Rabu, 10 Mac 2010
0 Kasih Najwa (Episod 4)
Cerpen Oleh : Triple M
“Mak, esok Jua ingat nak ke KL.”
Mak Sailah kaget mendengar kata-kata itu. Dilepaskan kain yang sedang dilipatnya. Dia memberi isyarat supaya anak sulongnya itu datang kepadanya. Najwa pun duduk di sisi ibu itu.
“Kenapa? Kau nak kerja?”
Teka Mak Sailah. Najwa mengangguk. Mukanya tunduk.
“Jauh tu! Dekat kampung ni pun ada kilang kalau nak kerja.”
“Jua nak cuba nasib di sana. Mana tahu gaji lebih besar. Boleh bantu mak.”
Jawabnya.
“Kita masih boleh hidup. Adik-adik kau pun ada biasiswa masing-masing. Kita masih boleh terus jual nasi lemak dan kuih.”
Mak Sailah tak letih memujuk.
“Jua dah bosan di kampung ni. Dah lama Jua macam ni. Jua pun ada cita-cita biarpun tak dapat masuk universiti macam adik-adik.”
“Mak sedar dulu mak silap. Kau sepatutnya sambung belajar, lepas tu dapat kerja yang bagus.”
Mak Sailah mengesat air matanya yang meleleh dengan bajunya. Bahunya terhinjut-hinjut. Najwa cuba menenangkannya.
“Jangan cakap macam tu, mak. Selama ni Jua ikhlas bantu keluarga kita. Jua hanya nak cuba hidup berdikari.”
Akhirnya dia berjaya memujuk ibunya. Hasrat Najwa hendak pergi ke Kuala Lumpur termakbul jua. Dia tahu ibunya berat hati hendak melepaskannya. Tetapi dia harus keluar dari kampung itu. Dia tidak tahu bila dia akan kembali lagi. Dia merasa dirinya tidak dihargai. Walaupun ibunya kelihatan bersedih dan berat hati, tetapi Najwa tidak fikirkan itu. Dia masih makan hati dengan tindakan ibunya yang terlampau menyayangi Najla dan Madiha. Dia juga tidak risau membiarkan ibunya tinggal seorang diri. Najwa tidak fikir itu semua. Dia mahu melarikan diri dari konflik yang mengacau jiwanya. Untuk apa lagi dia di situ andai dia tidak mendapat kasih sayang yang selayaknya dari seorang ibu.
Di serambi rumah, Najwa merenung sang rembulan yang terang. Air matanya menitis. Dia cuba menahan esakan supaya tak didengari oleh ibunya. Najwa berasa menyesal atas apa yang dilakukannya sebentar tadi. Dia tidak pernah melawan kata-kata ibunya, apalagi menghancurkan hatinya. Dua tapak tangan ditadah.
“Ya Allah, ampunilah aku. Tunjukkan aku jalan yang lurus. Pimpinlah aku supaya selalu berada dalam lindungan dan petunjuk-Mu, ya Allah.”
Najwa berada dalam kekeliruan. Dia tidak sedar apa yang dilakukannya. Sewaktu berbicara dengan ibunya tadi, dia seolah-olah bukan dirinya. Ya, iblis telah berjaya mengganggu jiwanya. Dalam sekelip mata saja dia mampu melupakan semua jasa dan pengorbanan wanita tua itu. Mak Sailah berusaha mati-matian agar semua anak-anaknya berjaya meskipun ketiadaan suami untuk membantu. Najwa melupakan semua itu tadi.
Tetapi kini dia mulai sedar. Dia tidak harus bersikap demikian. Namun apa yang sudah berlaku tidak dapat diundur lagi. Di sebalik rasa kesal itu, dia masih terasa dirinya disisihkan. Dia tidak mengharapkan apa-apa. Hanya dia berharap ibunya dapat mencurah kasih sayang secara adil terhadap mereka tiga beradik. Peristiwa sehari sebelum Hari Raya Korban yang lalu masih segar di ingatan. Mulai hari itu, Najwa berasa dirinya tidak berharga lagi buat ibunya. Baiklah, dia telah pun bernekad. Esok dia akan tetap ke Kuala Lumpur.
“Biar apa pun berlaku, aku takkan pulang lagi.”
...bersambung
Kategori
Karya
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 Komentar:
Catat Ulasan