Selasa, 19 Februari 2013

1 Perang Mu'tah: Punca dan Iktibar


Oleh: Mohd Muslim Mahmod

1. PENDAHULUAN

Objektif utama kertas kerja kami adalah untuk membincangkan berkenaan satu peristiwa penting dalam sirah  iaitu perang Mu’tah. Kami juga cuba menganalisis tentang punca berlakunya perang tersebut, kesan yang timbul selepasnya serta beberapa kajian lain. Seperti yang kita sedia maklum, dalam sirah telah jelas apa yang dimaksudkan dengan ghazwah (perang). Ghazwah ialah siri gerakan tentera yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Perang Mu’tah ini dianggap oleh sebahagian ulama’ hanya sebagai syariah dalam menyebarkan Islam. Namun ada juga yang mengatakan ia sebagai ghazwah (perang) memandangkan ramainya bilangan tentera yang terlibat.

1.1 Definisi dan latar belakang

Mu’tah ialah nama bagi satu kampung yang bersempadan dengan negeri Syam dan kini tempat itu telah ditukar dengan nama Krik. Peristiwa peperangan Mu’tah seperti yang tercatat dalam sejarah berlaku pada bulan Jamadi al-Awwal tahun kelapan Hijrah bersamaan 629 Masihi.


1.2 Faktor-faktor berlakunya perang Mu’tah

Punca berlakunya peperangan ini bermula apabila sepasukan kecil iaitu seramai lima belas orang yang dipimpin oleh Kacab al-Ghafari telah dibunuh oleh suku Qudacah di Zat cAtlah bersempadan dengan Syam. Menurut riwayat lain pula mengatakan ia berpunca dari pembunuhan al-Harith ibn cUmair al-cAzdi, iaitu utusan Rasulullah yang dihantar kepada raja Basrah. Pembunuhan tersebut dilakukan oleh seorang Badwi dari suku Ghassan atas arahan Hercules (Harqal). Setelah berita kematian al-Harith itu sampai kepada Rasulullah s.a.w., maka Baginda menyeru kaum muslimin mengambil langkah untuk menyerang tentera Rom di Syam. Begitu cepat sekali terkumpulnya bala tentera muslimin sehingga mencecah bilangan tiga ribu orang pejuang  yang betul-betul bersedia untuk menyerang tentera Rom.

1.3 Pesanan Rasulullah terhadap tentera muslimin

Perkara utama yang diperkatakan oleh Rasulullah s.aw. ialah mengenai perlantikan ketua (amir) angkatan tentera muslimin dalam peperangan tersebut. Ketua angkatan pertama yang dilantik ialah Zayid bin Harithah. Sekiranya Zayid bin Harithah gugur maka Jaafar bin Abi Talib akan menggantikannya. Seterusnya jika beliau juga gugur maka akan digantikan oleh Abdullah bin Rawahah. Manakala pesanan lain yang dikemukakan oleh Rasulullah s.a.w. ialah berkenaan dengan etika atau syarat-syarat yang patut dipatuhi oleh setiap tentera muslimin sepanjang peperangan berlangsung, iaitu :
Pertama : jangan membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua atau orang buta
Kedua    : jangan membinasakan tempat tinggal dan rumah ibadat.
Ketiga    : jangan merosakkan pohon dan tumbuh-tumbuhan.
Sebelum mereka berangkat, Rasulullah s.a.w. sempat mendoakan pemergian mereka supaya selamat dan dilindungi Allah s.w.t..


2. STRATEGI PEPERANGAN 

Strategi ialah rancangan yang teratur dengan mengambil kira pelbagai faktor demi mencapai matlamat atau kejayaan. Apa sahaja matlamat yang ingin dicapai perlu bermula dengan mengatur sterategi yang baik. Ia perlu dirancang dengan teliti dan sistematik supaya matlamat yang diingini menjadi kenyataan. Perancangan strategi adalah aspek yang tidak dapat dipisahkan daripada agenda kehidupan manusia. Sejarah hidup Rasulullah s.a.w. telah membuktikan bahawa baginda sentiasa merancang strategi di dalam beberapa siri peperangan yang telah dilaluinya 

2.1 Strategi tentera muslimin

Sebagai seorang pemimpin pasukan, Zayid bin Harithah telah merancang untuk menyerang musuh secara terus seperti yang biasa dilakukan dalam siri-siri  peperangan sebelum ini. Dengan demikian kemenangan akan mudah diperolehi. Mereka memulakan perjalanan dengan menuju ke Macan. Setelah tiba di sana mereka mendapat tahu tentang persiapan dan rancangan pihak musuh yang telah bersedia menghadapi mereka. Akhirnya mereka mengubah rancangan dan bermalam selama dua hari di Macan bagi merancang strategi baru. Kebanyakan tentera kelihatan tidak bersemangat. Ada yang mencadangkan agar menghantar surat kepada Rasulullah s.a.w. untuk meminta bantuan angkatan perang. Namun Abdullah bin Rawahah tidak bersetuju dan  cuba mengembalikan semula semangat mereka dengan berkata:
“Wahai orang-orang Muslimin, demi Allah apa yang hendak ditakutkan? Untuk apa kita keluar? Tidakkah dengan tujuan syahid? Kita berperang bukan kerana ramainya bilangan tentera musuh dan kekuatan mereka tetapi kita berperang dengan matlamat yang satu iaitu ingin menegakkan agama Allah dan mempertahankan negara Islam. Marilah berjuang! kerana satu dari kejayaan sudah pasti iaitu kemenangan atau syahid dalam peperangan.”                                                                                                                                                                                                       

Dua hari kemudian, mereka menuju ke sempadan Balqa’ di sebuah desa yang bernama Masyarif. Di sanalah mereka bertembung dengan tentera musuh. Dengan inisiatif yang ada, tentera muslimin bertindak dengan berganjak ke Mu’tah kerana kubu pertahanan di sana adalah lebih baik dari Masyarif. Mereka berjuang sehingga gugurnya Zayid bin Harithah dan seterusnya Jaafar bin Abi Talib menggantikannya. Setelah Jaafar bin Abu Talib juga syahid, Abdullah bin Rawahah pula memimpin tentera muslimin. Akhirnya Abdullah bin Rawahah turut syahid, lantas tentera muslimin bersepakat melantik Khalid bin al-Walid sebagai ketua mereka. Ada pendapat lain mengatakan bahawa sebelum itu panji perang tentera Islam dipegang oleh Thabit bin Arqam dan tentera-tentera mencadangkan agar beliau sahaja yang menjadi ketua. Akan tetapi beliau menolak. Akhirnya mereka sepakat melantik Khalid bin al-Walid sebagai pengganti Abdullah bin Rawahah. 

            Situasi ini menyebabkan Khalid bin al-Walid menyusun semula barisan tentera dan merancang strategi baru bagi menghadapi pihak musuh. Kedua-dua belah pihak terus berperang sehingga waktu malam. Ketika ini, mereka akan meletakkan senjata untuk berehat. Mereka bermalam di Mu’tah selama satu malam, dan Khalid menggunakan waktu yang ada ini untuk merancang strategi baru. Beliau membahagikan tentera muslimin kepada dua kumpulan. Kumpulan yang pertama iaitu disebelah kiri disuruh mara ke kanan. Sementara kumpulan yang disebelah kanan mara ke sebelah kiri. Mereka berbaris secara memanjang kerana jika mereka duduk dalam satu kelompok mereka akan kelihatan sedikit. Di waktu awal pagi mereka menuju ke arah musuh. Kebiasaannya, pada waktu begini pihak musuh baru bangun tidur. Ini akan mencetuskan suasana yang kacau-bilau. Tentera muslimin yang telah bersedia itu bergerak dari arah belakang. Oleh itu pihak musuh menyangka bahawa tentera muslimin telah mendapat bantuan dari pasukan tambahan. Arahan untuk menyerang musuh dikeluarkan serentak dan musuh terpaksa berundur. Walau bagaimanapun beliau tidak mengarahkan tentera muslimin untuk mengejar pihak musuh. Sebaliknya membawa mereka pulang ke Madinah. 


2.2 Strategi pihak musuh

Persiapan bala tentera muslimin untuk menyerang Syam, telah dapat dikesan oleh pihak musuh setelah mereka tiba di Macan. Seterusnya Hercules mengumpulkan tenteranya sehingga mencapai seratus ribu orang terdiri dari orang-orang Rom. Di samping itu mereka mendapat bantuan dari pihak lain yang terdiri dari qabilah Lukham, Juzam, al-Qain, Bahra dan Bali iaitu seramai seratus ribu orang lagi. Bilangan tentera Rom bertambah menjadi dua ratus ribu orang dan mereka merasakan bahawa kemenangan akan berpihak kepada mereka. Selain itu persediaan pihak musuh dari segi kelengkapan senjata, makanan dan persiapan lain adalah jauh berbeza dengan tentera muslimin yang serba kekurangan dari segi persiapannya.


3. KESAN PEPERANGAN

Sekembalinya tentera muslimin ke Madinah selepas berjuang di bumi Mu’tah, mereka telah diejek oleh sebahagian penduduk Madinah dengan mengatakan bahawa tentera muslimin telah lari dari peperangan. Sehingga ada sesetengah tentera muslimin yang berasa malu dengan ejekan tersebut dan tidak berani untuk keluar dari rumah atau ke masjid. Namun Rasulullah s.a.w. cuba memberi penjelasan yang sebenarnya iaitu tentera muslimin bukan lari dari peperangan tetapi mereka akan menyerang semula pada masa akan datang.

Manakala pihak musuh pula, mereka merasa gembira atas tindakan Khalid bin al-Walid yang membawa tentera muslimin pulang ke Madinah. Ini kerana mereka berasa gerun dengan ketangkasan dan strategi peperangan tentera muslimin yang begitu sistematik. Mereka juga takut sekiranya tentera bantuan dari Madinah akan datang bagi membantu tentera muslimin.

            Selain itu, berikutan peristiwa di dalam perang Mu’tah, ada salah seorang pemimpin pasukan tentera Rom, iaitu Farwa bin cAmr al-Juzami telah masuk Islam. Akan tetapi dia telah ditangkap dan dituduh belot dalam agama Nasrani. Dia diminta untuk membuat pilihan samada kembali ke agama asal atau dihukum bunuh. Tetapi dia menolak dan tetap bertahan dengan pendiriannya untuk tetap dalam agama Islam. Akhirnya dia telah dibunuh.


4. PENGAJARAN

Sepanjang perang Mu’tah berlangsung, banyak kejadian dan skop penting telah dirakamkan. Ia bertujuan bagi memberi kefahaman dan pengajaran kepada pengkaji-pengkaji sirah atau umat Islam amnya. Antara pengajaran yang dapat dipetik ialah:
a)      Berpandukan cara Rasulullah s.a.w. melantik pemimpin yang akan berjuang di Mu’tah, maka seorang ketua itu seharusnya melantik pengganti selepasnya dengan mengikut syarat dan etika dari segi kepimpinan yang ada pada pengganti itu.
b)      Dalam melantik seseorang pemimpin yang belum ditentukan lagi, perlulah mendapat kata sepakat dari semua pihak atau memilih suara majoriti.
c)      Teladan dari peribadi Khalid bin al-Walid ialah walaupun beliau baru saja memeluk Islam, tetapi beliau sanggup ikut sama berjuang dalam peperangan Mu’tah dan sekaligus berjaya memimpin pasukan Islam dengan sempurna.
 

5. PENUTUP

Setelah meneliti dan menganalisis akan peperangan ini dapatlah disimpulkan bahawa perbezaan antara bilangan tentera muslimin dengan tentera musuh bukanlah menjadi ukuran sebenar untuk mendapat kemenangan. Apa yang penting adalah iman yang kuat dan semangat jihad yang tinggi untuk berjuang demi jalan Allah s.w.t., di samping semangat kerjasama yang jitu di kalangan semua tentera. Selain itu, perancangan starategi yang sistematik perlulah dilakukan dari peringkat awal lagi dan dirancang dengan teliti supaya matlamat yang telah ditetapkan dapat dicapai. Menurut perspektif Rasulullah s.a.w. perancangan strategi yamg mempunyai tipu helah adalah dibenarkan, di samping berusaha untuk menghasilkan kejayaan. Umat Islam juga seharusnya tidak bertindak melulu dengan mengkritik dan mengejek tentera muslimin apabila melihat kepulangan mereka kerana tindakan tersebut mungkin ada sebab dan tujuannya. 


RUJUKAN

Abdullah Muhammad al-Khalili 1992. As-Sirah al-Jalbiyah Juzu’ kedua. Beirut : Darul al-Kitab al-Ilmiyah.   

A Guillaume. 1970. The Life Of Muhammad A Translation Of Ishaq’s. Pakistan : Sirat Rasul Allah Offset at Civil and Military Press Ltd Karachi Pakistan.

Dr. Ahmad A. zaidan. 1997. The Battles of The Prophets Islamic Inc. Publishing & Distribution.

At-Tabari, Abu Jaafar Muhammad bin Jarir. 1998. Tarikh al-Tabari. Beirut : Dar al-Fikr.

Fadhi Bahri. 2001. Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam II. Jakarta Timur : Darul Falah.

Hasyim Ma’ruf al-Husna 1987 M. Sirah al-Mustafa Darul Taaruf Lil-Matbu’ Bierut :  Huquq.

Ibn Hisham, Muhammad ‘Abd. Malik. 1997. Al-Sirah Nabawiyyah. Beirut : Dar Ihya’ al-Trath al-‘Arabi.

Ibn Sa’d Muhammad. 1990. At-Tabaqat al-Kubra. Beirut : Dar Sadir.

Muhammad Husain Haekal. 1981. Sejarah Hidup Nabi Muhammad. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Muhammad Husayn Haykal. 1976. The Life Of Muhammad. North American : Tust Publications Library Of Congress Catalog.

Watt W.M. 1953. Muhammad at Mecca. Oxford : The Clarendon Press.

Watt W.M. 1968. Muhammad at Medina. Oxford : The Clarendon Press.


Nota: Artikel di atas merupakan hasil tugasan semasa pengajian di FPI UKM

1 Komentar:

 

FIKRAH PUTERA ISLAM Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates