Cerpen Oleh : Triple M
“Apa khabar mak cik?”
“Panggil ummi saja. Lebih mesra.” Perempuan itu gemar membahasakan dirinya begitu. Malah orang kampung juga memanggilnya dengan panggilan tersebut. Tidak pernah orang bertanyakan nama sebenarnya.
“Mandi parit dengan baju sekali?”
“Si Zuhri ni yang tak sabar sangat nak mandi. Maklumlah orang bandar,” usik Alwi. Temannya menjeling tajam. Ummi masuk ke dalam sebuah kamar dan keluar semula membawa dua helai tuala.
“Cantik rumah ummi,” puji Zuhri. Ummi tersenyum bagai menghargai pujian itu.
“Ummi tinggal seorang saja?” Sambung Zuhri lagi.
“Kalau kamu berdua tinggal di sini, adalah teman ummi berbual,” jawabnya.
“Ummi ni suka berkebun. Kalau kita tak datang, esok pagi baru dia pulang ke rumah,” seloroh Alwi. Ummi cuba-cuba mencubit Alwi, sedang dia menepis-nepis dengan tangan. Zuhri tersenyum saja. Kemudian ummi memberi isyarat untuk ke dapur. Alwi dan Zuhri masuk ke bilik masing-masing untuk menyalin pakaian. Bilik Zuhri tidak pernah diguna sesiapa, tetapi ia sangat bersih dan terurus. Dia terpegun melihat perabot-perabot di bilik itu seperti almari dan katil kerana ia adalah klasik. Perabot seperti itu sudah tiada di pasaran. Jika dijual nilainya amat tinggi. Sebentar tadi dia sudah terpegun melihat jam dinding lama yang sudah tidak berfungsi. Bentuknya cantik dan unik. Dia yakin jam itu boleh dibaiki. Dia mengelamun sebentar. Tak menyangka masih ada lagi orang yang mempunyai koleksi barang antik di samping tinggal di rumah Melayu tradisional. Suasana persekitaran juga belum tercemar. Dia cuba membanding-bandingkan dengan kehidupan di kota. Rumah banglo dua tingkat dengan perabot yang serba moden dan canggih. Tetapi tidak dapat menikmati harmoni alam sekitar yang bersih. Mereka terpaksa berkurung di dalam rumah sambil menikmati penghawa dingin untuk menyejukkan badan. Tidak ada pohon-pohon hijau yang meredup dan menyejuk suasana. Tidak ada parit untuk mandi-manda dan melupakan tekanan di tempat kerja. Yang ada hanyalah longkang besar yang sendat dengan sampah-sarap dan juga loji kumbahan najis. Dia merasakan betapa untungnya Alwi dapat menikmati hidup yang indah di sini. Muncul sedikit rasa cemburu terhadap teman sekerjanya itu.
“Hei, berangan ke?” Suara itu menyentap Zuhri dari lamunnya. Alwi tercegat di pintu bilik.
“Aku nak keluar sekejap beli barang dapur. Kalau kau nak mandi ada bilik air di belakang.” Ucap Alwi. Zuhri angguk kepala. Menunggu suara kereta Alwi hilang dari pendengaran. Kakinya mula melangkah ke dapur. Dalam perjalanan itu, matanya terpegun terhenti di sebuah bilik bertutup. Dia tertarik untuk mendekatinya seolah-olah ada yang memanggil-manggil namanya dari dalam. Tangannya membuka daun pintu yang tak berkunci itu. Alngkah kagetnya dia sebaik melihat puluhan, malah ratusan lukisan yang tergantung di dinding kamar itu. Ibaratnya sebuah galeri lukisan yang belum tersusun rapi. Ada yang berbingkai, ada yang dibiar di lantai. Ada juga yang masih belum sempurna dilukis. Cantik! Memang cantik! Zuhri mengamati satu-persatu. Semuanya bermediumkan guache dan watercolour. Yang lebih menarik semuanya bermotifkan parit! Zuhri terkagum. Apa istimewanya parit? Baru sebentar dia mandi di parit. Tapi dia tidak merasakan sesuatu yang istimewa pun. Apa lagi mahu merakamkan imejnya di atas kanvas. Dia juga tertanya-tanya siapa yang melukisnya? Lukisan yang banyak sebegitu mustahil dibeli dari seorang pelukis.
...bersambung
0 Komentar:
Catat Ulasan