Rabu, 9 Disember 2009

0 Jenayah Murtad : Usah Terlalu Rigid Menghukum


Oleh: Mohamad Syafiqe bin Abdul Rahim Presiden Lajnah Jabatan Syariah & Undang-Undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Sejurus selepas keputusan penghakiman kes Azalina Jailani @ Lina Joy, kedengaran beberapa rakan penulis berbisik sesama mereka. Antara lain mereka mengatakan sekarang keputusan penghakiman telah diketahui bahawa secara jelas Azalina Jailani tidak boleh menggugurkan perkataan Islam pada kad pengenalannya. Jelas, di aperlu murtad atau tidak, akan dibunuh.

Penulis bertanya kepada salah seorang rakan penulis, “ Jadi sekarang apa tindakan yang perlu kita buat?” Beliau menjawab “ Nak buat apa lagi. Dah lama dah dia murtad. Baik bunuh je…”. Dalam hati penulis menyatakan kekesalan kerana masih lagi ada segelintir pihak yang sering melulu dalam menghukum seseorang. Sesungguhnya mereka yang berpendirian sedemikian sememangnya mempunyai mentaliti yang cetek dan gagal berfikir secara lebih luas. Dalam erti kata lain, mereka ini merupakan golongan yang rigid dalam menghukum.

Sememangnya jenayah murtad merupakan jenayah yang amat berat di dalam Islam namun sebelum kita menghukum adalah baiknya sekiranya kita mengenal pasti terlebih dahulu beberapa perkara yang lebih utama. Ini kerana meskipun umum secara peribadi berpandangan hukuman bagi orang yang murtad adalah dibunuh, namun dalam membicarakan perkara ini, kita perlu melihat lebih jauh kerana terdapat banyak pandangan ulama berkaitan hal ini.


TAKRIFAN

Bagi memahami secara lebih terperinci berkaitan murtad, penulis akan membincangkan secara ringkas beberapa perkara penting berkaitan jenayah murtad. Ini adalah hasil daripada kajian penulis berkaitan jenayah murtad menurut perspektif Islam dan juga perundangan di Malaysia. Namun bagi penulisan ini, perbincangan akan lebih tertumpu dari sudut fiqh Islam.

Murtad menurut bahasa Arab berasal daripada perkataan riddah. Dari segi bahasa, riddah bermakna kembali daripada sesuatu kepada selainnya [al- Fayruz Abadi, al-Qamus al-Muhit, Dar Ihya al-Turath al-Arabi, Beirut, t.th, vol. 1, hal. 570]. Dari segi istilahnya pula, riddah ditakrifkan dengan pelbagai takrifan. Antaranya ialah:

1. Menurut Imam al-Husni: “Keluar daripada Islam dan kembali kepada kufur serta membebaskan diri daripada Islam.”[al-Husni, Kifayat al-Akhyar Fi Hil Ghayat al-Ikhtisar, Dar al-Khayr, Beirut, 1995/1416h., jil. 2, hal. 493 ]

2. Menurut al-Shaykh Abd al-Qadir Awdah: “Meninggalkan agama Islam dan keluar daripadanya setelah menganutnya”[‘Awdah, al-Tashric al-Jina’I al-Islami Muqarinan Bi al-Qanun al-Wad’I, Muassasah al-Risalah, Beirut, 1994/1415h., jil. 1, hal. 661].

3. Menurut Dr Wahbah Zuhaily: “Berpaling daripada Islam dan kembali kepada kufur, sama ada dengan niat atau perbuatan yang mengkafirkan atau perkataan dan sama ada diucapkan dengan gurauan atau penentangan atau ‘itiqad”.[ al Zuhaily, al-Fikih al-Islami Wa Adillatuhu, Dar al-Fikr, Dimashq, 1989/1409h., jil. 6, hal. 183].

4. Menurut Sayid Sabiq: “ Kembalinya orang Islam yang berakal dan dewasa ke kekafiran dengan kehendaknya sendiri tanpa ada paksaan daripada orang lain. Baik yang kembali itu orang lelaki mahupun orang perempuan” [Sayid Sabiq, Fikih Sunnah, Victoria Agencie, Kuala Lumpur, 1990, jil. 9, hal. 159 ]

Ini merupakan antara takrifan yang telah dikemukakan oleh para ilmuwan Islam berkaitan murtad. Oleh itu seseorang itu adalah dikira murtad disebabkan kepercayaan (murtad i’tiqadi), dengan perkataan (murtad qawli) dan dengan perbuatan (murtad fi’li).


HUKUMAN

Gejala murtad yang dilakukan oleh seseorang itu perlu ditentang dan dihapuskan supaya ianya tidak merebak kepada orang lain yang seterusnya menyebabkan murtad secara ramai. [Yusuf Qardawi (1996), Jarimah al-Riddah Wa U’qubah al-Murtad Fi Daui al-Quran Wa al-Sunnah, Kaherah: Maktabah Wahbah, hal. 46].

Terdapat dua jenis hukuman dalam Islam;hukuman di dunia dan hukuman di akhirat. Hukuman murtad di akhirat ialah azab dan kekal di dalam neraka. Ini adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
“Dan sesiapa antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam),lalu dia mati sedang dia tetap kafir,maka orang-orang yang demikian,rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)”[Surah al-Baqarah: 217]

Manakala hukuman ke atas orang murtad di dunia, jumhur fuqaha yang terdiri daripada Imam Maliki, Shafie dan Hanbali berpendapat bahawa hukuman bunuh ke atas orang-orang Islam yang telah murtad dan enggan bertaubat, wajib dikenakan kepada semua penjenayah murtad samaada lelaki atau perempuan,tua atau muda tanpa perbezaan. Hukuman ini adalah disepakati oleh fuqaha dengan bersandarkan kepada dalil-dalil berikut:

i) Sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud “Sesiapa yang menukar agamanya,maka hendaklah dibunuh”[Imam Bukhari]. Maksud “Sesiapa yang menukar agamanya” ialah orang yang menukar agama Islam kepada kafir.

ii) Sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud “Daripada ‘Abd Allah bin Mas’ud r.a berkata:Rasullulah bersabda : Tidak dihalalkan darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya aku utusan Allah kecuali salah satu daripada tiga orang : orang yang berkahwin berzina,hutang nyawa dengan nyawa dan orang yang meninggalkan agamanya(Islam) serta keluar dari jemaah (umat Islam)” [al-Tirmizi]

Jelas, perlaksanaan hukuman bunuh bagi pesalah murtad adalah jelas meskipun terdapat banyak pendapat yang berbeza. Ini kerana ada pendapat yang membezakan hukuman mereka yang murtad berdasarkan jantina. Pendapat pertama ialah Jumhur Ulama’ yang terdiri daripada mazhab Hanbali, Shafie dan Ja’fariyyah berpendapat bahawa muslimah yang murtad juga wajib dibunuh sebagai mana hukuman ke atas muslim yang murtad.

Pendapat kedua adalah daripada Mazhab Hanafi yang berpendapat bahawa perempuan yang murtad tidak dihalalkan darahnya dan tidak dibunuh kerana murtad. Tetapi dia wajib dipenjara dan dikeluarkan daripada penjara setiap hari dan diminta bertaubat dan kembali kepada Islam. Sekiranya dia kembali menganut Islam maka bebaslah dia. Tetapi jika tetap menolak Islam maka dia dipenjara semula. Beginilah hukumannya sehingga dia menganut Islam atau mati. [Sayid Sabiq, Fikih Sunnah, Victoria Agencie, Kuala Lumpur, 1990, jil. 9, hal. 166 ].

HUKUMAN TAKZIR?

Meskipun terdapat beberapa pendapat yang berbeza tentang hukuman murtad, namun secara umumnya ulama’ bersepakat bahawa hukuman bagi mereka yang murtad hendaklah dibunuh. Walau bagaimanapun, persoalan utama di sini ialah adakah mungkin dibolehkan hukuman lain seperti takzir bagi dikenakan ke atas pesalah murtad?

Penulis berpandangan bahawa hukuman bunuh adalah jelas secara qatie bagi mereka yang murtad. Namun, hukuman bunuh tersebut merupakan satu bentuk hukuman yang terakhir sekiranya orang yang murtad itu masih enggan untuk bertaubat. Sewajarnya sebelum hukuman tersebut dilaksanakan, ianya perlulah melalui hukuman takzir terlebih dahulu. Bukan niat penulis untuk menyatakan hukuman takzir lebih sesuai berbanding hukuman hadd iaitu bunuh namun konsep ‘takzir’ yang dimaksudkan oleh penulis di sini ialah satu bentuk hukuman yang ditentukan oleh mahkamah bagi pesalah murtad sebelum diisytiharkan boleh dibunuh.

Ini meliputi hukuman seperti ditahan untuk di minta bertaubat atau diminta membayar denda atau dirampas harta benda,pemulauan dan sebarang bentuk hukuman berbentuk takzir yang sesuai dikenakan kepada pesalah murtad sehinggalah bertaubat. Mohamed S. El-Awa dalam buku beliau menjelaskan bahawa jenis-jenis hukuman takzir adalah seperti teguran (al-Wa’z), teguran tegas (al-Tawbikh), ancaman (al-Tahdid),pemulauan (al-Hajr), pendedahan di khalayak ramai (al-Tasyhir), denda dan merampas harta benda (al-Gharamah wal-Musadarah), penjara (al-habs) dan sebat (al-Jald). [Mohamed S. El-Awa (1999), Hukuman Dalam Undang-undang Islam:Satu Kajian Perbandingan, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa Pustaka, hal. 150-165]

Kesemua jenis hukuman takzir ini boleh disesuaikan bagi pesalah murtad bagi membolehkan mereka bertaubat sebelum dibunuh. Perlu diingat bahawa hukuman bunuh adalah merupakan hukuman maksimum bagi pesalah murtad dan sebaik-baiknya setiap pesalah murtad diberikan masa dengan dikenakan hukuman takzir terlebih dahulu sehinggalah dia bertaubat. Hukuman bunuh adalah dianggap sebagai hukuman terakhir.

Jika masih enggan maka perlu diselesaikan segala permasalahan dan implikasi sebelum diisytihar murtad seperti pembahagian harta benda, penjagaan anak dan sebagainya. Maka selepas selesai semua perkara ini maka barulah hukuman bunuh dilaksanakan. Dan pelaksanaan hukuman takzir dan bunuh ini adalah meliputi semua jantina tanpa dibezakan antara lelaki dan perempuan termasuklah bagi kanak-kanak.

Penulis merasakan bahawa kaedah penetapan hukuman seperti ini adalah lebih sesuai. Ini kerana ia adalah lebih teratur dan mengikut prosedur serta tidak terlalu tergesa-gesa dalam menghukum. Perlu diingat berkemungkinan peluang untuk orang yang murtad untuk bertaubat tetap ada. Maka adalah sia-sia sekiranya kita terus menghukum bunuh tanpa sebarang bentuk usaha bagi menyedarkannya untuk kembali kepada Islam.


KERELEVENAN

Adakah hukuman bunuh bagi mereka yang murtad releven dan sesuai diamalkan di Malaysia kini? Meskipun tiada hukuman bunuh bagi pemurtad dikenakan di Malaysia, namun ia memerlukan perbincangan yang luas kerana ia melibatkan kepentingan umum dan untuk memelihara maslahah yang lebih utama. Mungkin pelaksanaannya boleh dilaksanakan tetapi perlu dibuat secara berhati-hati memandangkan Malaysia sebagai sebuah negara didiami pelbagai kaum dan agama.

Sedangkan kes Azalina Jailani sudah menimbulkan pelbagai konflik apatah lagi kita ingin melaksanakan hukuman bunuh bagi pesalah murtad di Malaysia. Dalam hal ini, prinsip beransur-ansur (tadarruj) boleh digunapakai dalam melaksanakan sesuatu perkara agar masyarakat tidak terkejut dengan sesuatu perubahan yang berlaku secara tiba-tiba.

Jika dikaji peruntukan keluar Islam di Malaysia, meskipun tiada hukuman bunuh dikenakan bagi pesalah murtad, namun pesalah murtad masih lagi dikenakan hukuman berbentuk takzir bagi membolehkan mereka untuk bertaubat. Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 secara jelas memperincikan bahawa merek ayang ingin keluar Islam hendaklah ditahan di pusat pemulihan akidah dan diberikan sesi runding sehinggalah dia bertaubat. Malah proses pemulihan tersebut boleh mencapai tempoh sehingga satu tahun dan lebih.[Lihat Seksyen 119(4)(5)(6)(7)(8)]

Peruntukan sebegini menunjukkan bahawa betapa meskipun hukuman bunuh tidak dilaksanakan, namun hukuman berbentuk takzir masih perlu dilaksanakan kerana ia boleh membantu pesalah murtad itu untuk bertaubat. Malah pelaksanaan hukuman takzir perlulah diketatkan supaya membolehkan seseorang yang cuba murtad itu betul-betul insaf dan bertaubat. Seksyen 119(11) seterusnya menjelaskan sekiranya tiada harapan untuk bertaubat maka hendaklah diselesaikan terlebih dahulu hal-hal seperti pembubaran perkahwinannya, harta sepencarian, hak perwalian, harta pusaka dan hadhanah.
MURTAD RINGAN DAN MURTAD BERAT

Ibn Taymiyah menjelaskan bahawa dalam persoalan pesalah murtad, beliau membahagikan kepada dua jenis:

1. Seseorang yang murtad dengan tidak menzahirkan kemurtadannya dan tidak menimbulkan fitnah di kalangan masyarakat Islam, hendaklah dilepaskan daripada hukuman bunuh apabila dia bertaubat.

2. Murtad yang tidak diluputkan hukuman bunuh ke atasnya walaupun dia telah bertaubat. Murtad seperti ini bukan hanya sekadar murtad tetapi dia telah melakukan sesuatu yang melampaui batas seperti menghina Allah atau Rasul-Nya.Ataupun dia menambah murtadnya itu dengan jenayah yang lain seperti membunuh orang Muslim atau mencuri harta dan sebagainya.[al Sorim al-Maslul, hal. 367-371]

Pendapat ini turut disokong oleh Yusof Qardawi dengan menjelaskan bahawa jenis murtad boleh diklasifikasikan kepada jenayah murtad ringan dan berat. [Yusuf Qardawi (1996), Jarimah al-Riddah Wa U’qubah al-Murtad Fi Daui al-Quran Wa al-Sunnah, Kaherah: Maktabah Wahbah, hal. 52]. Konsepnya adalah sama seperti pandangan Ibn Taymiyah cuba beliau menjelaskan bahawa orang murtad yang menyeru orang lain untuk murtad sepertinya bukan sahaja kufur dengan Islam malah ia memerangi Islam dan umat Islam.

Jadi ia termasuk dalam golongan orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan hukuman bunuh tetap dikenakan meskipun dia bertaubat. Persoalannya kini adalah samaada kita hendak berpegang kepada pandangan yang menyatakan hukuman pesalah murtad adalah bunuh ataupun berpendirian dengan mengklasifikasikan hukuman murtad kepada dua bentuk seperti dijelaskan oleh Ibn Taymiyyah dan dipersetujui leh Dr Yusuf Qardawi. Jelas, terdapat banyak pandangan berkaitan hukuman murtad.

Apa yang penting ialah kita mampu untuk menyelaraskan setiap pandangan tersebut sesuai dengan keadaan semasa dan setempat. Dalam hal ini, adalah sukar bagi kita di Malaysia untuk melaksanakan hukuman bunuh. Alasannya adalah seperti dijelaskan oleh penulis sebelum ini. Namun perlu diingat bahawa sebelum kita menghukum suatu pihak, kita perlulah berfikiran secara lebih dinamik tanpa mengikut emosi.

Dalam kes Azalina Jailani, bagaimana kita ingin melaksanakan hukuman bunuh ke atasnya sedangkan tiada satu pun usaha dakwah atau untuk mengajak beliau kembali ke agama Islam secara konsisten dilaksanakan. Malah di mana beliau berada kini pun kita gagal kesan. Adakah cukup sekadar kita menghantar ibunya ke Mekah supaya berdoa di hadapan Kaabah agar anaknya kembali kepada Islam sedangkan tiada usaha dan ikhtiar berkesan dilaksanakan.

Usah bercakap tentang melaksanakan hukuman bunuh sedangkan usaha dakwah dan menyedarkan pihak-pihak terlibat pun kita gagal laksanakan. Malah semasa penulis berada di Palace of Justice bagi menunggu keputusan kes Azalina Jailani, penulis menerima sms menyatakan bahawa sekiranya penulis terserempak dengan Azalina Jailani, disuruhnya penulis meludah mukanya. Adakah ini dikatakan usaha kita untuk menyedarkan mereka yang telah sesat?

Memang benar Azlina Jailani telah murtad namun sejauh mana usaha kita untuk membantunya kembali kepada Islam. Biarlah usaha kita sekecil mana sekalipun asalkan ia masih lagi merupakan satu usaha kita bagi membantu mengembalikan beliau kepada Islam. Malah kerana itulah juga sejak awal penulisan lagi penulis tidak menggelar beliau dengan Lina Joy sebaliknya dengan nama asalnya iaitu Azalina Jailani. Mungkin dengan cara ini membuktikan betapa kita tidak ingin beliau terus berada dalam kemurtadan dengan mengguna nama Lina Joy sebaliknya kembali kepada Islam dengan nama asal Azalina Jailani !!!


Sumber : fiqhmalaysia.com


Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.

0 Komentar:

Catat Ulasan

 

FIKRAH PUTERA ISLAM Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates