Ahad, 11 Oktober 2009

1 Di Lantai Gersang (Episod 2)


CERPEN OLEH : TRIPLE M

“Panaskah, Tuan Sulaiman?” Tiba-tiba aku ditegur. Bagaimana namaku dikenali? Aku tiada sebarang tanda pengenalan diri. Mustahil sungguh. Memang mereka penyamun yang aneh.
“Kamu siapa? Kenapa aku disiksa begini? Apa salah aku?” Soalku minta kepastian.
“Kami juga terdampar di sini.” Ujarnya.
“Kami juga merasai siksa ini.” Sambung lelaki itu, dengan jawapan yang mengelirukan.
“Berapa lama kamu di sini?” Tanyaku lagi.
“Bertahun-tahun lamanya. Tuan orang baru. Tuan akan biasa.”
“Bawakan air.” Nampaknya dia merasa belas terhadap aku. Mungkin kerana melihatkan rautku yang lesu dan tubuhku yang melonglai. Memang air yang aku harapkan. Pembantu 1 hadir membawa segelas air jernih. Dia menghulurkannya kepada ketuanya. Ketua itu merenung mataku dengan pandangan yang menikam. Tersengih. Oh, andaianku goyah. Air itu tidak diberikan kepada aku. Dia sendiri yang meneguknya sehingga habis. Celaka benar orang ini! Dia ingin membunuh akukah?
“Ah, jelaskan semua ini!” Aku menjerit. Aku sudah teramat lemah untuk menghadapi semua ini.
“Saya takut jika air ini diberi kepada tuan, tuan akan menjiruskannya kepada saya.” Dia membalas. Aku memahami erti kata-katanya.
“Ya, makanan tadi meloyakan, teruk! Siapa yang sanggup memakannya.”
“Bagaimana pula dengan air ini? Adakah tuan pasti ianya elok, tidak beracun, dan segar?” Dia mematikan mulutku.
“Tuan hanya percaya apa yang tuan nampak, apa yang tuan rasa.”
Pembantu 1 dan 2 sibuk menambah kayu-kayu api yang entah dari mana didapati. Semakin perit dan pedih tubuhku menanggung azab kepanasannya. Suria pula tepat tergantung di atas kepalaku. Bagaikan menddidih otakku.
“Lihat di kiri tuan.” Arah lelaki itu dan aku menurut. Nun di kejauhan aku ternampak beberapa kelibat manusia. Kucuba amati. Ya, memang aku mengenali. Isteriku, anak lelaki dan anak perempuanku. Mereka berjalan amat perlahan. Tidak tentu arah dan terhoyong-hayang. Mereka amat tidak berdaya dan lemah, sama seperti keadaan aku tadi.
“Abang, tolong!”, “Ayah, tolong!” Mereka merayu bantuanku. Tapi apa yang harus aku perbuat? Aku sendiri tak mampu untuk meloloskan diri dari tawanan tiga orang aneh ini. Aku tak mampu melepaskan diri. Tangan dan kakiku terikat. Aku hanya mampu menonton keadaan mereka itu. Tiba-tiba mereka rebah. Kelibat mereka kulihat samar-samar. Dedebu halus berterbangan dirembes angin suam, menutupi pandangan. Suara merayu pun senyap.
“Lepaskan aku! Lepaskan! Aku nak selamatkan mereka. Mereka keluarga aku! Lepaskan!” Mataku merenjiskan air jernih. Perasaanku sebentar sayu dan hiba melihat isteri dan anak-anak bertarung dengan maut di hadapan mata.
“Tak guna! Kenapa kau tak melepaskan aku atau pergi selamatkan mereka.” Bentak aku.
“Maut tak boleh ditangguhkan, dan tak siapa dapat selamatkan diri dari maut.”
“Zalim!”
“Semua manusia zalim terhadap diri mereka sendiri. Tuan juga zalim.”
“Aku?”

...bersambung

Sahabat, jangan lupa berikan komen di bawah ini untuk kita saling bertukar-tukar fikiran.Syukran.

1 Komentar:

 

FIKRAH PUTERA ISLAM Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates