Ahad, 8 November 2009

0 Lukisan Cinta (Episod 1)


Cerpen Oleh : Triple M

Cintanya dahulu pernah menjadi bicara teman-teman. Mereka idam-idamkan cinta seperti itu. Ya, cinta yang berputik di alam persekolahan tentunya mambangkit segala rasa syahdu, membayangi fantasi yang serba indah. Dahulu dia menatang-natang rasa hati itu dengan amat waspada supaya tidak tercicir di merata-rata. Ini adalah soal hati. Sesuatu yang tidak wajar diperlakukan ibarat barang mainan, sesuatu yang tidak harus diperlekeh dan diinjak-injak di tumit kaki. Dia amat menyayangi cintanya. Waktu itu dia baru mengenal apa ertinya C, I, N, T, A. Kira di usia mentah itu dia perlu serius menggendong ilmu di sekolah, tetapi dia tewas diamuk badai cinta.

Kini dia ingin menghayati cintanya lagi. Dia ingin berenang di laut luas dipenuhi bunga-bunga cinta yang mengharum. Dia ingin terus dibelai oleh tulus perasaan kasihnya yang syahdu itu. Dia mengharapkan sesuatu yang indah menantinya di hadapan. Sekaligus takkan membenarkan cintanya dipermain-mainkan lagi.

Kaki Zuhri melangkahi medan itu. Buat pertama kali dia menghirup udara di situ. Ah, nyaman benar. Sesekali dia dimanjai angin yang begitu ikhlas. Suka benar dia merasai nikmat begini. Mengekori di belakangnya rafik yang bersungguh benar mengajaknya bertandang di situ. Alwi juga sukakan nikmat itu, tetapi dia tidak terlampau mempamerkannya. Kerana di bumi itulah dia membesar, menjalani hidup sebagai budak kampung. Sebuah rumah yang dihala mereka tersergam indah seolah-olah sebuah tinggalan warisan Melayu yang amat berharga. Rumah sepenuhnya kayu itu benar-benar sebuah rumah Melayu yang asli. Bagi orang yang pertama kali menatapinya seperti Zuhri, pasti terpukau dek keindahan seni bina dan ukiran motif di dinding kayu. “Wah!” Itulah ungkapan awal yang terpacul dari mulut Zuhri. Langkahnya dimatikan. Dia cuba menikmati keindahan rumah itu dari jauh. Sesekali teringin saja dia berlari laju terus mendakap rumah itu.

“Kita awal sangat. Tak mengapa. Biar aku bawa kau ke satu tempat.” Ujar Alwi. Beg sandang masing-masing ditinggalkan di bawah pohon ciku yang berbuah jarang-jarang. Alwi memandui temannya itu mencelah semak-samun di balik pokok-pokok getah yang masih gagah. Sesekali reranting patah dipijak meriuhkan suasana yang agak sepi. Zuhri kerap juga menghirup udara yang segar itu kerana peluang seperti ini tak mungkin datang lagi. Sampai di tempat itu, Alwi tersenyum lebar. Puas. Mungkin temannya mengerti mengapa Alwi begitu, setelah memandang sebatang parit luas mengalir laju airnya. Hitam tetapi jernih. Zuhri cuba menyeluk jarinya ke dalam parit. Sepantas itu dia menarik kembali tangannya. Dingin! Alwi tertawa melihat gelagat Zuhri. Segenap kawasan itu dinaungi dedaun yang bertindan-tindan. Meliuk-liuk disapu angin pagi, lantas menjadikan ruangan tempat mereka berdiri redup dan nyaman. Ada sedikit cahaya suria yang berhasil menyusupi celah-celah dedaun yang bertindan-tindan itu. Zuhri menarik nafas panjang.

“Hiruk-pikuk di kota sering membawa aku ke sini,” cetus Alwi.
“Mungkin juga aku akan jatuh cinta pada tempat ini.” Zuhri pula bersuara.
“Ya. Kerana cintalah aku masih mahu ke mari.”
“Maksud kau?” Zuhri bertanya, menyedari ada sesuatu yang tersirat di balik kata-kata itu.

...bersambung

0 Komentar:

Catat Ulasan

 

FIKRAH PUTERA ISLAM Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates