagaimana yang dihuraikan dalam fiqh dan usul al-fiqh, semuanya akan terkorban).
Sikap Yang Mesti Dibentuk Dalam Menghadapi Pensejagatan Dalam Pertembungan Tamadun Masa Kini.
Ada beberapa perkara yang diingatkan dalam perbincangan di Amerika tentang Global I”baru-baru ini (www.csis/gt2005/conf08t46.html) yang menunjukkan kepekaan mereka tentang perkara-perkara negatif yang sedang berlaku dalam peradaban mereka, yang menjadi iktibar untuk kita dalam berbicara tentang membangun tamadun. Antaranya ialah:
• Syarikat-syarikat gergasi multinasional sejumlah 40,000 banyaknya dengan syarikat-syarikat rakannya hampir sesuku bilion dengan nilai penjualannya sebanyak lima kali ganda daripada perniagaan antara negara-negara di mana mereka berada;
• Pengembangan nilai-nilai Amerika yang membawa kepada Amerikanisasi sebenarnya;
• Dalam Ujian Psikologi Manusiawi (The Test of Human Psychology) disuarakan dalam persidangan penting itu bagaimana ramai manusia mengalami ketegangan dalam hidup, kerana cabaran hidup terlalu berat akibat hidup pada zaman pensejagatan ini, dengan alienasi mereka, iaitu terpisah dan asing hidup mereka daripada apa yang sebenarnya; mereka terasa dukacita dan terasa beban information overload sehingga timbul persoalan adakah jiwa manusia yang disediakan untuk menghadapi dunia yang seratus kali kurang cabarannya boleh bertahan dalam dunia yang sedemikian kuat dan banyak cabarannya?
• Disebutkan dalam persidangan itu Pessimism Syndrome, iaitu penyakit pessimis, iaitu merasa manusia lebih buruk dan teruk daripada keadaan sebenarnya, dengan itu timbul rasa putus harap dan hidup tidak bermakna;
• Disebutkan tentang penghakisan nilai-nilai pokok tentang kebaikan, kebenaran, kesetiaan dan seterusnya;
• Disebutkan bagaimana manusia tertarik kepada aliran-aliran kerohanian yang ganjil-ganjil;
• Dinyatakan bagaimana manusia hilang tempat berpijak. Dinyatakan (suasana hidup sekarang) seems to remove from our lives any kind of anchoring – “nampaknya sedang membuang dari hidup kita ini semua jenis rasa berakar umbi kepada apa-apa:
• Disebutkan tentang techo-ethos iaitu hidup yang terlampau sangat dikuasai oleh teknologi yang merosakkan dimensi manusiawi dalam hidup ini.

Beberapa Perkara Pokok dalam Menghadapi Pertembungan Tamadun dan Membina Tamadun Melayu di Nusantara:
Sebagaimana yang telah saya suarakan dalam ceramah saya lebih kurang dua tahun lalu yang bertajuk “Memeriksa Kembali Konsep peradaban Dalam Membina Negara-Bangsa Dalam Menghadapi Alaf Baru” - saya ingin menyebut kembali beberapa perkara pada bahagian akhir ceramah tersebut. Antaranya:
• Berfikir tentang peradaban dan membinanya di kalangan kita sekarang, hendaklah kita meyakini tentang hakikat ia mesti berpaksikan beberapa faktor pusat (core factors) dalam sejarah: iaitu berasaskan bangsa Melayu yang bersatu padu dalam pegangan Islam dengan ajaran dan amalan Ahli-Sunnah wal-Jamaah dengan panduan faham alam, faham ilmu dan faham nilainya serta menangkis apa-apa yang bercanggah dengannya dari Timur atau Barat (nisbah bagi Muslimin).
• Berpaksikan hidup kerohanian dan akhlak Islam yang tidak berbelah bagi yang menjamin kebenaran, keselamatan dan kesejahteraan hakiki, serta perpaduan yang timbul daripadanya.
• Berpaksikan hidup mengikut aturan-aturan syara’ dalam hubungan dengan Tuhan, keluarga, hidup kejiranan, dan kemasyarakatan serta kebangsaan.
• Berpaksikan ketuanan Melayu Islam sebagai pihak yang menentukan dalam suasana siasah negara, yang berkembang dalam rantau Asean, dengan kerjasama serantau yang erat, dalam hubungan antarabangsa, selain daripada tiap-tiap negara menjaga kepentingannya masing-masing.
• Berpaksikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara Malaysia dan negara-negara lain yang berkenaan dengan rakyatnya berkemampuan dalam bahasa-bahasa lain seperti Inggeris untuk menjadi bahasa ilmu pengetahuan dan hubungan antarabangsa, yang mereka itu saling kenal mengenal budaya antara satu sama lain, dengan menjaga keharmonian, dan kerjasama dalam sebuah negara seperti “umat yang satu” dalam erti golongan yang hidup dalam sebuah masyarakat – sebagaimana yang disebut oleh Ibn Ishaq rh dalam hubungan dengan para penduduk Kota Madinah yang terdiri daripada umat pelbagai agama.
• Dengan Peradaban Islam sebagai asas membangun peradaban di negara ini berserta memberi ruang kepada perkembangan peradaban lain yang mengayakannya dalam rangka keberadaan pelbagai budaya dalam negara. Bahkan, mereka yang Muslim dan yang bukan Muslim perlu bergabung sebagai mewakili peradaban Asia untuk mewujudkan perpaduan demi untuk menghadapi pensejagatan demi untuk kemaslahatan negara dan orang ramai serta kehidupan mereka. Tanpa kerjasama antara semua ahli peradaban Asia, pensejagatan sukar dihadapi dengan berkesan.
• Islam dalam ertinya yang luas dengan mengambil kira spektrum yang mencakupi intelektual, rohani, moral, peribadi, kekeluargaan, kemasyarakatan, dan siasah serta dengan sains dan teknologi terkini dalam memenuhkan keperluan negara sebenarnya.
• Peradaban yang di dalamnya ada perasaan kebangsaan dalam konteks yang diharuskan oleh Islam dengan mengambil kira kewujudannya dalam umat yang sarwajagat. Rasa kebangsaan yang dikehendaki itu ialah sebagaimana yang dihuraikan oleh Ibn Khaldun rh dalam al-Muqaddimahnya dalam memberi huraian yang sangat baik tentang al’-Asabiah dalam ertinya yang menyeluruh dan meyakinkan. Dengan itu teks beliau itu semestinya perlu dijadikan teks yang memberi wacana agung untuk rantau ini selain daripada wacana-wacana Sunni lainnya. Dan, adalah satu perkara berkebetulan yang menakjubkan bahawa konsep ‘asabiah ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah adalah bukan etnik tetapi yang bersifat budaya, sebagaimana juga konsep Melayu yang ada dalam perlembagaan Malaysia, ia bersifat budaya-bahkan juga bersifat peradaban dan bukan etnik. Maka huraian beliau tentang keperluan tamadun kepada semangat perpaduan bangsa itu merupakan satu hujah yang kuat untuk kita membina kesedaran ini di kalangan kita. Bahkan pada ibn Khaldun rh, peradaban besar tidak boleh dibina tanpa ‘asabiyah yang positif sedemikian itu.
• Dengan ini wacana agung Sunni yang memberi kerangka intelektual, rohani dan moral Nusantara Muslim ialah: akidah Ahli-Sunnah wal-Jamaah, fiqh mengikut [i]panduan Imam Syafi’I rd, dengan tambahan-tambahan seperlunya, ajaran rohani dan akhlak berpandukan Imam al-Ghazali rd dengan tambahan-tambahan seperlunya, dan akhirnya untuk pemerkasaan budaya dan tamadun panduan diambil daripada al-Muqaddimah karangan Ibn Khaldun rh dengan tambahan-tambahan daripada perkembangan baru di mana diperlukan.
• Peradaban itu ialah peradaban yang membangunkan ekonomi yang adil, sama rata dan saksama dengan agihan hartanya yang wajar, tanpa unsur penindasan dan penzaliman.
• Peradaban yang menerima aspek-aspek positif dari Barat dengan sains dan teknologinya, termasuk ITC-nya dan menolak apa-apa yang negatif dari segi Islam, dan mereka yang bukan Islam mengambil peradaban mereka sebagai panduan dalam aspek-aspek yang berkaitan. Ini semua adalah ketentuan-ketentuan yang didorongkan oleh Islam sebagai agama Ilahi dan ia membentuk kesedaran yang demikian dan menentukan keperluan perjuangan bagi merealisasikannya.

Wallahu a’lam.

0 Komentar:

Catat Ulasan

 

FIKRAH PUTERA ISLAM Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates