Cerpen Oleh : Triple M
“Ri, kau faham maksud aku,” jawab Alwi pendek. Zuhri mengerut dahi. Cuba seupayanya memahaminya.
“Tapi ini lain. Cinta aku pada insan, bukan pada alam.” Zuhri cuba meneka.
“Sejak kecil lagi aku suka ke parit ini. Aku mandi, berendam, kadang-kadang aku memancing. Kerana itu aku menjadi sayang dengan tempat ini.” Anak mata Zuhri tepat merenung Alwi, terkesima dengan ceritanya.
“Walaupun aku kerja di bandar, aku tetap pulang jua. Aku pernah bayangkan jika parit ini mati, kering. Pokok-pokok semua hilang. Tiada lagi suara burung menyanyi. Semuanya lenyap. Aku fikir, aku akan bertambah sayang dan cinta padanya.” Sambung Alwi.
“Aku tak pernah melupakannya dan dia tidak berubah pun.” Zuhri membalas.
“Kerana perasaan cinta masih menyubur di hati. Segala kenangan manis aku di sini tersemadi di benak fikiranku. Tak mudah melupakan cinta, Zuhri.” Zuhri bertambah kagum. Dia faham kata-kata itu. Dia pun tidak pernah melupakan cintanya dahulu. Cinta yang pernah menjadi bualan teman-teman di sekolah. Dia kecewa bila cinta itu tertewas. Semuanya kerana cita-cita dan masa depan. Jika tidak, dia pasti terus berenang-renang di lautan penuh bebunga cinta. Dia kecewa dan hampa. Cintanya mati walaupun jasadnya masih bernyawa. Namun kini cinta itu seakan-akan hidup semula. Bunga-bunga cinta yang layu, mula mekar dan menyubur kembali. Rupanya masih ada lagi sinar baru yang menyusul. Dia telah bertemu semula cinta itu. Dia ingin membiarkan bunga-bunga cintanya mekar dan subur selamanya. Namun begitu, dia masih lagi bimbang. Cintanya itu seolah-olah tidak mendapat sambutan. Dia tidak pasti tetapi itulah prasangka kalbunya.
“Prasangka itu sebenarnya yang membunuh perasaan kau. Kenapa kau tak yakin dengan bicara hati sendiri?”
“Dah lama, Wi! Dah lama cinta aku mati. Tiba-tiba ia hidup semula dan…”
“Aku tak faham dengan perasaan kau ni! Kau masih cinta pada dia atau tidak?” Sampuk Alwi sambil meminta pengakuan.
“Aku…” Mulutnya terketar.
“Mungkin kau belum faham lagi tujuan aku bawa kau ke sini.”
“Kenapa?”
“Ini dia!” Serentak itu Alwi menolak Zuhri ke dalam parit. Terkejut bukan kepalang teman itu. Alwi pun menyusul dengan menjunamkan kepalanya. Mereka terus membasahkan badan dan membiarkan saja air-air dingin menggigit kulit mereka. Suara ketawa yang besar memeriahkan rumah warga belantara.
Angin yang tadinya begitu rancak menderu, semakin menghilang. Terasa seolah-olah ummi menyeru namanya, membuatkan Alwi memanjat tebing parit untuk keluar. Zuhri mengikut saja. Dengan pakaian yang basah-kuyup, mereka meredah lagi semak-samun yang sama untuk kembali ke rumah ummi.
Sesampai mereka di laman, pintu utama rumah terkuak. Seorang perempuan lewat pertengahan umur menonjolkan mukanya lantas menyapa Alwi dan Zuhri. Mereka berdiri di bawah anak tangga, menyiram kaki masing-masing dari air tempayan kecil sebelum memanjat anak-anak tangga itu. Alwi memperkenalkan ummi kepada Zuhri.
...bersambung
0 Komentar:
Catat Ulasan