Khamis, 6 Mac 2014

0 Kedudukan Orang Yang Bercinta Kerana ALLAH


Sesungguhnya terdapat banyak hadith Rasulullah SAW yang menerangkan kedudukan dan darjat dua manusia yang saling cinta mencintai kerana Allah. Hadis-hadis ini menggambarkan kedudukan mereka yang mulia dan tinggi yang telah disediakan oleh Allah di dalam SyurgaNya.

Di antara hadis-hadis itu ialah yang menceritakan kisah tujuh golongan lelaki atau wanita yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungannya ketika mana tidak ada lagi naungan yang lain kecuali naungan Allah sahaja.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud & Ibnu Majah)

Ini adalah dalil dan nas yang jelas menggolongkan dia sebagai orang yang berkasih sayang kerana Allah di kalangan tujuh orang yang baik lagi terpilih untuk dinaungi dibawah naungan-Nya di mana masing-masing orang mengharap sangat lindungan dari matahari yang sejengkal saja dari kepala. Inilah penghormatan dan kemuliaan paling tinggi yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Di manakah lagi kita akan dapati kemuliaan yang seperti itu ???
Sesungguhnya kemulian ialah hak bagi kedua-dua orang yang berkasih sayang kerana Allah S.W.T. Dimana pada hari tersebut (kiamat) Allah Taala Rabbul Izzah menyeru mereka dan mempersilakan mereka untuk menerima anugerah yang paling tinggi, iaitu pada hari berhimpunnya sekelian bani (anak) Adam di Padang Mahsyar yang maha luas itu.

Di dalam hadis Qudsi yang bermaksud:
"Dimanakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku pada hari ini, Aku perlindungi mereka dibawah naungan Ku pada hari yang tiada lagi naungan kecuali naungan-Ku" (Riwayat Muslim)
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muaz dari Rasulullah S.A.W baginda bersabda: "Allah Azzawajalla berfirman: orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku, mereka mempunyai beberapa-beberapa mimbar dari cahaya, sangat dicita-citakan tempat-tempat mereka itu oleh para Nabi, Shiddiqin dan Syuhada." (Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim)

Dalam Hadis Qudsi yang lain diriwayatkan oleh Ubadah As-Sahamit:
"Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang cinta mencintai keranaKu. Kasih-sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang sering memperhubungkan tali silaturahim keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling bernasihat keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling berziarah keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling bantu membantu keranaKu. Orang yang cinta mencintai keranaKu berada di atas mimbar-mimbar dari cahaya, sangat dicita-citakan tempat-tempat mereka itu oleh para Nabi, Siddiqin dan Syuhada." (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim, Qudha'i)

Alangkah tingginya kemuliaan mereka. Alangkah sempurnannya ganjaran yang akan mereka dapati kerana mereka berkasih sayang kerana Allah. Sesungguhnya cinta kerana Allah bukan kerana sesuatu yang lain sahaja yang ada dalam hidup ini. Hidup ini adalah hidup yang penuh dengan pelbagai kepentingan diri dan pelbagai perkara yang disukai oleh hawa nafsu. Jadi, cinta kerana Allah dalam suasana yang demikian sangat payah untuk dicapai dan dicari. Tiada siapa yang mampu mencapainya kecuali orang yang telah bersih jiwanya, tinggi semangatnya dan mereka mampu melihat betapa hinanya dunia ini berbanding keredhaan Allah. Tidak hairanlah kalau Allah telah menyediakan bagi mereka darjat yang tinggi sesuai dengan ketinggian mereka didunia dalam mengatasi segala kesibukan dunia yang serba mewah dan penuh dengan perhiasan ini.

Memang orang sifatnya demikian sangat sukar didapati pada zaman ini, meskipun tidak dapat dinafikan mereka itu ada dalam masyarakat kita masa ini, tetapi terlalu sedikit sekali bilangannya. Mereka tidak semestinya datang dari kalangan saudara-mara, atau kaum kerabat sendiri. Tetapi kalau ada memang itulah yang paling baik sekali, supaya hubungan keluargaan itu menjadi lebih erat dan berpanjangan. Memang itu merupakan suatu nikmat, apabila ada seorang saudara sedarah sedaging mengambil berat terhadap saudaranya, masing-masing memberikan perhatian kepada yang lain dalam serba-serbinya di kehidupan ini.

Yang anehnya, bila orang-orang seperti ini datangnya dari luar kaum kerabat, seperti teman rakan dan sahabat yang tiada hubungan darah di antara kita dengannya, tetapi hubungannya dengan kita dan pengambil-beratannya dengan diri kita justeru lebih teguh dan erat dari kaum kerabat sendiri. Itulah tandanya persaudaraannya kerana Allah Ta'ala, yang kerana ikhlasnya dalam persahabatannya itu, dia malah memandang kepada kita. Orang-orang yang semacam inilah yang sangat dikasihi oleh Allah Ta'ala, yang disebutkan dalam sabdanya di atas, bahawa 'Aku akan menaunginya nanti di Hari Kiamat di bawah naunganKu!', firman Allah Ta'ala.

Bertuahlah siapa yang sudah mendapat taufiq daripada Allah untuk bersifat dengan sifat ini. Ini adalah kurnia luar biasa, sebab itulah balasannya juga adalah luar biasa. Kalau sudah dijanji Allah akan mendapat lindunganNya di Hari Kiamat, tentulah hidupnya di dunia ini akan dilindungi Allah pula, supaya dia berjalan di atas jalan yang diridhaiNya, tiada menyelewang dari jalanNya yang lurus. Berbahagialah orang ini, dan mudah-mudahan kita juga akan diberi Allah taufiqNya untuk menjadi orang yang seperti ini, Insya Allah Ta'ala.

Marilah sama-kita renung seketika hadis-hadis Abu Hurairah (R.A) maksudnya: "Bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya (sahabat) di sebuah kampung yang lain, lalu Allah menyuruh malaikat memerhatikannya di atas jalannya. Maka tatkala dia sampai dia berkata : Engkau hendak ke mana ? Lelaki tersebut menjawab: Aku hendak menemui seorang saudara ku di kampung itu. Malaikat bertanya lagi " Adakah engkau telah berbudi kepadanya dan engkau mengharapkan balasannya?" Beliau menjawab " tidak, aku mencintainya kerana Allah" Maka malaikat itu berkata kepadanya "Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau, sesungguhnya Allah telah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai dia kerana Allah.

Dari kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman oleh Imam Habib Abdullah Haddad :
1) Apabila seseorang mencintai orang lain, bersahabat dan membiasakan diri dengannya, kerana dilihatnya orang itu mencintai Allah dan taat-setia kepada perintah Allah, maka hal sedemikian itulah yang dikatakan bercinta-cintaan kerana Allah Ta'ala.
2) Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu membantunya di dalam selok-belok agama, dan mengarahkannya untuk bertaat-setia terhadap Tuhannya, maka hal sedemikian itu juga dikira bercinta-cintaan kerana Allah.
3) Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu membantunya dalam urusan keduniaan, yang mana dengannya pula ia bisa mengurus urusan akhiratnya, maka itu juga termasuk cinta-mencintai kerana Allah.
4) Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana dirinya merasa senang berkawan dengan orang itu, dan dadanya merasa lapang senang berkawan dengan orang itu, dan dadanya merasa lapang bila duduk bersama-sama dengannya.
5) Ataupun orang itu dapat menolongnya di dalam urusan dunianya, dan di dalam hal-ehwal kehidupannya, yang menerusinya ia bisa hidup senang-lenang, maka cinta serupa itu adalah cinta biasa yang tidak ada kena-mengena sedikit pun dengan Allah.
6) Adapun jika ia bersahabat kepada seseorang, kerana orang itu bisa menemannya untuk pergi ke tempat maksiat, atau membantunya untuk menganiaya orang, ataupun memimpin dan menunjuknya ke jalan-jalan fasik dan mungkar, maka persahabatan serupa itu dan kecintaan serupa itu adalah persahabatan dicela dan kecintaan yang tidak berguna, kerana ia menarik kita ke jalan syaitan, yang tidak kena-mengena dengan Allah. Persahabatan dan kecintaan serupa inilah yang akan bertukar menjadi permusuhan di akhirat.
Alangkah besarnya cinta yang sedemikian yang mengangkat manusia sampai ke darjat di mana Allah mencintai dan meredhainya.

Di dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menegaskan bahawa sesungguhnya Mahabbah (berkasih sayang) antara orang beriman adalah syarat-syarat iman yang memasukkan penganutnya kedalam syurga.
"Demi yang diriku di dalam genggamannya , kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah kamu aku (nabi) tunjukkan sesuatu yang apabila kamu melakukannya maka akan lahirlah kasih sayang? Sebarkan salam di antara kamu." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Sesungguhnya Rasulullah telah mengetahui dengan pandangan tarbiah yang diperolehi dari Allah, bahawasanya tidak ada sesuatu pun yang dapat mencabut hasad dengki dari dada, dan kekotoran jiwa kecuali persahabatan yang sejati. Satu nilai persahabatan yang tinggi yang menguasai kehidupan orang Islam yang dibangunkan atas dasar Mahabbah, nasihat menasihati, perpaduan, bebas dari segala tipu daya, hasad dengki, benci membenci dan sebagainya.
Dengan kasih sayang yang gemilang inilah, Rasulullah telah membangunkan generasi Islam yang pertama, satu generasi yang telah menyampaikan langit kebumi (rahmat yang melimpah ruah) dan membina mahligai Islam di alam sejagat. Inilah dia kasih sayang dan perpaduan yang tiada siapa sudi menanamnya didalam hati kecuali Islam. Kasih sayang yang suci lagi kukuh dan cinta yang setia di antara mereka jualah yang akan menjayakan perjuangan mereka.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat merahmati dan di dalam kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan berjaga malam dan demam." (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya orang Islam yang menghayati ajaran agamanya akan mempunyai hati dan perasaan yang sentiasa berkobar-kobar untuk mencintai saudara dan sahabatnya. Dia akan menghadapi mereka dengan sepenuh hati dan perasaannya. Inilah asas-asas yang menjadi faktor perpaduan untuk mencapai cinta dan redha Allah di Akhirat kelak.
Fahamkanlah maksud Hadis ini baik-baik, moga-moga Allah merahmati anda! Dan membimbing anda ke jalan yang diridhaiNya, agar anda disayangiNya, serta diberikanNya balasan besar yang memang telah disediakanNya untuk siapa yang disayangiNya. Amin.

Fatwa Saiyidina Umar r.a :
“Orang yang bijaksana,tidaklah dia mahu mencari sahabat melainkan orang-orang yang panjang fikirannya, kuat agamanya, luas ilmunya, tinggi akhalaknya, lanjut akalnya, dan di waktu mudanya bergaul dengan orang-orang yang soleh. Barangsiapa yang melalaikan keteguhan percintaan dari sahabatnya, maka tidaklah dia akan merasai buah persaudaraan orang itu terhadapnya. Barangsiapa yang memutuskan persaudaraan sebab takut dikhianati, maka hiduplah dia dengan tidak bersaudara. Tidaklah ada kesenangan hati yang menyamai kesenangan bersahabat, dan tidaklah ada kedukaan yang melebihi kedukaan apabila putusnya persahabatan itu.”

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." (At-Taubah:24)

Ya Allah, jauhilah aku dari cinta panahan syaitan, berikanlah cintaku ini kepada seseorang yang sangat mencintaiMu...lapangkanlah hati ku ini dengan cintaMu yg sejati...sekiranya dia bukan Kau ciptakan buatku, maka Kau jauhkan lah dia dari pandanganku dan berikanlah aku kekuatan untuk terus bercinta denganMu.
Doa Rasulullah s.a.w.: Ya Allah, kurniakalah perasaan cinta kepada-Mu, dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan
kredit: http://www.madrasah.idrisiah.edu.my/

Sabtu, 23 Februari 2013

1 Cukupkah Menyambut Maulidur Rasul?


Assalamualaikum... Dalam minggu-minggu ini semua tempat sibuk mengadakan majlis Sambutan Maudidur Rasul SAW. Sungguh seronok melihat ramai yang teruja menyambutnya dan menunjukkan minat dengan turut serta dalam apa-apa pertandingan selingan dan tak ketinggalan rewang masakan untuk dijadikan jamuan sewaktu majlis. Tak lain tak bukan semua itu sebagai lambang yang boleh kita pamerkan bagi menyatakan kecintaan diri terhadap junjungan nabi SAW. Serta tak ketinggalan ada yang menyanyi lagu-lagu selawat yang perbagai melodinya serta berzanji dan berqasidah bagi merancakkan majlis sambutan. Persolannya adakah cukup sekadar itu bagi menunjukkan kecintaan kita terhadap baginda SAW?

Analoginya begini. Seorang suami akan memberi hadiah kepada isterinya, ibu bapa memberi keperluan buat anak-anaknya, guru membantu menunjuk ajar anak muridnya. Semua itu contoh bagi bukti kecintaan yang boleh dipamerkan oleh seseorang kepada seseorang yang lain. Bukti yang 'nampak' itu perlu ditunjukkan tapi percayalah ia hanya perlu bagi manusia sahaja. Kerana lumrah kita inginkan perhatian dan disayangi dengan cara yang begitu, bagi kebanyakannya. Persoalan disambung. Jika begitu apa pula bukti yang kita ini mencintai nabi SAW?

Jika jawapannya ialah dengan mengadakan majlis Sambutan Maulidur Rasul maka ia jawapan yang sedikit tersasar. Adakah cukup sehari saja kita mencintai bagi SAW? Cukupkah sehari ini kita benar-benar beria menunjukkan yang kita menyayanginya seperti selawat banyak-banyak, berzanji, qasidah, nasyid, bercerita, lalu esoknya kita tidak melakukannya lagi? Ketahuilah semua itu tidak bijak untuk dilakukan.

Allah Taala ada menyatakan firmanNya, “qul in kuntum tuhibbunallah fattabi’uni yuhbibkumullah”. Jika kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku, nescaya kamu akan dicintai Allah, itu mafhumnya. Tidak ada cara lain untuk menyatakan cinta dan kasih kepada baginda SAW melainkan kita menurutinya. Kita buat apa yang disuruh Allah dan Rasul SAW dan kita tinggalkan jauh apa yang ditegah Allah dan Rasul SAW. Selain itu kita menjadikan baginda SAW sebagai qudwah hasanah. Kita meniru cara nabi berbicara, bergaul, bertingkah laku, personaliti, kerja dakwah dan sangat penting ibadah yang dikerjakan baginda SAW. Kita cuba mengikuti apa yang terdaya buat kita. Masakan sukar? Bukankah baginda juga manusia sama seperti kita? Itulah hikmah mengapa Rasul dilantik dari kalangan manusia dan bukan makhluk lain. Kita akan lebih mudah mengikut dan meniru apa yang dibuat oleh nabi SAW. 

Insya-Allah, dengan mengikuti seluruh sunnah nabi SAW dan diamal secara total dalam kehidupan kita, maka roh mahabbah itu akan bersemadi secara halus dalam sanubari kita, bukan pada sambutan Maulidur Rasul saja bahkan tiap-tiap detik dan saat. Dengan menzahirkan semua itu, mudah-mudahan terbitlah kecintaan yang menebal terhadap Yang Maha Pencipta. Allahu a'lam....Putera Islam

Selasa, 19 Februari 2013

1 Perang Mu'tah: Punca dan Iktibar


Oleh: Mohd Muslim Mahmod

1. PENDAHULUAN

Objektif utama kertas kerja kami adalah untuk membincangkan berkenaan satu peristiwa penting dalam sirah  iaitu perang Mu’tah. Kami juga cuba menganalisis tentang punca berlakunya perang tersebut, kesan yang timbul selepasnya serta beberapa kajian lain. Seperti yang kita sedia maklum, dalam sirah telah jelas apa yang dimaksudkan dengan ghazwah (perang). Ghazwah ialah siri gerakan tentera yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Perang Mu’tah ini dianggap oleh sebahagian ulama’ hanya sebagai syariah dalam menyebarkan Islam. Namun ada juga yang mengatakan ia sebagai ghazwah (perang) memandangkan ramainya bilangan tentera yang terlibat.

1.1 Definisi dan latar belakang

Mu’tah ialah nama bagi satu kampung yang bersempadan dengan negeri Syam dan kini tempat itu telah ditukar dengan nama Krik. Peristiwa peperangan Mu’tah seperti yang tercatat dalam sejarah berlaku pada bulan Jamadi al-Awwal tahun kelapan Hijrah bersamaan 629 Masihi.


1.2 Faktor-faktor berlakunya perang Mu’tah

Punca berlakunya peperangan ini bermula apabila sepasukan kecil iaitu seramai lima belas orang yang dipimpin oleh Kacab al-Ghafari telah dibunuh oleh suku Qudacah di Zat cAtlah bersempadan dengan Syam. Menurut riwayat lain pula mengatakan ia berpunca dari pembunuhan al-Harith ibn cUmair al-cAzdi, iaitu utusan Rasulullah yang dihantar kepada raja Basrah. Pembunuhan tersebut dilakukan oleh seorang Badwi dari suku Ghassan atas arahan Hercules (Harqal). Setelah berita kematian al-Harith itu sampai kepada Rasulullah s.a.w., maka Baginda menyeru kaum muslimin mengambil langkah untuk menyerang tentera Rom di Syam. Begitu cepat sekali terkumpulnya bala tentera muslimin sehingga mencecah bilangan tiga ribu orang pejuang  yang betul-betul bersedia untuk menyerang tentera Rom.

1.3 Pesanan Rasulullah terhadap tentera muslimin

Perkara utama yang diperkatakan oleh Rasulullah s.aw. ialah mengenai perlantikan ketua (amir) angkatan tentera muslimin dalam peperangan tersebut. Ketua angkatan pertama yang dilantik ialah Zayid bin Harithah. Sekiranya Zayid bin Harithah gugur maka Jaafar bin Abi Talib akan menggantikannya. Seterusnya jika beliau juga gugur maka akan digantikan oleh Abdullah bin Rawahah. Manakala pesanan lain yang dikemukakan oleh Rasulullah s.a.w. ialah berkenaan dengan etika atau syarat-syarat yang patut dipatuhi oleh setiap tentera muslimin sepanjang peperangan berlangsung, iaitu :
Pertama : jangan membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua atau orang buta
Kedua    : jangan membinasakan tempat tinggal dan rumah ibadat.
Ketiga    : jangan merosakkan pohon dan tumbuh-tumbuhan.
Sebelum mereka berangkat, Rasulullah s.a.w. sempat mendoakan pemergian mereka supaya selamat dan dilindungi Allah s.w.t..


2. STRATEGI PEPERANGAN 

Strategi ialah rancangan yang teratur dengan mengambil kira pelbagai faktor demi mencapai matlamat atau kejayaan. Apa sahaja matlamat yang ingin dicapai perlu bermula dengan mengatur sterategi yang baik. Ia perlu dirancang dengan teliti dan sistematik supaya matlamat yang diingini menjadi kenyataan. Perancangan strategi adalah aspek yang tidak dapat dipisahkan daripada agenda kehidupan manusia. Sejarah hidup Rasulullah s.a.w. telah membuktikan bahawa baginda sentiasa merancang strategi di dalam beberapa siri peperangan yang telah dilaluinya 

2.1 Strategi tentera muslimin

Sebagai seorang pemimpin pasukan, Zayid bin Harithah telah merancang untuk menyerang musuh secara terus seperti yang biasa dilakukan dalam siri-siri  peperangan sebelum ini. Dengan demikian kemenangan akan mudah diperolehi. Mereka memulakan perjalanan dengan menuju ke Macan. Setelah tiba di sana mereka mendapat tahu tentang persiapan dan rancangan pihak musuh yang telah bersedia menghadapi mereka. Akhirnya mereka mengubah rancangan dan bermalam selama dua hari di Macan bagi merancang strategi baru. Kebanyakan tentera kelihatan tidak bersemangat. Ada yang mencadangkan agar menghantar surat kepada Rasulullah s.a.w. untuk meminta bantuan angkatan perang. Namun Abdullah bin Rawahah tidak bersetuju dan  cuba mengembalikan semula semangat mereka dengan berkata:
“Wahai orang-orang Muslimin, demi Allah apa yang hendak ditakutkan? Untuk apa kita keluar? Tidakkah dengan tujuan syahid? Kita berperang bukan kerana ramainya bilangan tentera musuh dan kekuatan mereka tetapi kita berperang dengan matlamat yang satu iaitu ingin menegakkan agama Allah dan mempertahankan negara Islam. Marilah berjuang! kerana satu dari kejayaan sudah pasti iaitu kemenangan atau syahid dalam peperangan.”                                                                                                                                                                                                       

Dua hari kemudian, mereka menuju ke sempadan Balqa’ di sebuah desa yang bernama Masyarif. Di sanalah mereka bertembung dengan tentera musuh. Dengan inisiatif yang ada, tentera muslimin bertindak dengan berganjak ke Mu’tah kerana kubu pertahanan di sana adalah lebih baik dari Masyarif. Mereka berjuang sehingga gugurnya Zayid bin Harithah dan seterusnya Jaafar bin Abi Talib menggantikannya. Setelah Jaafar bin Abu Talib juga syahid, Abdullah bin Rawahah pula memimpin tentera muslimin. Akhirnya Abdullah bin Rawahah turut syahid, lantas tentera muslimin bersepakat melantik Khalid bin al-Walid sebagai ketua mereka. Ada pendapat lain mengatakan bahawa sebelum itu panji perang tentera Islam dipegang oleh Thabit bin Arqam dan tentera-tentera mencadangkan agar beliau sahaja yang menjadi ketua. Akan tetapi beliau menolak. Akhirnya mereka sepakat melantik Khalid bin al-Walid sebagai pengganti Abdullah bin Rawahah. 

            Situasi ini menyebabkan Khalid bin al-Walid menyusun semula barisan tentera dan merancang strategi baru bagi menghadapi pihak musuh. Kedua-dua belah pihak terus berperang sehingga waktu malam. Ketika ini, mereka akan meletakkan senjata untuk berehat. Mereka bermalam di Mu’tah selama satu malam, dan Khalid menggunakan waktu yang ada ini untuk merancang strategi baru. Beliau membahagikan tentera muslimin kepada dua kumpulan. Kumpulan yang pertama iaitu disebelah kiri disuruh mara ke kanan. Sementara kumpulan yang disebelah kanan mara ke sebelah kiri. Mereka berbaris secara memanjang kerana jika mereka duduk dalam satu kelompok mereka akan kelihatan sedikit. Di waktu awal pagi mereka menuju ke arah musuh. Kebiasaannya, pada waktu begini pihak musuh baru bangun tidur. Ini akan mencetuskan suasana yang kacau-bilau. Tentera muslimin yang telah bersedia itu bergerak dari arah belakang. Oleh itu pihak musuh menyangka bahawa tentera muslimin telah mendapat bantuan dari pasukan tambahan. Arahan untuk menyerang musuh dikeluarkan serentak dan musuh terpaksa berundur. Walau bagaimanapun beliau tidak mengarahkan tentera muslimin untuk mengejar pihak musuh. Sebaliknya membawa mereka pulang ke Madinah. 


2.2 Strategi pihak musuh

Persiapan bala tentera muslimin untuk menyerang Syam, telah dapat dikesan oleh pihak musuh setelah mereka tiba di Macan. Seterusnya Hercules mengumpulkan tenteranya sehingga mencapai seratus ribu orang terdiri dari orang-orang Rom. Di samping itu mereka mendapat bantuan dari pihak lain yang terdiri dari qabilah Lukham, Juzam, al-Qain, Bahra dan Bali iaitu seramai seratus ribu orang lagi. Bilangan tentera Rom bertambah menjadi dua ratus ribu orang dan mereka merasakan bahawa kemenangan akan berpihak kepada mereka. Selain itu persediaan pihak musuh dari segi kelengkapan senjata, makanan dan persiapan lain adalah jauh berbeza dengan tentera muslimin yang serba kekurangan dari segi persiapannya.


3. KESAN PEPERANGAN

Sekembalinya tentera muslimin ke Madinah selepas berjuang di bumi Mu’tah, mereka telah diejek oleh sebahagian penduduk Madinah dengan mengatakan bahawa tentera muslimin telah lari dari peperangan. Sehingga ada sesetengah tentera muslimin yang berasa malu dengan ejekan tersebut dan tidak berani untuk keluar dari rumah atau ke masjid. Namun Rasulullah s.a.w. cuba memberi penjelasan yang sebenarnya iaitu tentera muslimin bukan lari dari peperangan tetapi mereka akan menyerang semula pada masa akan datang.

Manakala pihak musuh pula, mereka merasa gembira atas tindakan Khalid bin al-Walid yang membawa tentera muslimin pulang ke Madinah. Ini kerana mereka berasa gerun dengan ketangkasan dan strategi peperangan tentera muslimin yang begitu sistematik. Mereka juga takut sekiranya tentera bantuan dari Madinah akan datang bagi membantu tentera muslimin.

            Selain itu, berikutan peristiwa di dalam perang Mu’tah, ada salah seorang pemimpin pasukan tentera Rom, iaitu Farwa bin cAmr al-Juzami telah masuk Islam. Akan tetapi dia telah ditangkap dan dituduh belot dalam agama Nasrani. Dia diminta untuk membuat pilihan samada kembali ke agama asal atau dihukum bunuh. Tetapi dia menolak dan tetap bertahan dengan pendiriannya untuk tetap dalam agama Islam. Akhirnya dia telah dibunuh.


4. PENGAJARAN

Sepanjang perang Mu’tah berlangsung, banyak kejadian dan skop penting telah dirakamkan. Ia bertujuan bagi memberi kefahaman dan pengajaran kepada pengkaji-pengkaji sirah atau umat Islam amnya. Antara pengajaran yang dapat dipetik ialah:
a)      Berpandukan cara Rasulullah s.a.w. melantik pemimpin yang akan berjuang di Mu’tah, maka seorang ketua itu seharusnya melantik pengganti selepasnya dengan mengikut syarat dan etika dari segi kepimpinan yang ada pada pengganti itu.
b)      Dalam melantik seseorang pemimpin yang belum ditentukan lagi, perlulah mendapat kata sepakat dari semua pihak atau memilih suara majoriti.
c)      Teladan dari peribadi Khalid bin al-Walid ialah walaupun beliau baru saja memeluk Islam, tetapi beliau sanggup ikut sama berjuang dalam peperangan Mu’tah dan sekaligus berjaya memimpin pasukan Islam dengan sempurna.
 

5. PENUTUP

Setelah meneliti dan menganalisis akan peperangan ini dapatlah disimpulkan bahawa perbezaan antara bilangan tentera muslimin dengan tentera musuh bukanlah menjadi ukuran sebenar untuk mendapat kemenangan. Apa yang penting adalah iman yang kuat dan semangat jihad yang tinggi untuk berjuang demi jalan Allah s.w.t., di samping semangat kerjasama yang jitu di kalangan semua tentera. Selain itu, perancangan starategi yang sistematik perlulah dilakukan dari peringkat awal lagi dan dirancang dengan teliti supaya matlamat yang telah ditetapkan dapat dicapai. Menurut perspektif Rasulullah s.a.w. perancangan strategi yamg mempunyai tipu helah adalah dibenarkan, di samping berusaha untuk menghasilkan kejayaan. Umat Islam juga seharusnya tidak bertindak melulu dengan mengkritik dan mengejek tentera muslimin apabila melihat kepulangan mereka kerana tindakan tersebut mungkin ada sebab dan tujuannya. 


RUJUKAN

Abdullah Muhammad al-Khalili 1992. As-Sirah al-Jalbiyah Juzu’ kedua. Beirut : Darul al-Kitab al-Ilmiyah.   

A Guillaume. 1970. The Life Of Muhammad A Translation Of Ishaq’s. Pakistan : Sirat Rasul Allah Offset at Civil and Military Press Ltd Karachi Pakistan.

Dr. Ahmad A. zaidan. 1997. The Battles of The Prophets Islamic Inc. Publishing & Distribution.

At-Tabari, Abu Jaafar Muhammad bin Jarir. 1998. Tarikh al-Tabari. Beirut : Dar al-Fikr.

Fadhi Bahri. 2001. Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam II. Jakarta Timur : Darul Falah.

Hasyim Ma’ruf al-Husna 1987 M. Sirah al-Mustafa Darul Taaruf Lil-Matbu’ Bierut :  Huquq.

Ibn Hisham, Muhammad ‘Abd. Malik. 1997. Al-Sirah Nabawiyyah. Beirut : Dar Ihya’ al-Trath al-‘Arabi.

Ibn Sa’d Muhammad. 1990. At-Tabaqat al-Kubra. Beirut : Dar Sadir.

Muhammad Husain Haekal. 1981. Sejarah Hidup Nabi Muhammad. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Muhammad Husayn Haykal. 1976. The Life Of Muhammad. North American : Tust Publications Library Of Congress Catalog.

Watt W.M. 1953. Muhammad at Mecca. Oxford : The Clarendon Press.

Watt W.M. 1968. Muhammad at Medina. Oxford : The Clarendon Press.


Nota: Artikel di atas merupakan hasil tugasan semasa pengajian di FPI UKM

Ahad, 17 Februari 2013

0 Menginsafi Dosa

Menyedari diri bersalah dan berdosa, ia titik mula untuk pahala. Pasti setiap insan manusia itu tetap berbuat salah dan khilaf. Tiada yang sempurna melainkan Allah Yang Esa. Suatu masa dalam lipatan hayat kita, hanya sebentar kita tiada dosa. Waktu itu kita tak berdaya, ditatang dibuai ibu dan bapa. Setelah zaman berlalu dan umur bertambah kita semakin dewasa. Banyak anasir luar kita terima, semua itu masuk satu-persatu menusuk pancaindera yang ada. Kawan-kawan semakin ramai dan usaha iblis berlipat ganda meracun jiwa kita. Lalu Allah berikan akal untuk kita guna. Akal diguna untuk membeza antara baik-buruk, pahala-dosa, benar-salah dan sahih-palsu. Kala itu kita ditaklifkan Allah Yang Satu agar semua amalan, perilaku dan tutur kita sepenuhnya ditanggung di bahu sendiri. Usah salahkan sesiapa atas kesilapan yang diperbuat. Contohi manusia terdahulu bagaimana cara membersih dosa. Ya, ia boleh dibersih ibarat kotoran di baju yang luntur oleh cucian. Insafi dosa, berazam mahu meninggalkannya, kerap bertafakur dan berzikir serta melakukan ibadah solat yang hak dan sunatnya. Ingatlah, Allah itu Al-Ghaffur...Putera Islam

Khamis, 20 Disember 2012

0 Kepimpinan Belia dan Kesannya Dalam Pembangunan Negara


Oleh: Mohd Muslim Mahmod, Mohamad Nizar Jaafar & Mohd Faizal Ibrahim


PENGENALAN


Terdapat banyak slogan dan kata-kata semangat seperti  “Belia Harapan Bangsa”, “Belia Hari Ini Pemimpin Hari Esok”, “Belia Bersatu Negara Maju”, dan banyak lagi telah dicipta dan dikhususkan secara langsung kepada golongan yang berstatus belia di negara ini. Hal ini disebabkan belia merupakan golongan yang paling dominan dan berpengaruh dalam masyarakat serta mempunyai ketahanan dan kekuatan yang tinggi dari sudut fizikal dan mental. Selaras dengan itu kepakaran belia perlulah dijana dengan baik, jika tidak sudah tentu golongan ini akan termasuk di dalam golongan yang rugi dan malang



OBJEKTIF KAJIAN


Negara Malaysia secara relatifnya masih muda dan dengan dewasanya generasi merdeka selepas tahun 1957 belum pasti dapat menjamin suatu jiwa kebangsaan yang padu dan utuh. Generasi muda atau belia sebagai golongan yang mempunyai idealisme yang tinggi pasti ingin melihat perubahan dan pembaharuan segera bagi mencapai suatu keadaan yang lebih sempurna (A.Aziz 1984: 2).

            Apabila peranan dan masa depan mereka itu mahu ditentukan, maka aspirasi majoriti belia dalam destinasi negara perlu dibina dan diperlihatkan. Justeru kertas kerja ini akan cuba memperlihatkan ciri-ciri belia yang cemerlang serta berkebolehan dan berkeupayaan dalam menjana kemajuan dan kestabilan negara. Selain itu skop atau ruang-lingkup keterlibatan belia dalam aktiviti pembangunan dan kepimpinan negara juga akan diperincikan.



DEFINISI BELIA


Menurut Kamus Dewan (1994: 120), belia ialah muda belia, sangat muda, golongan muda secara keseluruhannya yang terdiri daripada pemuda dan pemudi. Mohd Ismail (1999: 22) mengambil pengertian belia dalam satu pembentangan kertas kerja oleh Kementerian Belia Negara pada tahun 1995, iaitu belia merupakan seorang yang berumur antara 15 hingga 40 tahun dengan beberapa alasan :
           
1.         Ia merupakan takrif Majlis Belia Malaysia 1985.
2.         Ia dianggap golongan yang mencapai taraf kematangan yang memuaskan dan mereka akan dapat menerima manfaat yang maksimum dari rancangan yang
disusun.
3.         Ia adalah sebahagian besar daripada jumlah rakyat di negara ini. Apa jua usaha pembinaan masyarakat akan meninggalkan kesan yang menyeluruh.

            Azizan Bahari (1995: 21) dalam bukunya Pergerakan Belia: Persoalan dan Cabaran, memberi penjelasan bahawa definisi belia yang digunapakai kini iaitu golongan yang berumur antara 15 hingga 40 tahun terlalu luas. Barangkali antara 15 hingga 30 tahun. Walaupun terdapat beberapa perbezaan sekitar hal-hal persekolahan, pencarian kerja, permulaan kerjaya, berkenalan dan pencarian pasangan hidup, permulaan berumahtangga dan sebagainya. Ia merupakan suatu lingkungan umur yang agak sesuai untuk digelar belia. Umur melebihi 30 tahun pada kebiasaannya seseorang itu sudah berkeluarga dan lebih mementingkan persoalan kerjaya di samping masa depan keluarga menjadi fokus dalam kehidupan. Definisi yang luas ini sudah tidak sesuai lagi bagi masyarakat kita yang cepat berkembang.

            Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) khususnya ESCAP menggunakan lingkungan umur 15 hingga 25 tahun, manakala Commonnwealth Youth Programme (CYP) menganggap kumpulan 18 hingga 35 tahun sebagai belia (Azizan 1995: 22).



KRITERIA BELIA


Dalam membentuk belia yang mahir dan berketrampilan, beberapa usaha dan kaedah perlu dilakukan. Ciri-ciri yang dipupuk di kalangan belia ini akan berupaya membantu dalam pembentukan objektif pergerakan dan kerja belia. Disamping itu ia dapat meninjau permasalahan, cabaran dan agenda bertindak golongan belia.

            Berdasarkan Dasar Belia Negara (DBN) yang telah dibincangkan sejak awal 1970-an dan diperakukan oleh kerajaan pada 1985, disamping membuat beberapa perubahan dan gagasan-gagasan lain, khususnya prinsip-prinsip dalam Rukunegara, ciri-ciri belia adalah seperti berikut (Azizan 1995: 84) : 
           
1.         Belia yang mampu menghayati prinsip-prinsip Rukunegara.
2.         Belia yang bersemangat patriotik terhadap negara.
3.         Belia yang berakhlak mulia dan menghayati nilai-nilai rohaniah.
4.         Belia yang memahami dan mengamalkan cara hidup demokrasi.
5.         Belia yang berkebolehan memimpin, mempunyai tanggungjawab sosial yang
tinggi dan bersedia memainkan peranannya yang wajar dalam sejarah.
6.         Belia yang berkemahiran dalam pelbagai bidang dan pekerjaan, beretika dan
berdisiplin.
7.         Belia yang berilmu.
8.         Belia yang berbudaya, bersikap toleransi serta menghormati adat resam dan
kebudayaan komuniti lain.
9.         Belia yang menjunjung tinggi dan sentiasa memperjuangkan nilai-nilai
kemanusiaan, keadilan sosial dan kebebasan.
10.       Belia yang berjiwa universal dan bersedia memberi sumbangannya terhadap
kedamaian dan kesejahteraan sejagat.   



KLASIFIKASI BELIA


Belia merupakan satu golongan yang terbesar dalam struktur masyarakat di negara kita. Perangkaan terbaru menunjukkan sehingga tahun 2003, belia ditaksirkan berjumlah 45% daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini. Oleh itu belia adalah sumber tenaga yang amat penting bagi masyarakat dan negara, disamping amat berpotensi dari segi semangat, tekad juang, fikiran dan daya cipta (Azizan 1995: 1-2). Secara kasarnya belia boleh dibahagikan kepada dua kelompok besar:

1.                   Belia di dalam pertubuhan yang meliputi pertubuhan belia, kesatuan sekerja, parti politik (khususnya pada cawangan pemuda), badan agama, badan kebudayaan, pertubuhan wanita, persatuan pelajar, badan profesional, persatuan pengguna, persatuan penulis dan pertubuhan sukarela yang lain.

2.                   Belia di luar pertubuhan yang terdiri daripada pekerja muda, petani muda, pelajar, penganggur, kakitangan kerajaan, kakitangan swasta dan sebagainya. 

            Pembahagian sebegini penting untuk melihat dengan jelas kedudukan dan potensi golongan belia dalam masyarakat. Ramai kalangan pemimpin belia dan ahli politik yang leka dengan perangkaan atau statistik keahlian pertubuhan belia sehingga terlupa akan ramai lagi belia yang berkecimpung di sektor atau pertubuhan bukan belia. Hal ini kerana kedua-dua kelompok belia ini mempunyai potensi dan peranan yang besar dalam agenda pembangunan masyarakat dan negara (Azizan 1995: 2-3).
PERANAN BELIA


Definisi belia secara lebih tepat seharusnya tidak hanya dihadkan kepada pendekatan umur dan psikologi. Apa yang penting ialah penonjolan idealisme, aktivisme, dan intelektualisme perjuangan belia itu sendiri.

            Berpandukan tulisan Norizan Sharif (Jaffary 2003: 48) golongan ini telah membuktikan kemampuannya dalam memainkan peranannya dalam masyarakat dan negara. Sebagai contohnya keterlibatan belia dalam Revolusi 1949 di China, perjuangan kemerdekaan di India dan Indonesia serta perjuangan pengisian kemerdekaan di negara ini adalah antara beberapa catatan sejarah yang mendokong fakta tersebut. Sejarah perjuangan Islam yang panjang juga mencatatkan sumbangan besar kelompok belia.

            Sejarah negara memperlihatkan peranan besar yang dimainkan oleh golongan belia sehingga membawa perubahan penting dalam bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan, kesenian dan lain-lain. Selain itu tenaga belia amat diperlukan dalam lapangan-lapangan seperti :

1.                              Keadilan Sosial

Keadilan sosial di sini meliputi aspek pengagihan sumber negara, kuasa dan penentuan dasar, kebajikan social masyarakat, hak berorganisasi, system perundangan, peluang pendidikan formal, latihan dan pelbagai kursus kemahiran yang lain.


2.                              Pekerjaan

Sektor pekerjaan dapat menilai potensi dan kualiti mutu kerja seseorang itu terhadap apa yang dilakukannya itu. Teknik dan cara bekerja seseorang itu sentiasa berubah mengikut keperluan semasa bertujuan meningkatkan kualiti sesuatu produk yang dihasilkan. Dalam hal ini kepakaran dan kemahiran golongan belia sangat diperlukan bagi mencari idea-idea baru ke arah pembangunan dan kemajuan negara.


3.                              Pendidikan dan Latihan

Bagi golongan berpendapatan rendah, peluang pendidikan formal hanya terdapat di sekolah dan institusi-institusi awam di negara ini. Sementara bagi kelompok yang tercicir, beberapa tempat disediakan dalam program latihan industri dan kemahiran. Justeru peranan dari keterlibatan mereka secara tidak langsung merupakan satu sumbangan besar buat negara.  


4.                              Kebudayaan

Kebudayaan merupakan satu lapangan yang luas di samping menjadi sumber penting bagi pembangunan masyarakat. Dengan kewujudan pelbagai bentuk kebudayaan di Malaysia, ia menjadi tempat penyatuan bagi memupuk kerjasama dan perpaduan kebangsaan di kalangan rakyat. Perkara ini tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tiada penglibatan di kalangan belia.


5.                              Politik

Bidang politik amat penting bagi masyarakat dan turut mempengaruhi golongan belia. Golongan belia tidak boleh mengasingkan diri daripada berpolitik. Tetapi dalam waktu yang sama belia seharusnya lebih berwaspada terhadap pihak-pihak yang cuba menggunakan platform pergerakan belia untuk kepentingan politik peribadi atau kumpulannya (Azizan 1995: 8-16). Ini kerana pelbagai kemungkinan akan berlaku dalam bidang ini.



KESAN-KESAN TERHADAP PEMBANGUNAN NEGARA


Pembangunan negara di sini bermaksud suatu proses meningkatkan kualiti keseluruhan lapangan dalam negara termasuklah kehidupan masyarakatnya. Ia juga bermaksud satu usaha untuk membebaskan masyarakat dari pelbagai tekanan dan ancaman persoalan atau masalah yang boleh melemahkan institusi masyarakat itu.  Di sini jelas bahawa pembangunan negara bukan hanya diukur berdasarkan pencapaian ekonomi, industri dan teknologi moden semata-mata, tetapi ia meliputi peningkatan kualiti dan nilai hidup social, budaya, pendidikan, alam sekitar, politik, aspek-aspek spiritual dan moral masyarakat. Maka keterlibatan para belia amat diperlukan dalam usaha untuk merealisasikan matlamat negara maju. Penglibatan mereka mampu memberikan kesan dalam prinsip:


1.                  Politik:

Dengan penglibatan belia dalam arena ini, mereka dapat mencurahkan idea dan tenaga baru dalam usaha untuk memantapkan lagi agenda politik negara.


2.                  Pendidikan:

Belia yang dibesarkan dalam persekitaran pembelajaran dan terbimbing dengan sempurna, mampu melahirkan cendekiawan yang mahir dalam pengkhususan tertentu seterusnya menyumbang bakti demi kemajuan negara.
3.                  Agama:

Kepakaran belia juga dinilai dari aspek rohaniah, yang menuntut kesedaran mereka untuk memahami dan menghayati keindahan Islam. Islam memerlukan belia yang berani, cekap dan berkepimpinan untuk mengarah serta membentuk citra jemaah masyarakatnya.


4.                  Kerjaya:

Setiap jenis pekerjaan memerlukan kepakaran dan kemahiran dari belia. Golongan ini dilihat mampu untuk melaksanakan tugas dengan sikap produktif dan beridealistik.


5.                  Ekonomi:

Kesan dari peranan yang dimainkan oleh golongan belia secara tidak langsung menaikkan taraf hidup rakyat dan ekonomi negara. Sistem ekonomi yang stabil amat penting bagi sesebuah negara. Ia berupaya menarik minat pelabur luar untuk melabur di negara ini.



KESIMPULAN



Kesimpulannya, generasi muda atau belia mempunyai peranan serta kepentingannya tersendiri dalam usaha untuk membangunkan masyarakat dan negara. Belia sebagai pemimpin masa kini dan masa hadapan mesti bergerak dalam kematangan, keupayaan dan motivasi yang lebih positif dan efektif di dalam komitmen yang lebih kukuh (A. Aziz 1984: 21).
Kesedaran perlu wujud dan berkembang sealiran dengan cita-cita pembinaan budaya bangsa ke arah kewujudan satu negara yang bermaruah dan mempunyai martabat yang tinggi. Tuntutan masyarakat dan global yang semakin canggih, wajarnya memerlukan peranan yang rasional dan beridea segar daripada belia. Tugas belia serta masyarakat umumnya ialah memastikan agar tuntutan tersebut dipenuhi selengkapnya.


                                    

RUJUKAN



A.     Aziz Deraman. 1984. Belia dan Budaya. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan          Malaysia

Azizan Bahari. 1995. Belia dan Masyarakat. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.

Azizan Bahari. 1995. Pergerakan Belia: Persoalan dan Cabaran. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.

Jaffary Awang, Mohd Nasir Omar & Muda @ Ismail Ab. Rahman. 2003. Agama dan Perpaduan Kaum di Malaysia. Bangi: Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kamus Dewan. 1994. Ed. Baru. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia.

Mohd Ismail Mustari. 1999. Belia sebagai insan cemerlang dari perspektif Islam: Kajian status belia-belia Felda Bukit Ramun, Kulai, Johor. Disertasi Sarjana Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Nota: Artikel di atas merupakan tugasan kuliah di UKM

 

 

 

 

 

 

 

 



Rabu, 22 Ogos 2012

2 Percanggahan Hadith: Nabi Yang Terakhir & Nabi Isa Akan Menambahi Pada Perkara Yang Halal



Oleh: Mohd Muslim bin Mahmod

Hadith A:

أن النبي (ص) قال (لا نبي بعدي ولا أمة بعد أمتي فالحلال ما أحله الله تبارك وتعالى على لساني الى يوم القيامة والحرام ما حرمه الله تعالى على لساني الى يوم القيامة).
           
Maksudnya:

Bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda: Tiada nabi selepas aku, tiada umat selepas umatku, maka halal apa yang dihalalkan oleh Allāh Tabārak wa Tacāla melalui lidahku hingga hari kiamat, dan haram apa yang diharamkan oleh Allāh Tacāla melalui lidahku hingga hari kiamat.


Hadith B:

أن المسيح عليه السلام ينزل فيقتل الخنزير ويكسر الصليب ويزيد في الحلال.
           
Maksudnya:

Bahawa al-Masīh a.s. turun, maka dia membunuh babi, memecahkan salib dan menambah pada perkara yang halal.


Hadith C:

عن عائشة (ض) أنها كانت تقول (قولوا لرسول الله (ص) خاتم الأنبياء ولا تقولوا لا نبي بعده).
Maksudnya:

Daripada cĀishah r.a. sesungguhnya dia telah berkata: Kamu katakanlah kepada Rasūlullah s.a.w., penutup para nabi, dan jangan berkata, tiada nabi selepasnya.



KETERANGAN


Kedua-dua hadith B dan C adalah bertentangan dengan maksud hadith A. Hadith A menjelaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. sendiri mengakui bahawa tiada lagi nabi selepasnya, tetapi hadith C pula cĀishah r.a. menyuruh supaya jangan mengatakan bahawa tiada lagi nabi selepasnya. Secara zahirnya ia kelihatan bercanggah dan sedikit sebanyak menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam lebih-lebih lagi di kalangan orang awam. Justeru penyelesaian secara hikmah adalah wajar dilakukan bagi menghilangkan kesulitan ini. Perbincangan masalah ini akan dilanjutkan dalam sub-tajuk berikutnya.

Bagi hadith B pula ia bercanggah dengan hadith pokok iaitu berkenaan perkara yang dihalalkan Allāh Tacāla. Hadith A dengan jelas mengatakan bahawa setiap sesuatu yang halal itu telah ditentukan oleh Allāh melalui al-Qurān dan Rasūlullah sendiri menerusi hadithnya. Ia bersifat qatcī dan tetap. Sementara hadith C menerangkan al-Masīh atau Nabi cIsa a.s. akan diturunkan dari langit dan akan menambah pada perkara yang halal. Ini sekali lagi menzahirkan sedikit kesulitan untuk difahami. Maka ia juga memerlukan penyelesaian yang serupa.





PENYELESAIAN


Segala percanggahan yang wujud sesama hadith-hadith di atas adalah bersifat tidak hakiki atau sebenar. Ia mungkin dari ketidakfahaman tentang maksud sebenar yang tersirat atau ketidakmahiran untuk menggabungkan mafhum hadith-hadith tersebut. Perbincangan masalah ini telah dinukilkan oleh Ibn Qutaibah dalam kitabnya, Ta’wīl Mukhtalif al-Hadīth.

Sekalian umat Islam telah maklum bahawa Nabi cIsa a.s. telah diutus oleh Allāh Tacāla terlebih dahulu dari Nabi Muhammad s.a.w. Nabi cIsa a.s. diutuskan untuk berdakwah di kalangan kaum Banu Isrāil, kemudian diangkat oleh Allāh Tacāla ke langit, dan akan diturunkan pada akhir zaman. Firman Allāh Tacāla dalam surah al-Zukhruf, ayat 61:

(وانه لعلم للساعة فلا تمترن بها)
           
Maksudnya:

Dan sesungguhnya dia (cIsa a.s.) itu benar-benar memberikan pengetahuan tentang hari kiamat. Maka janganlah kamu ragu-ragu tentang hari tersebut.

Berkenaan Nabi cIsa a.s. menambah pada yang halal, diriwayatkan bahawa seorang lelaki telah berkata kepada Abu Hurairah r.a. : “Tiada apa yang ditambah pada perkara yang halal melainkan perempuan.” Mendengar itu, Abu Hurairah r.a. tertawa. Selanjutnya, Ibn Qutaibah menjelaskan lagi mengenai potongan matan tersebut yang membawa erti suatu yang dihalalkan untuk lelaki, iaitu berkahwin lima (bukan enam). Nabi cIsa a.s. tidak pernah berkahwin hatta sewaktu diangkat oleh Allāh Tacāla ke langit. Oleh itu, sebaik dia diturunkan semula ke bumi kelak, dia akan menikahi seorang perempuan. Inilah yang dimaksudkan mengenai penambahan pada perkara yang dihalalkan Allāh Tacāla baginya.

Bagi kata-kata cĀishah r.a. pula, “Jangan berkata tiada nabi selepasnya (Nabi Muhammad s.a.w.),” dilihat sebagai bertentangan dengan sabda dari Nabi Muhammad s.a.w. sendiri iaitu, “Tiada nabi selepas aku.” Sabda nabi s.a.w. ini membawa mafhum bahawa tiada lagi nabi yang akan diutuskan oleh Allāh Tacāla selepas baginda, yang akan menasakhkan apa yang telah dibawa olehnya, seperti nabi-nabi sekaliannya yang diutus untuk menasakhkan ajaran terdahulu. Apabila Nabi cIsa a.s. diturunkan, dia tidak menasakhkan sesuatu pun yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Dia juga tidak mendahului jemaah solat untuk menjadi imam, bahkan dia solat di belakang. Sebenarnya apa yang dikehendaki oleh kata-kata cĀishah r.a. itu ialah, “Jangan berkata bahawa al-Masīh (Nabi cIsa a.s.) tidak akan turun selepasnya (Nabi Muhammad s.a.w.).”



KAEDAH YANG DIGUNAKAN


Berdasarkan penyelesaian yang telah dibuat, pengkaji melihat terdapat dua kaedah yang digunapakai untuk mengatasi segala bentuk percanggahan yang wujud. Kaedah-kaedah tersebut adalah:

1.                  Kaedah al-Jamcu, iaitu dengan cara menyesuaikan antara hadith-hadith tersebut. Ini kerana hadith-hadith tersebut sahih dan boleh dijadikan panduan. Justeru tidak boleh dimansukh atau diketepikan mana-mana hadith tersebut.

2.                  Kaedah memahami keseluruhan teks hadith. Cara ini memerlukan pemahaman yang jitu terhadap hadith-hadith yang kelihatan bercanggah kerana hadith-hadith ini sebenarnya saling berhubung dan melengkapi antara satu sama lain.



KESIMPULAN

Penyelesaian yang ditunjukkan bagi hadith-hadith yang saling bercanggah di atas, sebenarnya menunjukkan bahawa tiada hadith-hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang khilaf di antara satu sama lain. Jika ada pun ia bersifat sementara dan tidak melibatkan percanggahan makna, tetapi hanya melibatkan perbezaan lafaz atau kefahaman nas secara umum. Seseorang yang hendak memahami hadith-hadith yang saling bercanggah hendaklah menggunakan kaedah dan cara yang tertentu. Ini bagi mengelakkan sebarang pertikaian dan kesangsian terhadap kefungsian hadith nabi sebagai sumber syaricat Islam.

Oleh: Putera Islam 2005
Nota: Artikel di atas merupakan tugasan kelas tutorial FPI UKM

Rabu, 18 Julai 2012

0 Ahlan Ya Ramadhan!

Assalamualaikum. Beberapa hari lagi akan menjelma bulan yang sangat hebat, bulan yang dianggap penghulu segala bulan dalam Islam iaitu Ramadhan. Keistimewaan bulan ini ialah kerana al-Quran telah diturunkan dalam bulan ini. Sepanjang bulan ini pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup manakala syaitan akan dibelenggu. Ambil ini sebagai motivasi, bahawa untuk melakukan kebaikan walau sedikit sekalipun ganjarannya berlipat kali ganda apabila dilakukan dalam bulan Ramadan. Contohnya seorang anak boleh membantu ibunya membasuh pinggan dan mengemas rumah. Itu amalan rutin yang boleh dipraktikkan. Ditambah pula dengan amalan sunat seperti tadarus al-Quran, bersedekah, berzikir dan solat tarawih. Semua ini boleh diistiqamahkan untuk kita mendapat peluang memasuki pintu-pintu syurga itu. Benar, syaitan akan diikat atau dibelenggu dengan izin Allah dari mengganggu umat Islam berpuasa. Tapi jangan kita lupakan peranan 'nafsu'. Ya, nafsu tidak dibelenggu. Kerana itu kita dapat saksikan ramai orang yang berpuasa tapi tak solat. Berpuasa tapi mengumpat dan menabur fitnah. Berpuasa tapi masih melakukan pelbagai perkara maksiat. Inilah kerja nafsu yang ada dalam diri setiap insan. Nafsu ini telah ditarbiah oleh sayitan pada bulan-bulan lain bagi mendorong kita melakukan perkara yang dilarang oleh Allah Taala. Justeru peranan akal adalah penting untuk mengawal nafsu dari terus menguasai diri kita di sepanjang bulan mulia ini. Jadikan bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi sebagai madrasah untuk mentarbiah akhlak dan sikap kita. Biar kita berasa janggal atau ganjil untuk melakukan semua amalan-amalan sunat yang dituntut kerana ingatlah bahawa Islam pada awalnya ganjil dan di akhirnya ganjil jua. Sekian, salam ramadan..Putera Islam
 

FIKRAH PUTERA ISLAM Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates